HADIS

Wednesday, 5 October 2011

TERIMA KASIH GURU

“Tidaklah berterima kasih kepada Allah sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia!” Demikian sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dengan sanad yang sahih dalam al-Adab al-Mufrad, hadis no: 218. Hadis ini mengajar kita untuk sentiasa “rendah hati” dan “ringan mulut” untuk mengucapkan terima kasih kepada siapa jua yang berbakti kepada kita. Pada bulan Mei ini, bersempena Hari Guru, tiada siapa yang lebih layak untuk kita ucapkan “Terima Kasih” melainkan kepada guru-guru kita, sama ada cikgu di sekolah, pensyarah di pusat pengajian tinggi atau ustaz dan ustazah di surau dan masjid. Lazimnya Hari Guru di sambut dengan ucapan terima kasih dan pemberian hadiah.


Mengucapkan terima kasih sangat dianjurkan oleh hadis di atas manakala memberi hadiah dianjurkan oleh hadis berikut yang bermaksud: “Salinglah kalian memberi hadiah, nescaya kalian akan saling mencintai (kerana Allah).” [al-Adab al-Mufrad, hadis no: 594 dengan sanad yang hasan]

Pada tahun ini saya ingin mengajak kepada beberapa perkara yang merupakan tambahan di atas ucapan terima kasih dan pemberian hadiah. Tambahan yang saya maksudkan berpaksi pada kata-kata seorang rakan saya bernama Muhammad Rosli yang pernah berpesan: “Seorang guru yang baik akan melahirkan murid yang baik dan seorang murid yang baik akan melahirkan guru yang baik!” Antara kami berdua, entah siapa yang menjadi guru dan entah siapa yang menjadi murid. Ini kerana kami berdua sering berbincang dalam isu-isu tertentu, saling memberi pandangan dan saling berbeza dalam pandangan tersebut. Masing-masing menjadi guru, sekali gus murid.

Tumpuan saya terarah kepada perkataan beliau: “Seorang murid yang baik akan melahirkan guru yang baik!” Bagaimanakah sikap seorang murid yang baik itu? Dalam suasana ruang yang terbatas ini, saya akan senaraikan tiga sikap tersebut:

Pertama: Lazim bertanya soalan. Bertanya adalah sesuatu yang dianjurkan oleh Islam. Dalam surah al-Anbiya’, ayat ke tujuh, Allah s.w.t. berfirman, maksudnya: “Maka bertanyalah kamu kepada AhluzZikri (orang yang berilmu) jika kamu tidak mengetahui.” Bagaimanakah pertanyaan dapat meningkatkan kualiti seorang guru? Apabila murid bertanya kepada guru, guru memiliki dua pilihan. Pertama jika diketahui jawapannya, guru akan menjawab soalan tersebut.

Kedua jika tidak diketahui jawapannya, guru akan membuat kajian untuk menjawab soalan tersebut pada kemudian hari. Pilihan kedua inilah yang akan meningkatkan kualiti seorang guru. Ini kerana dengan kajian yang dilakukannya untuk mencari jawapan, ia secara tidak langsung akan meningkatkan ilmu guru tersebut. Tanpa bertanya, guru tidak tahu apa yang dia tidak tahu. Saya sendiri apabila membuat kuliah agama atau motivasi, amat bergembira apabila mendapat soalan daripada para hadirin. Ia membuktikan bahawa para hadirin memberi perhatian semasa kuliah, ingin melakukan komunikasi dua hala dan menaruh minat dalam subjek tersebut hingga ingin tahu lebih. Oleh itu lazimkanlah diri bertanya. Hanya pastikan soalan tersebut adalah ikhlas dan bermutu. Janganlah bertanya semata-mata untuk “testing” ilmu guru, memperkotak-katikkan apa yang diajarnya atau meremehkan subjek yang sedang diajarnya.

Kedua: Menasihati guru. Guru adalah manusia biasa yang tidak terlepas dari kekurangan dan kesilapan. Di sini murid memiliki peranan yang amat penting untuk menasihati guru akan apa-apa kekurangan atau kesilapannya. Saling memberi nasihat adalah salah satu dasar penting dalam agama. Bahkan ia adalah agama itu sendiri sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.: “Agama adalah nasihat!” Para sahabat bertanya: “Kepada siapa (wahai Rasulullah)?” Baginda menjawab: “Kepada Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin umat Islam dan umat Islam secara umumnya.” [Shahih Muslim, hadis no: 55]

Guru termasuk dalam kategori “umat Islam secara umumnya” yang patut diberi nasihat apabila perlu. Melalui nasihat yang ikhlas dari hati ke hati, kekurangan dan kesilapan guru akan dapat diperbaiki dan ini akan meningkatkan kualiti guru tersebut. Walaubagaimana pun sebelum memberi nasihat kepada guru, ada satu perkara penting yang ingin saya nasihatkan: Pastikan guru tersebut benar-benar perlu diberi nasihat. Ini kerana apabila kita mendengar tentang sesuatu kekurangan atau kesilapan guru, lazimnya yang kurang atau silap adalah orang yang menyampaikan berita tersebut. Mungkin penyampainya yang salah faham, hanya mengetahui “separuh cerita” atau menokok tambah untuk memanaskan cerita. Oleh itu apabila sampai kepada kita sesuatu berita yang kurang baik berkenaan seseorang guru, semaklah ia terlebih dahulu. Jika berita itu palsu, maka wajib bagi kita berusaha untuk menghentikan orang yang menyebarkannya dan membersihkan nama guru yang difitnah olehnya.

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Hendaklah seseorang itu membantu saudaranya, sama ada yang menzalimi atau yang dizalimi. Jika saudaranya orang yang menzalimi, maka tahanlah kezaliman tersebut kerana itu merupakan bantuan kepadanya. Jika saudaranya orang yang dizalimi, maka bantulah dia (daripada kezaliman yang menimpanya).” [Shahih Muslim, hadis no: 2584]

Jika berita itu benar, maka wajib bagi kita untuk menutupinya daripada pengetahuan orang ramai. Rasulullah s.a.w. mengingatkan: “Tidaklah seorang hamba itu menutupi (kesalahan) orang lain di dunia melainkan Allah akan menutupi (kesalahannya) di Hari Kiamat.” [Shahih Muslim, hadis no: 2590-1]

Seterusnya nasihatilah guru terbabit dengan cara yang tertutup juga. Jangan menasihatinya di hadapan khalayak ramai kerana ia akan merendahkan maruah guru tersebut. Merupakan kewajipan ke atas umat Islam untuk memelihara maruah sesama umat. Allah s.w.t. melarang kita daripada saling membunuh, saling merebut harta dan saling merendahkan maruah. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah mengharamkan atas kalian darah kalian, harta kalian dan maruah kalian.” [Shahih al-Bukhari, hadis no: 6043]

Ketiga: Mendoakan guru. Salah satu sikap utama seorang muslim adalah mendoakan saudara semuslimnya. Keutamaan ini pernah disebut oleh Rasulullah s.a.w.: “Tidaklah seorang hamba yang muslim mendoakan di belakang saudaranya melainkan para malaikat berkata: Yang seumpama juga bagi anda”. [Shahih Muslim, hadis no: 2732]

Termasuk dalam keutamaan ini adalah murid yang mendoakan gurunya agar sentiasa berada di bawah rahmat, petunjuk dan pemeliharaan Allah. Oleh itu perbanyakkanlah doa kebaikan kepada guru-guru anda, nescaya ia akan meningkatkan kualiti guru tersebut dan juga bagi diri anda sendiri. Demikian tiga tambahan yang dapat diberikan oleh seorang murid kepada gurunya. Anggaplah ia sebagai hadiah tambahan kepada guru. Hadiah-hadiah ini akan meningkatkan kualiti seorang guru dan peningkatan ini akhirnya akan kembali memberi manfaat kepada murid yang memberinya. Sebabnya: “Seorang guru yang baik akan melahirkan murid yang baik dan seorang murid yang baik akan melahirkan guru yang baik!”

Selain itu, hadiah-hadiah ini tidak diberi sekali setahun sahaja bersempena Hari Guru, tetapi sepanjang hidup. Ini kerana sebagaimana ilmu yang disampaikan oleh seorang guru kita manfaatkan sepanjang hidup, maka sikap terima kasih dan memberi hadiah-hadiah hendaklah juga kita lakukan sepanjang hidup.

oleh:Hafiz Firdaus.http://hafizfirdaus.com/content/view/182/78/

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...