HADIS

Sunday, 16 February 2014

PANGKAH DEMI PANGKAT

Dan katakanlah "Bekerjalah kamu maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu,dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata,lalu diberitakannya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan."(Surah at-Taubah:105)

Tepat pukul 7.30 pagi di Sekolah Mengah Aman Damai, Jalan Sejahtera semua pelajar dan guru berkumpul di tapak perhimpunan untuk mendengar ucapan pengetua baru.Encik Z.Semua warga sekolah kusyuk mendengar sehingga ada yang tersengguk-sengguk dek mengantuk.

"Assalamualaikum semua...dan selamat pagi,"

Alhamdulillah,akhirnya tercapai juga hasratku menjadi pengetua.Namun,segala lamunan yang bermain-main dalam fikiran Encik Z lenyap kerana tepukan gemuruh warga sekolah.

Semua manusia ingin berjaya dalam hidup.Ingin pangkat yang tinggi,nama yang terkenal,kereta yang besar dan bermacam-macam lagi.Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia:kesukaan kepada benda-benda yang diingini hawa nafsu,iaitu perempuan-perempuan dan anak pinak,harta benda yang banyak bertimbun-timbun,dari emas dan perak,kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman.Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah ) pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga). Surah Ali Imran:14

Walaupun kita guru biasa,kita punyai naluri dan keinginan untuk memiliki semua kehendak yang diidamkan.Walaubagaimanapun,kita harus seentiasa bermuhasabah sama ada kejayaan yang dimiliki itu atas dasar kelayakan dan kebolehan atau dengan mencantas peluang orang lain.

Tidak salah kita bekerja demi mengejar pangkat dan kedudukan.Kita juga tidak salah jika bekerja demi mengejar APC (Anugerah Perkhidmatan Cemerlang) semata-mata.Tetapi sudah pasti salah jika kita bekerja tetapi dalam masa yang sama mengapi-apikan pihak pentadbir sehingga menjatuhkan rakan sejawat kita.

Tidak salah kalau kita bekerja keras demi meningkatkan kemahiran.Tidak salah kalau kita bekerja keras demi memajukan kerjaya.Tidak salah juga kalau kita bekerja keras demi mencari sesuap nasi untuk keluarga.Tapi biarlah rezeki yang dicari itu terjamin keberkatan dan halalnya.

pangkat tidak salah,APC pun tidak salah,tetapi yang salah adalah kita kerana menjadikan pangkat dan APC sebagai matlamat akhir.Sepatutnya,kita mesti menjadikan keredhaan Allah sebagai matlamat akhir dan ikhlas sebagai perisai daripada godaan syaitan yang selalu memujuk kita ke arah yang negatif.

Sebagai seorang guru mahupun pentadbir,kita harus sentiasa bermuhasabah apakah matlamat sebenar semasa kita bertugas.Jika pangkat dan APC menjadi matlamat utama,perasaan tidak puas hati akan timbul.Kata mengata,umpat mengumpat akan terjadi yang tidak berkesudahan dan akhirnya menimbulkan perasaan dendam.ini akan membawa kepada permusuhan yang memutuskan silaturahim.

Disinilah peluang untuk syaitan memainkan peranannya.Marilah kita sama-sama lihat dan renungkan ayat Al-Quran ini.

Wahai sekalian manusia!makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya).Surah Al-Baqarah 168-169

Syaitan cukup bijak dalam menjalankan tugasnya memecahbelahkan umat manusia.Kalau bukan kerana kelicikan syaitan,pasti Adam a.s dan Hawa tidak akan diturunkan ke bumi.Kalau bukan keran kelicikan syaitan pasti Qabil tidak akan membunuh Habil adiknya.Kalau bukan kerana kelicikan syaitan juga pasti kauh Nuh a.s dan Nabi Lut a.s tidak akan derhaka.Kalau tidak kerana kelicikan syaitan pasti Rasulullah s.a.w tidak akan dikejar sehingga ke gua Thur.

Apalah erti kejayaan jika pangkat yang dimiliki itu hasil daripada fitnah-memfitnah.Jawatan atau pangkat bukanlah yang kekal tetapi hanya diberi pinjam oleh Allah yang Maha Berkuasa.

Apalah erti kejayaan jika jawatan yang dicapai itu hasil daripada usaha kita memijak kepala orang lain supaya kita berada di hadapan.Seburuk-buruk rupa belalang apabila melompat tidak pernah nmemijak kepala kawan tetapi secantik-cantik rupa manusia apabila melompat sanggup memijak kepala kawan sendiri.Siapakah yang lebih baik???

Kita bimbang segala kekayaan dan pangkat akan menjadikan kita terus buta dan buta sehigga menjadikan kita orang yang lupa pada Yang Maha Pencipta.Tetapi yang paling membimbangkan lagi apabila suatu hari nanti segala perbuatan itu akan berbalik kepada kita pula.Manusia sering menangis kerana buta mata tetapi tidak pernah menangis kerana buta hati.Alangkah malangnya....

Betapa hinanya manusia ketika diisytiharkan menjadi muflis di dunia apatah lagi jika muflis di hari akhirat.Hari yang tidak bermakna segala pangkat dan darjat,harta benda dan kemewahan,anak-pinak dan saudara mara.hanya amal soleh sahaja yang mampu menjadi taruhan.

Muflis di akhirat ialah segolongan insan yang malang dimana bukan sahaja amalan mereka diambil oleh manusia yang menagih hutang daripadanya bahkan lebih malang terpaksa menanggung dosa dan kesalahan orang lain apabila telah bankrap segala amal kebajikan di alam sana.

Biarlah kita idak kaya dengan jawatan dan harta di dunia,biarlah kita hanya guru biasa sahaja namun kita terus berusaha dan bekerja dengan harapan kita akan dinobatkan sebagai jutawan di akhirat nanti.Jangan cepat melatah dan iri hati melihat kedudukan rakan sejawat kita yang lebih tinggi daripada kita.

Ayuh,marilah kita sama-sama menanam benih keihklasan dalam semaian hati dan membajainya dengan perasaan kasih sayang kepada manusia kerana Allah S.W.T.Moga-moga nanti segala ulat dan serangga perasaan hasad dengki akan menjauhkan diri daripada merosakkan benih tersebut

MELANGKAH KE HADAPAN ADALAH JIWA PEJUANG TETAPI MELANGKAH DENGAN CARA MEMANGKAH ADALAH JIWA PETUALANG

nukilan dari buku : Guru Jutawan Akhirat 
                                terbitan Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pelajaran Pulau Pinang.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...