JOM BOOKCAFE

Khamis, 16 Ogos 2012

Sekolah Dan Kupon Wajib

Soalan Pertama
Apakah hukum sekolah yang mewajibkan guru dan pelajar membeli kupon untuk digunakan pada Hari Pasar Ria dan Hari Usahawan?

Soalan Kedua
Saya seorang guru di sebuah sekolah menengah.Saya ingin bertanya ustaz tentang jualan kupon untuk Hari Pasar Ria.saya dan murid sekolah “dipaksa” untuk menjual kupon yang dibuat utuk jualan gerai pada hari tersebut.Setiap guru diwajibkan menjual kupon sebanyak RM100 dan setiap murid sekolah pula diwajibkan menjual RM50.Kemudian,jika kami gagal menjual,kami dimestikan untuk membeli kupon tersebut sebagai sumbangan kepada sekolah.Apakah hukumnya?

Jawapan
Ramai juga guru-guru yang bertanyakan hal ini kepada saya.Dalam Islam,jual beli tidak dibenarkan dibuat atas dasar paksaan.
Allah SWT berfirman
Maksudnya: “Hai orang yang beriman,janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil,kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka di antara kamu”.(Surah al-Nisa 4:29)
Dalam hal yang ditanyakan,walaupun ia bertujuan untuk mendapatkan pendapatan tambahan bagi pihak sekolah,tetapi mereka tidak wajar mewajibkan para guru dan murid untuk menghabiskan kupon yang diamanahkan.
Sekadar mewajibkan guru dan murid berusaha untuk menjualnya sebaik mungkin mengikut kemampuan adalah dibenarkan menurut syariah.
Bagaimanapun,meletakkan syarat bahawa jika gagal menjual maka guru dan murid itu WAJIB membelinya.Ini adalah salah satu bentuk pemaksaan yang termasuk dalam kategori makan harta orang lain dengan cara tidak benar yang ditegaskan oleh Allah SWT:
Maksudnya:Dan janganlah kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil.(Surah al-Baqarah 2:188)
 
Paksaan dalam belian menurut ulama Fiqh boleh dibahagikan kepada dua jenis:

Al-Ikrah al-Muljik
Iaitu jeni paksaan yang boleh mengancam nyawa.keluarga,anggota tubuh dicacatkan dan lain-lain yang sepertinya.

Ikrah Ghaira Muljik
Jenis paksaan yang kurang sedikit mudaratnya daripada jenis yang pertama.
Paksaan jenis pertama sudah tentu menghilangkan reda dan menyebabkan jualan tidak sah secara pasti.Manakala paksaan jenis kedua juga tidak terkecuali menggugat kesahihan jual beli.
Imam al-Zaila’ie menyatakan : “Sesungguhnya paksaan secara muljik dan tidak muljik itu menyebabkan hilangnya reda dan reda adalah salah satu syarat sahnya akad jual beli.
Dalam konteks sekolah tadi,boleh juga dilihat paksaan itu secara keras kerana mungkin sebahagian guru memahaminya secara tidak langsung bahawa pihak pentadbir sekolah boleh bertindak ke atas guru yang ingkar,seperti lambat naik pangkat dan sebagainya.Ini boleh menyebabkan mudarat kepada guru dan keluarganya.Keadaan ini menyebabkan guru itu terpaksa juga membeli dan berusaha untuk gerainya,walaupun tiada sebarang ancaman lisan mahupun bertulis daripada pihak sekolah.

Sumber:Riba dan Isu Kewangan Semasa
Zaharuddin Abd Rahman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan