JOM BOOKCAFE

Isnin, 21 November 2011

Hukum Beramal Tanpa Ilmu

Jika ada yang bertanya: "Bagaimana dengan kedudukan seseorang yang mengerjakan suatu amalan dengan niat ikhlas kerana Allah ?Tetapi,tanpa disedari,amalan tersebut tidak mempunyai sandaran petunjuk daripada al-Sunnah?"

Persolan ini dijawab berdasarkan dua huraian di bawah:


Pertama
Jika seseorang itu melakukan sesuatu perkara kerana kejahilan atau keliru yang disangka tututan agama,maka dia masih lagi termasuk di dalam kelompok ahl al-sunnah wa al-jamaah serta mendapat pengampunan daripada Allah.InsyaAllah.

Allah berfirman
Maksudnya: ...Dan tiadalah KAMI mengazabkan sesiapa pun sebelum KAMI mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah) - Surah al-Isra 15

Firmannya lagi
Maksudnya: Dan Allah sesekali tidak menjadikan sesuatu kaum itu sesat sesudah DIA memberi hidayah petunjuk kepada mereka, Sebelum DIA menerangkan kepada mereka apa yang wajib mereka memelihara dan melindungi diri daripadanya, sesungguhnya Allh Maha Mengetahui akan setiap sesuatu- Surah at-Taubah: 115

Di dalam ayat yang lain,DIA berfirman:
Maksudnya: Dan KAMI tidak mengutuskan seseorang rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum ALLAH) kepada mereka...Surah Ibrahim:4

   Secara umumnya,jika amalan tersebut termasuk di dalam perkara yang diperintahkan Allah,maka dia akan diganjari dengan pahala yang sempurna daripada-Nya,insya-Allah.Ibnu Taimiyah telah memberikan pendapatnya berkenaan persoalan ini.Beliau berkata:

   "Setiap orang yang melakukan sesuatu ibadat yang dilarang,tetapi dia tidak mengetahui larangan tersebut dan perbuatan itu (yang secara umumnya termasuk dalam) perbuatan yang diperintahkan,seperti melaksanakan solat (sunat) pada waktu-waktu yang dilarang dan dia mengetahui perintah solat secara umum tetapi tidak mengetahui larangan solat pada waktu tertentu,atau orang yang berpegang kepada sesuatu dalil padahal ia cacat seperti riwayat generasi salaf yang bersolat Jumaat dua rakaat sesudah Asar kerana beranggapan Nabi Muhammad pernah melakukannya atau solat yang didasarkan kepada hadis dhaif(lemah) dan maudhu (palsu) seperti solat pada malam nisfu Syaaban dan awal bulan Rejab...maka kesalahan seperti itu dimaafkan dan mendapat pahala kerana (ibadat-ibadat tersebut ) termasuk dalam jenis yang disyariatkan .DEmikian juga bagi orang yang berpuasa pada hari raya disebabkan dia tidak tahu akan larangannya .Berbeza dengan perbuatan yang daripada jenis yang tidak disyariatkan seperti (melakukan ) syirik kepada Allah,maka pembuatnya tidak diberi pahala.Namun , Allah juga tidak akan mengazab pembuatnya sehinggalah dia mengetahui (dengan jelas ) larangan tersebut"

Allah berfirman:
Maksudnya:...Dan tiadalah KAMI mengazabkan sesiapa pun sebelum KAMI mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan salah)- Surah al-Isra :15

   Namun perlu ditegaskan bahawa seseorang itu hendaklah berusaha mencari kebenaran dengan segenap kemampuan yang ada.Dengan adanya ilmu yang benar,maka mudahlah untuk dia mengamalkan ibadat yang bersabitan dengan petunjuk al-Sunnah. Ia juga dapat menghindarkan diri daripada amalan dan kefahaman berunsur bidaah.Tidak wajar seseorang itu mencukupkan diri dengan hanya bertaklid tanpa mahu mengkaji terlebih dahulu.Sifat ini bukan sahaja menyebabkannya mudah tergelincir ke dalam jurang bidaah,malah mendapat celaan dan teguran yang tegas daripada Allah

Allah berfirman:
Maksudnya: Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya,sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati,semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.-Surah al-Isra 36

   Amalan bertaklid tanpa mahu berusaha mencari ilmu amatlah dilarang.Ini kerana,prinsip ajaran Islam yang mewajibkan setiap umatnya untuk sentiasa berusaha menuntut ilmu pengetahuan.Ini sebagaimana sabda Rasulullah:

Maksudnya: Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap Muslim.(Hadis Riwayat Ibn Majah-Hadis no 224.Hadis ini dinilai sahih oleh Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani dalam semakannya terhadap Sunan Ibn Majah)

Kedua
Jika dia melakukan perbuatan bidaah di dalam keadaan sedar lagi yakin bahawa amalan tersebut tidak bersumber kepada al-Quran dan al-Sunnah,tetapi tetap mengerja dan menyebarkannya,maka ia adalah terbatal dan pelaku tersebut termasuk di kalangan ahli bidaah yang sesat lagi menyesatkan.

Allah berfirman:
Maksudnya:...Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya,tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu untuk melakukannya, dan ingatlah Allah MAha Pengampun lagi Maha Mengasihani- Surah al-Ahzab:5

   Seseorang hamba yang beramal secara sederhana (samaada ibadat wajib mahupun sunat),tetapi jika ia dilakukan dengan penuh keikhlasan dan menepati segala kaifiat (tatacara) al- Sunnah Rasulullah adalah lebih baik berbanding melaksanakan pelbagai jenis ibadat,tetapi menyimpang jauh dari cara baginda .Maka,amat benarlah kata-kata mutiara daripada Abdullah bin Mas'ud

Maksudnya:"Sederhana dalam sesuatu (amalan yang menepati ) al-Sunnah lebih baik daripada bersungguh-sungguh dalam sesuatu bidaah."-Hadis riwayat ad-Darimi di dalam Sunan ad-Darimi,Kitab al-Muqaddimah-hadis no.217

  Perlu diperbetul salah faham sebahagian pihak yang berpegang kepada prinsip yang penting banyak amal ibadat sebagai cara mendekatkan diri kepada Allah tanpa mahu mengkaji kesahihan setiap amal perbuatan.Perlu ditekankan bahawa, di dalam keghairahan kita untuk memperbanyak amal ibadat,janganlah pula terlupa kepada prinsip penerimaan amalan di sisi agama iaitu niat ikhlas dan cara yang betul.Ingatlah bahawa setiap amalan kita pasti akan dihitung pada hari pembalasan kelak.

Allah Berfirman:
Maksudnya: DIAlah (Allah) yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup-untuk menguji dan menzahirkan keadaan (Allah yang menciptakan kamu)untuk menguji siapakah yang paling bagus amalannya-Surah Hud:7

Ibnu Katsir menerusi kitabnya,Tafsir Ibn Katsir,jld 4,hlmn 619 berkata
"...dan Allah tidak mengatakan mana aantara kamu yang paling banyak amalannya."

Seterusnya perhatikan pula sabda Rasulullah yang berikut

Maksudnya: Amalan yang palin dicintai oleh Allah adalah amalan terus-menerus walaupun sedikit-Hadis riwayat al-Bukhari 1/109-hadis no:782

Berdasarkan  hadis tersebut,Rasulullah menetapkan bahawa amalan soleh itu mesti menepati ajaran al-Quran dan al-Sunnah yang diambil secara sahih.
   Setiap amalan yang dilakukan hendaklah berdasarkan tolok ukuran al-Quran dan al-Sunnah,bukannya dilandasi pegangan majoriti atau tradisi masyarakat.Tidaklah wajar bagi seseorang muslim itu untuk beramal tanpa usul periksa serta menjustifikasikannya sebagai amalan soleh dengan hanya berdasarkan niat ikhlas dan tujuan baik semata-mata.
   Sejarah telah mengajar kita betapa ramai pereka agama palsu yang pada asalnya berniat baik srta ikhlas dalam peribadatan tetapi disebabkan cara pelaksanaan menyimpang daripada kehendak Allah dan petunjuk Rasul-Nya maka mereka berada dalam kesesatan yang berpanjangan.Semua ini menjadi pengajaran yang amat bermakna agar kita sentiasa berniat ikhlas dan melakukan dengan cara yang benar dalam melaksanakan segala ajaran agama dengan dilandasi suruhan dan keizinan Allah serta contoh daripada al-Sunnah Rasulullah.

Kata Penutup
Dengan kefahaman ini ,nyatalah bahawa sesungguhnya kita tidak akan menemui jalan untuk mencapai reda,pengampunan dan syurga Allah melainkan dengan berittiba  kepada al-Sunnah baginda.Hanya dengan menempuh cara ini sahajalah,segala amal ibadat kita bakal diterima dan diganjari oleh Allah.

FirmanNya:
Maksudnya: Katakanlah (Wahai Muhammad) "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah,ikutilah ku (sunnahku) nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu" dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.-Surah ali-Imran:31

   Ibn Katsir berkata di dalam tafsirnya,Tafsir al-Quran al Azim,jld 1,hlm 366

"Ayat ini adalah pemutus kepada sesiapa yang mendakwa mencintai Allah tetapi tidak di atas jalan (al-Sunnah-pen) Muhammad.Maka sesungguhnya dia adalah pendusta atas apa yang didakwa sehinggalah dia mengikuti syariat Muhammad dan agama nabawi dalam semua perkataan,perbuatan,dan hal-ehwalnya seperti yang pasti dalam Shahih al-Bukhari daripada Rasulullah :Sesiapa yang beramal dengan suatu amalan yang tidak di atas petunjuk kita,maka dia ditolak.

   Di dalam kitabnya Tafsir Ibn Katsir,jlid 3,hlmn 106,ketika mentafsirkan firman Allah :

Maksudnya:...Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya,maka hendaklah dia mengerjakan amalan yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan seorang pun di dalam beribadat kepada TUHANnya.-surah al-Kahfi:110

Beliau berkata:
"Inilah dua rukun amal yang diterima .Amal tersebut harus dilaksanakan dengan ikhlas kerana Allah dan benar-benar sesuai dengan syariat (al-Sunnah atau cara-pen)Rasulullah.

   Saya mendoakan agar seluruh amalan kita termasuk dalam yang paling ikhlas dan benar,insya-Allah.Sebagai mengakhiri bab ini,marilah kita renungi bersama pesanan Sufyan at-Tsauri dan Salim bin Eid-al-Hilali di bawah ini.

Sufyan at-Tsauri berkata:
Maksudnya:Tiada tertegak suatu perkataan melainkan (disertai) dengan amalan dan tiada tertegak perkataan dan amalan melainkan dengan niat dan tiada tegak perkataan,amalan dan niat melainkan selaras dengan al-Sunnah.

Syeikh Salim bin Eid al-Hilali berkata:
   "Amal soleh harus disertai dengan niat yang baik.Niat yang baik tidak akan mengubah kemungkaran menjadi kebaikan dan bidaah menjadi al-Sunnah.Ramai orang mengharapkan kebaikan tetapi tidak pernah menggapainya.Ikhlas kepada Allah merupakan salah satu syarat diterimanya perbuatan kecuali yang paling tulus dan benar.Yang paling tulus adalah amal yang (mengharapkan wajah ) Allah dan yang paling benar adalah sesuai dengan al-Sunnah Rasullullah yang sahih.

Disalin dari buku: "Cukupkah Sekadar Niat"
Mohd Hairi Nonchi.
Terbitan Karya Bestari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan