1. Apa itu literasi undang-undang
Literasi undang-undang bermaksud celik undang-undang. Ia merupakan satu inisiatif untuk memberi kefahaman tentang undang-undang. Kefahaman yang betul akan menjadikan kumpulan sasar peka tentang apa yang dibenarkan oleh undang-undang dan bertindak mengikut ketetapan undang-undang.Literasi undang-undang juga mampu mengubah persepsi individu yang menganggap undang-undang sebagai suatu yang kompleks dan digeruni.
2. Mengapa Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) perlu tahu undang-undang? Apa kepentingannya?
Pengetahuan tentang undang-undang dalam kalangan PPP mempunyai hubungan langsung dengan kanak-kanak semasa menjalankan tugas. Kanak-kanak memiliki hak dan perlindungan tertentu di sisi undang-undang yang berbeza dengan hak orang dewasa. Selain itu, guru tidak sahaja bertanggungjawab mendidik murid dan menyampaikan ilmu semata-mata. Undang-undang menetapkan guru adalah ibubapa gantian kepada murid-murid semasa mereka berada di sekolah. Maka guru perlu memahami peranan mereka sebagai ibu bapa gantian selain mempersiapkan diri dalam mendepani cabaran mendidik dan mencapai misi dan visi pendidikan yang telah ditetapkan.
3. Apakah hak dan tanggungjawab PPP di sekolah secara amnya?
Umumnya PPP sebagai penjawat awam mempunyai hak-hak yang diberikan oleh undang-undang. Antaranya, PPP tidak boleh disaman atas kapasiti dirinya sebagai individu sekiranya terdapat implikasi undang-undang yang menjejaskan tugas rasminya. PPP juga diberi hak untuk didengar sebelum sesuatu tindakan tatatertib diambil terhadapnya. Selain itu, PPP bertanggungjawab untuk mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan di bawah peruntukan khusus seperti Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
4. Bagaimana PPP boleh menjalankan tugas dengan sempurna sekali gus mengelak daripada liabiliti undang-undang semasa menjalankan tugas sebagai guru?
Untuk mengelak daripada tindakan undang-undang yang tidak sewajarnya terhadap seseorang PPP, elemen sedar, peka, dan tindak perlu diamalkan. Setiap PPP digalakkan untuk sedar dan mengetahui undang-undang dan peraturan yang mengawal tugasnya sebagai guru. Pengetahuan ini akan membantu PPP untuk sentiasa peka terhadap persekitaran dan situasi yang berlaku semasa menjalankan tugas sebelum PPP bertindak berdasarkan kerangka undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
5. Apa konsep kejahilan undang-undang bukan pembelaan?
Terdapat sumber undang-undang yang mengatakan- ignorantia juris non excusat bermaksud kejahilan undang-undang bukan pembelaan. Dalam frasa itu, kita sudah faham bahawa kejahilan tidak boleh diterima sebagai alasan. Maka, penting untuk setiap individu tahu undang-undang apatah lagi guru yang sangat dekat dengan kumpulan kanak-kanak.
6. Tidak tahu? Jawapan PPP apabila disabitkan kesalahan undang-undang di mahkamah. Adakah ia boleh diterima? Apakah pula risikonya?
Ini bermaksud jika seseorang itu ditahan dan dituduh di mahkamah, “saya tidak tahu perbuatan ini salah di sisi undang-undang” tidak boleh dijadikan alasan untuk membela diri. sebagai contoh, kesalahan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri apabila diperiksa. setiap warga negara Malaysia hendaklah sentiasa membawa kad pengenalan sebagaimana yang diterangkan pada Peraturan 6, akta Pendaftaran negara 1959 (akta 1978) dan Peraturan-peraturan 1990 (Pindaan 2007) iaitu tanggungjawab menjaga kad pengenalan menyatakan,
orang yang kepadanya suatu kad pengenalan telah dikeluarkan hendaklah, selepas itu dan selagi dia masih menjadi orang berdaftar semula di bawah peraturan-peraturan ini, pada setiap masa membawa pada dirinya kad pengenalan dan tertakluk kepada peruntukan-peruntukan peraturan-peraturan ini. Kegagalan mana-mana individu mengemukakan dokumen pengenalan diri ketika diperiksa oleh pihak polis adalah satu kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(n) PPPN 1990.
7. Apakah skop undang-undang di Malaysia yang secara asasnya perlu diketahui PPP?
Secara amnya, skop undang-undang di Malaysia dapat dibahagikan kepada dua iaitu undang-undang sivil dan undang-undang jenayah. Undang-undang sivil mengawal hubungan di antara individu dengan individu manakala hubungan di antara individu dengan kerajaan dikawal oleh undang-undang jenayah. Apabila seseorang individu mendapati haknya telah terkesan akibat perbuatan atau peninggalan seseorang yang lain, individu tersebut akan menuntut melalui prosiding undang-undang sivil di mahkamah terhadap pihak satu lagi bagi mendapatkan ganti rugi atau remedi yang dibenarkan oelh undang-undang.
Prosiding jenayah melibatkan tindakan pendakwaan jenayah yang dimulakan oleh pendakwa raya terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan jenayah di sisi-undang-undang. Kesalahan jenayah lazimnya melibatkan jenayah kepada negara, jenayah kepada mahkamah, jenayah harta dan jenayah terhadap diri sendiri.