JOM BOOKCAFE

Isnin, 7 April 2014

HATI LUKA KERANA BISA KATA-KATA: LIMA GAYA BAHASA PERLU DIELAK KETIKA BERKONFLIK


Ucapan dan gaya percakapan kita akan memberi kesan besar ke atas tindak balas dan perlakuan orang lain terhadap kita.

Sewaktu kita berkonflik,kita gemar melakukan serangan mulut untuk memenangi pertengkaran berkenaan.Setiap pertengkaran pasti berakhir kerana tidak ada manusia yang boleh bercakap sehingga setengah hari dalam nada tinggi.

Malangnya walaupun pertengkaran sudah berakhir,luka di hati pasangan kita mungkin belum sembuh,malah akan terbawa-bawa bertahun-tahun lamanya .Ia terjadi akibat serangan mulut yang kita lakukan terhadap mereka ketika berkonflik.

Bahasa merendahkan
Ramai orang yang mempunyai kelebihan dari segi kelulusan,pengalaman, bakat, harta, dan pencapaian.Tetapi ia bukanlah lesen yang membolehkan kita untuk merendah-rendahkan orang lain dengan menunjukkan kita mempunyai kelebihan ke atas mereka.
               
 Sifat angkuh bukan disebabkan oleh kekayaan, pencapaian dan bakat, tetapi ia berpunca daripada sikap seseorang.
                 
Ada sesetengah orang yang memiliki pencapaian bagus gemar untuk merendah-rendahkan orang lain.Mereka mungkin tergolong dalam golongan yang mempunyai pencapaian,tetapi masih tidak berpuas hati dengan kejayaan yang dikecapi.
               
 Untuk membuatkan mereka berasa mempunyai kelebihan,mereka akan menggunakan gaya bahasa yang merendahkan orang lain misalnya seperti berikut:
“Saya dah sepuluh tahun dalam bidang ni, saya tahu idea awak tu tak akan berhasil...”
“Awak baru setahun jagung menghadapi hal sebegini.Mana awak tahu?”
“Awak tu perempuan,lemah!”

Bahasa tidak peduli
Gaya bahasa ini selalu digunakan untuk menghukum individu lain dengan cara tidak menyebut sebarang penyelesaian.Sesetengah orang menggunakan gaya bahasa ini sebagai hukuman terhadap orang yang mereka tidak sukai.
Cara gaya bahasa ini diucapkan adalah seperti”
“Suka hati awaklah nak selesaikan macam mana...”
“Saya tak nak terbabit dalam hal ini.Jangan babitkan saya.”
“Awak selesaikan ini sebab ia masalah awak.Apa yang saya tahu,masalah ini selesai.”

Bahasa menghina latar belakang
Melalui cara ini, kita akan mencari-cari latar belakang pasangan kita yang boleh kita jadikan modal untuk melakukan serangan ketika berkonflik.Antara latar belakang yang selalu digunakan adalah pendidikan, kerjaya, dan keluarga.
“Harap je sekolah agama,tetapi solat pun tunggang-langgang.”
“Awak tu kerja tak seberapa,tak payah nak bercakap hal falsafah”
“Sedarlah diri tu sikit.Awak tu asalnya kampung yang hulu.”

Bahasa menutup minda
Apa perasaan anda apabila bercakap-cakap dengan orang lain,tetapi seringkali sahaja pendapat anda tidak dipersetujui malah diperlekehkan?Tentu sekali anda berasa kecewa dan tidak berminat berbual-bual dengan orang berkenaan.
Hampir setiap idea dan buah fikiran kita akan dicantas untuk menunjukkan kita salah dan mereka sahaja betul.
Ada sesetengah orang menggunakan gaya bahasa sebegini untuk menunjukkan mereka lebih bijak daripada orang lain,seterusnya kelihatan menarik.
Malangnya lebih banyak gaya bahasa sebegini keluar daripada mulut mereka lebih tinggi kebencian orang lain terhadap mereka.
“Setakat cakap memang mudah.Kita yang melaksanakan ni yang tahu susah payah...”
“Saya belajar dulu bukan macam tu...”
“Bangsa lain bolehlah kaya dengan berniaga.Bangsa kita mana ada kebolehan...”

Bahasa mengawal
Ramai orang suka apabila orang lain mengikut kemahuan mereka.Mereka juga suka mengawal perilaku orang lain.
Gaya bahasa mengawal adalah gaya bahasa memaksa orang lain melakukan dan mematuhi perkara yang mereka tidak persetujui.
“Saya suami awak.Awak jangan ingkar perintah saya.”
“Walau apa pun alasan awak,saya nak kerja ini diselesaikan...”
Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “ Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang memutar belit fakta dengan lidahnya seperti seekor sapi yang menguyah-nguyah rumput dengan lidahnya.”
Kesimpulannya, elakkan gaya bahasa di atas ketika berkonflik untuk memelihara keharmonian perhubungan.

 Nota kaki: Halus bahasa menyingkap tabir hati....;)

Sumber :Harian Metro 4 April 2014
*Penulis ialah Perunding Psikologi Bahasa dan penulis buku Marah Tapi Sayang boleh dihubungi melaui facebook: Hilmi Isa (Psikologi Bahasa)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan