Bersyukur
kepada ALLAH SWT kerana dengan limpah kurniaNya dapat sama-sama kita
menjalani ibadah sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini dan
insyaAllah kita akan menyambut hari lebaran Idul Fitri dalam beberapa
hari lagi.
Lebaran yang dianugerahkan oleh ALLAH kepada seluruh Umat Islam, di
mana apabila Nabi SAW tiba di Madinah Al-Munawwarah, Baginda melihat
golongan Ansar bergembira dan menyambut dua hari raya. Dua hari raya
mereka itu dipersoalkan oleh Nabi SAW. Baginda bertanya, mengapa kamu
bergembira dengan dua hari itu? Kata mereka, ini adalah dua hari yang
mana nenek moyang kami bergembira dan menyambutnya. Hari yang
dimaksudkan adalah hari perayaan kaum Majusi kuno iaitu Nairuz dan
Mahrajan.
Lalu Rasulullah SAW bersabda kepada mereka, “Sesungguhnya Allah telah
menggantikan untuk kalian dua hari yang lebih mulia dari dua hari itu
iaitu Hari Raya Korban (Idul Adha) dan Hari Raya Fitrah (Idul Fitri).” (Sahih. Riwayat Ahmad)
Maka pada kedua-dua hari ini, umat Islam dituntut untuk bergembira.
Persoalannya, bagaimanakah kaedah untuk kita bergembira? Kita perlu
ingat bahawa kegembiraan pada hari raya fitrah ini adalah satu tuntutan
oleh Allah SWT dan RasulNya SAW. Jadi perlu kita pastikan kaedah
perlaksanaan kegembiraan itu disesuaikan dengan perintah Allah dan
RasulNya
.
Pertama, Allah SWT nyatakan di dalam Al-Quran di dalam surah
Al-Baqarah ayat 185, “Dan hendaklah kamu sempurnakan hari-hari itu (hari
berpuasa) dan hendaklah kamu bertakbir kepada Allah (membesarkan Allah)
atas petunjuk yang diberi kepadamu agar kamu tergolong di kalangan
orang yang bersyukur.” (Surah Al-Baqarah, 2: 185)
Dari ayat ini, dapat kita fahami bahawa kaedah untuk bergembira pada
hari raya ini bukanlah dengan nyanyian, sebaliknya adalah dengan
bertakbir, mengucapkan lafaz-lafaz yang membesarkan dan memuji Allah
SWT. Lafaz-lafaz ini telah diajar oleh para Sahabat RA dalam beberapa
lafaz, antaranya:
Lafaz takbir yang diajar oleh Ibnu Abbas: “Allahu Akbar, Allahu
Akbar, Allahu Akbar wa Lillahil Hamd, Allahu Akbar wa Ajallu, Allahu
Akbar ‘ala ma Hadaanaa.” (Sahih. Riwayat Al-Baihaqi)
Lafaz takbir yang diajar oleh Abdullah Ibnu Mas’ud: “Allahu Akbar,
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Laa Ilaaha illAllah, Allahu Akbar wa
Lillahil Hamd.” (Riwayat Ibnu Abi Syaibah)
Lafaz takbir yang diajar oleh Salman Al-Farisi: “Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbaru Kabiira.” (Sahih. Riwayat Abdurrazzaq dalam Al-Musannaf)
Juga terdapat lain-lain lafaz yang sahih dan boleh dirujuk dalam
tulisan para Ulama antara oleh Syaikh Ali Hasan Al-Halabi dalam bukunya
yang berjudul “Berhari Raya Mengikut Sunnah Rasul Sallallahu ‘Alaihi
Wasallam”. Beliau telah menyenaraikan beberapa lafaz takbir yang
dilafazkan oleh para sahabah ra. pada hari raya.
Kedua, sunnah Nabi SAW pada pagi hari raya fitrah adalah Baginda SAW
menunaikan zakat fitrah sebelum solat Hari Raya. Ini adalah tuntutan
Islam yang juga merupakan sunnah Nabi SAW. Bukan kita mengatakan tidak
boleh mengeluarkan zakat fitrah awal, tetapi tuntutan sunnah lebih
afdhal dan lebih utama sekiranya kita mampu mengeluarkan zakat fitrah
sebelum solat hari raya.
Ketiga, menyiapkan diri dalam ertikata mandi tanpa ada lafaz niat
tertentu, kemudian memakai wangi-wangian bagi lelaki dan memakai pakaian
yang terbaik yang kita miliki. Tidak semestinya kita memakai pakaian
yang baru. Betapa indahnya perkataan Nabi SAW, Baginda tidak mengatakan
supaya memakai pakaian baru, tetapi Baginda menyuruh memakai pakaian
yang terbaik. Tidak ada masalah untuk memakai pakaian yang terbaik dari
tahun-tahun terdahulu dan ini juga termasuk di dalam sunnah.
Keempat, setelah berhias dengan memakai pakaian terbaik dan memakai
wangi-wangian bagi lelaki, pada hari raya fitrah secara khasnya kita
dituntut untuk makan terlebih dahulu sebelum keluar menuju ke tempat
solat Hari Raya. Berbeza dengan Hari Raya Korban di mana kita dituntut
makan selepas pulang dari solat, makan dari sembelihan kita sendiri.
Setelah makan, Nabi SAW berjalan menuju ke musolla yakni tanah lapang
tempat diadakan solat Hari Raya. Dalam perjalanan itu Baginda
bertakbir. Jadi kita perlu bermuhasabah, kadangkala kita lalai dan
memperdengarkan kepada kaum keluarga kita lagu-lagu raya, bahkan sebelum
raya lagi sudah banyak lagu-lagu raya dikumandangkan. Sedangkan hari
raya adalah masanya kita dituntut untuk memperbanyakkan takbir
mengagungkan dan memuji ALLAH SWT, malah kita dituntut menguatkan suara
ketika bertakbir dan sunnahnya takbir dilaungkan secara individu dan
bukan berjemaah.
Semua umat Islam dituntut untuk keluar ke tempat solat baik lelaki
mahupun perempuan, bahkan wanita yang haid serta kanak-kanak juga
diperintahkan ke tempat solat. Juga diperintahkan dalam hadis supaya
memberi pinjam tudung atau hijab kepada wanita yang tidak memilikinya
supaya seluruh Umat Islam dapat berkumpul pada masa solat Hari Raya
dikerjakan. Umat Islam harus memberi perhatian serius terhadap hal ini.
Daripada Ummu Athiyah ra. dia berkata, Rasulullah SAW memerintahkan
kami keluar pada Idul Fitri dan Idul Adha, baik wanita yang baru baligh,
wanita haid, mahupun gadis yang dipingit. Adapun wanita haid, mereka
memisahkan diri dari tempat pelaksanaan solat dan mereka menyaksikan
kebaikan serta dakwah kaum Muslimin. Aku berkata, ‘Wahai Rasulullah,
seorang dari kami tidak memiliki jilbab.’ Baginda bersabda, ‘Hendaklah
saudarinya meminjamkan jilbab kepadanya. (Al-Bukhari dan Muslim)
Kita juga dituntut menggunakan jalan yang berbeza ketika pergi dan
pulang dari tempat solat. Hal ini disebut dalam atsar sahabat Nabi SAW
yang menceritakan bahawa Nabi memilih jalan berbeza ketika perjalanan
pergi dan pulang, supaya boleh bertemu dengan lebih ramai di kalangan
manusia, mengucap syukur dan memuji ALLAH SWT serta menampakkan
kegembiraan.
Selesai solat Hari Raya, Nabi SAW akan berkhutbah, bukan seperti
khutbah Jumaat tetapi lebih berbentuk nasihat kepada kaum Muslimin agar
bersyukur dan memuji ALLAH SWT.
Maka dengan itu selesailah sunnah-sunnah di pagi raya. Adapun amalan
masyarakat memohon kemaafan dan sebagainya, itu hanyalah adat masyarakat
kita. Adapun dalam Islam, apabila melakukan kesalahan kita dituntut
cepat-cepat memohon kemaafan, jangan ditunda-tunda kerana kita tidak
tahu bilakah kita akan mati. Maka apabila ada kesilapan dan kesalahan,
jangan ditunda sehingga hari raya. Pada hari ini juga kita dituntut
memohon kemaafan. Adapun adat ini dari semasa ke semasa kita berusaha
untuk memahamkan masyarakat tentangnya.
Demikianlah sunnah-sunnah Rasulullah SAW di pagi raya yang boleh kita
praktikkan demi merealisasikan firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan
hendaklah kamu sempurnakan hari-hari itu (hari berpuasa) dan hendaklah
kamu bertakbir kepada Allah (membesarkan Allah) atas petunjuk yang
diberi kepadamu agar kamu tergolong di kalangan orang yang bersyukur.” (Surah Al-Baqarah, 2: 185)
Maka buktikan kesyukuran kita kepada ALLAH SWT dengan mengikuti
sunnah-sunnah RasulNya di pagi raya yang akan menjelang beberapa hari
lagi. Semoga amal kebaikan yang kita kerjakan diterima oleh ALLAH SWT
dan mudah-mudahan kita semua tergolong di kalangan hambaNya yang
bersyukur.
Penulis adalah Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ilmuwan Malaysia
Artikel ini disiarkan di akhbar pada Ahad, 04 Ogos 2013
Sumber: http://ilmuanmalaysia.com/buktikan-kesyukuran-kepada-allah-di-hari-raya/
Isnin, 2 September 2013
Sabtu, 31 Ogos 2013
Selasa, 27 Ogos 2013
Sabtu, 24 Ogos 2013
Selasa, 20 Ogos 2013
Selasa, 6 Ogos 2013
Langgan:
Catatan (Atom)