|
|
10 Hal Berkabung Yang Perlu Anda Ketahui Mengikut Petunjuk Al-Quran Dan As-Sunnah
1. Istirja’
Istirja’ adalah ccapan terbaik apabila dilanda musibah. Ucapan yang diajar Nabi ﷺ adalah "inna lillaahi wa inna ilaihi rajiun".
"Dan sungguh
akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan,
kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira
kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa
musibah, mereka mengucapkan,"Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un."
Mereka itulah yang mendapatkan keberkatan yang sempurna dan rahmat dari
Rabbnya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk". [Surah
Al Baqarah, Ayat 155-157]
2. Bantu keluarga si mati. Beri makan
Apabila berlaku
kematian, ahli keluarga pasti berada dalam kesedihan. Kita sebagai umat
Islam patut memahami situasi ahli keluarga yang baru kematian orang
yang tersayang. Apa yang diajar oleh Islam adalah kita mengucapkan
takziah, membantu dalam urusan jenazah dan memudahkan urusan mereka
seperti memberi mereka makan.
Ketika datang
berita kematian seorang sahabat yang bernama Ja’far, Rasulullah
bersabda: “Buatkanlah makanan untuk keluarga Ja’far, kerana mereka
ditimpa dengan sesuatu yang menyibukkan.” [Ibn Majjah no: 1610]
3. Tiga [3] hari bersedih
Sabda Rasulullah ﷺ:
"Tidak boleh
seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari Akhir untuk berkabung
atas kematian melebihi tiga hari, kecuali atas kematian suaminya" [HR
Muslim dalam Sahih-nya, Kitab Thalaq, bab Wujub Al Ihdaad, no. 3714]
4. Bagi Isteri yang kematian suami, tempoh berkabung baginya empat [4] bulan sepuluh [10] hari
Allah berfirman:
"Dan
orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka
meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri
mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah
habis masa idahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa
yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik (yang
diluluskan oleh Syarak). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui
dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan." [Surah Al Baqarah, Ayat
234]
Sabda ﷺ:
"Tidak boleh
seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari Akhir untuk berkabung
atas kematian melebihi tiga hari, kecuali atas kematian suaminya" [HR
Muslim dalam Shahih-nya, Kitab Thalaq, bab Wujub Al Ihdaad, no. 3714]
Dan dalam riwayat Bukhari terdapat tambahan lafazh:
"Maka ia
berkabung atas hal tersebut selama empat bulan sepuluh hari" [HR Bukhari
dalam Shahih-nya, Kitab Al Janaaiz, bab Ihdaad Al Mar’ah ‘Ala Ghairi
Zaujiha, no. 1280. Lihat Fathul Bari, Op.cit, hlm. 3/146.]
Dari Zainab bintu Abu Salamah, beliau berkata :
"Aku telah
mendengar Ummu Salamah berkata: “Seorang wanita datang menemui
Rasulullah ﷺ dan berkata,’Wahai, Rasulullah! Sesungguhnya puteriku
ditinggalkan oleh suaminya yang mati, dan dia mengeluhkan sakit pada
matanya. Apakah dia boleh mengenakan celak mata?’.” Lalu Rasulullah
menjawab “Tidak!” sebanyak dua atau tiga kali, semuanya dengan kata
tidak. Kemudian Rasulullah berkata: “Itu harus empat bulan sepuluh hari,
dan dahulu, salah seorang dari kalian pada zaman jahiliyah membuang
kotoran binatang pada akhir tahun.” [HR Bukhari, Kitab Thalaq, Bab
Tahiddu Al Mutawaffa ‘Anha Arba’ata Asyhur Wa ‘Asyra, no. 5.335. Lihat
Fathul Bari, Op.cit, hlm. 9/484.]
5. Tidak boleh bersolek atau berhias dalam tempoh berkabung
Berkabung,
dalam bahasa Arabnya adalah al hadaad ( الْحَدَادُ ). Maknanya, tidak
mengenakan perhiasan baik berupa pakaian yang menarik, minyak wangi atau
lainnya yang dapat menarik orang lain untuk menikahinya [1].
Pendapat lain
menyatakan, al hadaad adalah sikap wanita yang tidak mengenakan segala
sesuatu yang dapat menarik orang lain untuk menikahinya seperti minyak
wangi, celak mata dan pakaian yang menarik dan tidak keluar rumah tanpa
keperluan mendesak, setelah kematian suaminya [2].
[1] Lihat Fathul Bari, Ibnu Hajar, tanpa cetakan dan tahun, Al Maktabah As Salafiyah, Mesir, hlm. 3/146
[2] Lihat Al
Kalimaat Al Bayyinaat Fi Ahkam Hadaad Al Mukminat, Muhammad Al Hamuud An
Najdi, Cetakan Pertama, Tahun 1415 H, Dar Al Fath, hlm. 8.
6. Haram memakai pakaian khusus tanda berkabung
Islam tidak
mengajarkan di dalam berkabung untuk memakai sesuatu pakaian yang
khusus. Memakai pakaian khusus tanda berkabung adalah tasyabbuh atau
maksud lainnya menyerupai kaum atau agama lain.
Abdullah bin Umar radhiyallahu ‘anhuma berkata bahwa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barang siapa
menyerupai suatu kaum, dia termasuk golongan mereka.” [HR. Abu Dawud no.
4026 dengan sanad yang hasan. Lihat Jilbab al-Mar’atul Muslimah hlm.
203 karya al-Albani]
7. Tiada pakaian khusus berkabung samada gelap atau hitam
8. Kibar bendera separuh tiang tiada asas dalam agama
9. Malaysia patut menjadi contoh kepada negara lain cara berkabung menurut Islam. Bukan dengan cara meniru agama lain
Abdullah bin Umar radhiyallahu ‘anhuma berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barang siapa
menyerupai suatu kaum, dia termasuk golongan mereka.” [HR. Abu Daud no.
4026 dengan sanad yang hasan. Lihat Jilbab al-Mar’atul Muslimah hlm. 203
tulisan Syeikh al-Albani]
10. Mungkin
ada yang berpendapat beberapa ritual semasa berkabung adalah adat
kebiasaan maka terpulanglah. Kami hanya menyampaikan apa yang dinyatakan
di dalam Islam. Wallahua'lam
Ini adalah
pendirian dan pendapat Dr Fadlan Mohd Othman dan Dr Fathul Bari Mat
Jahya dari Pertubuhan Ilmuan Malaysia di dalam isu berkabung. Semoga
bermanfaat.