JOM BOOKCAFE

Jumaat, 13 April 2012

KAWAN,TEMAN ATAU SAHABAT

Nabi Muhammad s.a.w adalah Rasul Allah dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir (yang memusuhi Islam) dan sebaliknya bersikap belas kasihan sesama sendiri (umat Islam)..Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud,dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) daripada Tuhan mereka serta mengharapkan keredaan-Nya (Surah al-Fath:29)

Kalau anda menjadi sahabat,adakah anda memilih menjadi Hang Tuah atau hang Jebat? Sekadar satu soalan,jawapannya terserah kepada anda.

Rakan sejawat atau rakan sekerja ialah orang yang satu profesyen dengan kita dan sama-sama melaksanakan tugas sebagai guru.Pada dasarnya,kawan,teman dan sahabat adalah sama sahaja maksudnya,iaitu mereka yang selalu berdamping dengan kita selain daripada kaum kerabat.

Kata orang berkawan biar seribu,berkasih biar satu.Jika berteman biar hilang kesunyian,jika bersahabat biar dari dunia hingga akhirat.Persoalannya teman yang hendak dicari itu adakah ia teman seperjalanan,teman biasa tapi mesra,teman sejati,teman sehidup semati,atau teman seorang hidup dan seorang lagi mati?Apa pula bezanya dengan sahabat?

Ada pendapat mengatakan perbezaan antara kawan,teman dan sahabat dapat dinilai melalui keakraban perhubungan.Hubungan dengan kawan biasanya biasa-biasa saja.Hubungan dengan teman lebih akrab daripada kawan manakala dengan sahabat hubungannya lebih erat lagi.

Dalam berkawan kita mencari teman,dalam berteman kita mencari sahabat.Dalam pengalaman hidup kita sebagai guru,tentu kita telah menemui pelbagai jenis kawan atau teman.Tentunya kita telah sedia maklum bahawa bukan semua orang dapat dijadkan teman baik atau sahabat.Apatah lagi Nabi s.a.w juga telah berpesan yang mafhumnya: seseorang itu menurut agama temannya,maka hendaklah kamu meneliti orang yang akan dijadikan teman baiknya.(HR Abu Daud & Tirmizi)

Jika kita berkesempatan merenung atau membayangkan wajah teman-teman yang kita kenali,kita akan dapati sebenarnya teman-teman kita itu adalah cerminan diri kita.Seseorang itu biasanya akan berkawan atau bersahabat dengan orang yang serasi dengan dirinya.Bagaimana kita menghadapi mereka,begitulah mereka melayani kita.What we give we get it back.Kalau kita boleh menjadi teman atau sahabat yang baik tetapi mereka tidak,maka itu adalah ujian buat kita yang memerlukan reda dan sabar.

Rasulullah s.a.w telah bersabda: Orang mukmin yang bergaul dengan orang lain dan sabar menghadapi gangguan mereka lebih baik daripada mukmin yang tidak bergaul dengan orang lain dan tidak sabar menghadapi gangguan mereka (Riwayat at-Tirmizi)

Malah kita sebenarnya memang wajib bergaul dalam usaha menegakkan amar makruf nahi mungkar.Kalau kita mendapat sahabat sejati dalam pergaula,itu merupakan bonus dan nikmat buat kita yang perlu disyukuri.Jika yang diperoleh sekadar teman seiring jalan alangkah baiknya jika kita jadikan dia sahabat yang sejati.

Antara ciri-ciri orang yang baik untuk kita jadikan sahabat menurut Imam al-Ghazali ialah:
  1. Baik akalnya-boleh berfikir dengan rasional,tidak kurang akal atau jahil.
  2. Baik budi pekertinya-berakhlak mulia dan bersopan santun
  3. Baik agamanya-bukan daripada golongan fasik atau maksiat.
  4. Zuhud-tidak tamakkan dunia
 Sahabat yang mempunyai ciri-ciri tersebut dapat membantu kita dalam menjalani hidup dan kerjaya yang penuh cabaran ini.Indahnya hidup ini jika guru dapat berteman dengan sahabat-sahabat sebegini,yang boleh diharapkan,dipercayai,sokong-menyokong,dan menyayangi antara satu sama lain.Sahabat yang baik adalah anugerah Allah S.W.T yang tidak ternilai.Sahabat yang baik menjadi penunjuk jalan,penguat langkah dan azam.Manusia yang lemah seperti kita tentunya memerlukan teman untuk berkongsi suka dan duka,untuk mengingatkan kita jika terleka.

Kisah Nabi Musa a.s Al-Quran (Surah Taha:29) yang memohon teman daripada Allah untuk membantu menguatkannya membuktikan betapa seorang manusia hatta seorang nabi sekalipun amat memerlukan teman untuk menemani dalam urusan seharian.

Saidina Umar al-Khattab r.a berkata,"Tiada satu kebaikan pun yang dianugerahkan kepada seorang hamba sesudah Islam,selain saudaranya yang soleh.Apabila seseorang di antara kamu merasakan sentuhan kasih sayang dari saudaranya,maka hendaklah ia berpegang kepadany,"yakni tidak melepaskannya dan menghargai teman tersebut kerana kita sebenarnya telah dianugerahi nikmat yang sangat besar.

Sahabat yang baik umpama penawar manakala sahabat yang jahat umpama racun.Jika kita ingin mendapat sahabat yang boleh penawar,kita hendaklah menjadikan diri kita sebagai penawar terlebih dahulu.Jika ingin dicintai kita terlebih dahulu mesti menanmkan rasa cinta kepada sahabat.

Hubungan persahabatan yang tulus dan ikhlas sebenarnya merupakan salah satu jalan menuju syurga Allah S.W.T.Hubungan persahabatan yang didasari cinta dan perpisahan kerana Allah akan mendapat naungan Arasy Allah  di Akhirat kelak.Abu Hurairah r.a meriwayatkan sabda Rasulullah s.a.w mafhumnya :Tujuh golongan manusia yang akan berada di bawah naungan Arasy-Nya pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya...dua orang yang berkasih sayang (bersahabat) bertemu dan berpisah kerana Allah (HR Muslim)

Saiyidina Ali k.w pernah mengatakan bahawa sahabat yang sebenar ialah orang yang sanggup membahayakan dirinya dan sanggup berkorban demi kemanfaatan sahabatnya.Mampukah kita menjadi sahabat sebegini?Cuba kita nilai diri kita dalam bersahabat berdasarkan tiga tingkat yang digariskan oleh Imam Al-Ghazali ini
  1. Tingkat pertama yang paling rendah menjadikan sahabat sebagai pembantu diri-mengutamakan keperluan diri sebelum sahabat.
  2. Tingkat kedua meletakkan sahabat setaraf dengan diri sendiri-sentiasa memenuhi keperluan sahabat sebagaimana keperluan diri.
  3. Tingkat ketiga mengutamakan sahabat lebih daripada diri sendiri-ini adalah tingkat kaum siddiqin yang benar-benar ikhlas dalam persahabatan.
Jika hubungan kita dengan sahabat tidak termasuk dalam salah satu kategori di atas,itu hanyalah persahabatan secara lahiriah yang tidak meresap jauh ke hati malah tidak berbekas pada akal dan agama.Persahabatan terbentuk dengan adanya jalinan perasaan,rasa keserasian,kebersamaan,saling memahami dan saling memerlukan.Persahabatan dalam Islam berteraskan keimanan dan persaudaraan Islam.

Fungsi atau peranan sahabat dalam profesyen perguruan amat penting kerana dengan adanya sahabat,ia dapat memotivasikan kita.Sahabat sentiasa bersama kita semasa senang mahupun susah,seiring dan sejalan,tidak berjalan dahulu meninggalkan kita atau ketinggalan di belakang kita.Tangannya sentiasa dihulur ketika kita memerlukan.Sahabat adalah penasihat,pemantau dan penyumbang bukannya pen "sumbang" kepada kerjaya kita.

Di sekolah teman sejawat amat penting bagi kita untuk membina pasukan (team building) dan bekerja secara berpasukan (team work).Kerja-kerja di sekolah kebanyakannya perlu dilaksanakan secara kolektif.Ini memerlukan kita mempunyai vision (wawasan) dan mission (cara merealisasikan wawasan) yang sama hala tuju dan saling mempercayai.tanpa kepercayaan dan hala tuju yang sama,ditambah pula dengan sikap mementingkan diri sendiri dan hasad dengki,kita tidak akan ke mana-mana.

kawan.teman atau sahabat mempunyai pengaruh  yang besar ke atas diri seseorang.Buruk baik seseorang dapat dinilai melalui sahabatnya.Justeru dalam kita berkawan,carilah teman dalam berteman carilah sahabat.andai telah bertemu sahabat,hargailah persahabatan itu,biarlah membawa hingga ke syurga.

Moga-moga Allah S.W.T mengurniakan sahabat yang boleh membimbing kita untuk menuju keredhaan-Nya.Moga-moga Allah S.W.T menjadikan kita sahabat yang setia mengajak teman ke arah kebaikan.Mudah-mudahan juga Allah S.W.T mengurniakan kepada kita nikmat persahabatan.

Kita mungkin hanya memerlukan masa hanya seminit untuk bertemu sahabat sejati tetapi memakan masa yang lama untuk mengenali,menghargai dan menyayanginya.Kita mungkin memerlukan seumur hidup pula untuk melupainya.Selamat menjalin persahabatan yang suci dan ikhlas.

MENCARI SAHABAT SEJATI UMPAMA MENCARI SEBUTIR PERMATA DI CELAH BUTIRAN PEPASIR DI PANTAI
nukilan dari buku : Guru Jutawan Akhirat 
                                terbitan Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pelajaran Pulau Pinang.

    PROGRAM EKSPLORASI HAJI 2012-SMK TANJONG BUNGA


    Khamis, 12 April 2012

    PROGRAM EKSPLORASI HAJI


    click to create your own
     

    PENGERUSI: NOORIAH BT MOHAMAD
    NAIB PENGERUSI: AZRINA BT MUKHTAR
    SASARAN:PELAJAR TINGKATAN 4 DAN 5 SERTA PENDUDUK KAMPUNG TANJUNG BUNGA
    PENYELARAS: WAN NUR HANANI WAN HANAPI
    SATIAUSAHA:NUR MUNIRAH MUHD FADZIR
    BENDAHARI:HANIF ABD RAHMAN

    LDP PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH BAHASA MELAYU & BAHASA INGGERIS

    Rabu, 11 April 2012

    11 April Cuti Umum Sempena Pertabalan Agong



    Hari pertabalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 11 April 2012 depan diisytiharkan sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara.
    Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan, berkata pengisytiharan hari kelepasan am itu dibuat berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369) bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
    "Bagi Sabah dan Sarawak, tindakan diambil oleh kerajaan-kerajaan negeri tersebut mengikut undang-undang negeri masing-masing," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
    Sidek berkata dua acara utama akan diadakan sempena pertabalan Seri Paduka iaitu Istiadat Pertabalan pada sebelah pagi dan Majlis Santapan Diraja pada sebelah malam, kedua-duanya di Istana Negara.
    Tuanku Abdul Halim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 13 Disember lalu, menggantikan Sultan Mizan Zainal Abidin yang tamat tempoh pemerintahan pada 12 November 2011. - BERNAMA

    TADAHLAH TANGANMU UNTUK ANAK MURIDMU..

    Dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka) :Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir kepada mereka ,Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka berada dalam kebenaran.(Surah al-Baqarah : 186 )

    Setelah Nabi Muhammad s.a.w dan Zaid bin Harithah r.a dilontar batu oleh Bani Thaqif,akhirnya baginda terpaksa meninggalkan mereka.Harapannya untuk berdakwah di bumi yang jaraknya kira-kira 70 batu dari Kota Makkah,berakhir dengan tragedi pilu.Baginda dihina dan dilontarkan batu sehingga berdarah,

    Seterusnya Baginda s.a.w berjalan keluar meninggalkan Bani Thaqif sehingga berhenti rehat di kebun anggur milik seorang Musyrikin Makkah.di kala itulah baginda menadah tangan berdoa kepada Allah :

    Ya Allah… Kepadamu aku mengadukan kelemahan kekuatanku,
    Dan sedikitnya kemampuanku,
    Serta kehinaanku dihadapan manusia.
    Wahai Sebaik-baik pemberi kasih sayang,
    Engkaulah Tuhan orang-orang yang lemah dan Engkau adalah Tuhanku.
    Kepada siapakah Engkau serahkan diriku,
    Kepada orang yang jauh yang menggangguku,
    Atau kepada musuh yang akan menguasai urusanku,
    Asalkan Engkau tidak marah padaku maka tiadalah keberatan bagiku,
    Akan tetapi kemurahan-Mu jauh lebih luas bagiku.
    Aku berlindung dengan Cahaya Wajahmu yang akan menerangi seluruh kegelapan,
    Dan yang akan memberikan kebaikan segala urusan dunia dan akhirat,
    Untuk melepaskan aku dari Marah-Mu,
    Atau menghilangkan Murka-Mu dariku.
    Hanya pada-Mu aku merintih berharap mendapatkan Keridloan-Mu,
    Dan tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan-Mu
    (Rujuk Raheeq al-Makhtum, Syeikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri)

    Lihalah bagaimana seorang Nabi yang dianugerahi mukjizat namun mengakui kekerdilan dirinya berhadapan dengan masalah yang dihadapinya.

    Ayuh kita muhasabah diri sejenak,kita ketuk suara hati kita.Pernahkah kita menadah tangan mengadu pada Yang Esa,mengakui kelemahan diri di saat menghadapi situasi yang sukar.

    Seringkali kita hanya menyalahkan murid,memarahi mereka,mendenda dan sebagainya sehingga  kadangkala pelbagai gelaran mereka berikan kepada kita di luar pengetahuan kita.Sebenarnya mereka sedikit pun tiada rasa hormat kepada kita tetapi mereka semata-mata takut kepada kita.Alangkah ruginya andai perkara sedemikian terjadi.

    Hidup ini umpama roda.Jika hari ini kita berbuat baik kepada anak orang lain,tidak mustahil Allah S.W.T akan membalas balik apa yang kita lakukan.Cuba fikirkan anak-anak guru rata-rata tidak diajar sepenuhnya oleh ibu bapanya sendiri walaupun mereka bergelar guru.Tetapi mengapa ramai anak guru berjaya dalam hidup dan kerjaya mereka?Yakinlah dengan janji Allah S.W.T.Jika kita berbuat baik kepada orang lain,Allah S.W.T akan membalas segala kebaikan berkali-kali ganda.

    Kata-kata guru itu masin.Kisah benar ini mungkin boleh menginsafkan kita betapa tutur kata kita hendaklah dijaga agar tidak menjadi doa yang akhirnya menganiaya hidup pelajar kita seumur hidupnya.

    Suatu hari,seorang guru yang sudah tidak dapat lagi menahan sabarnya mengeluarkan kata-kata kesat "kurang ajar.Sia-sialah saja kamu belajar.Tengoklah nanti ,kamu tidak akan hidup senang!"Kata-kata ini diucapkan kepada seorang calon murid cemerlang SPM kerana melanggar disiplin asrama.

    Hampir 10 tahun berlalu.Suatu hari guru yang telah bersara ini dalam perjalanan ke selatan tanah air.Dia singgah di sebuah stesen minyak untuk mengisi minyak keretanya.Pada mulanya tiada apa-apa yang menarik perhatian.Tetapi kelibat seorang pencuci kereta mencuri tumpuannya.Setelah lama diperhatikan dia mengerutkan dahi."macam pernah ku tengok budak ni.Tapi di mana ya?"fikir guru tersebut.

    "Eh,muridku sewaktu aku mengajar di SM....dahulu."Si pencuci kereta perasan dirinya diperhatikan lantas diapun bertanya sama ada pemandu kereta tersebut ingin mencuci kereta.tetapi alangkah terkejutnya apabila terpandang wajah guru yang pernah menjadi warden asramanya suatu ketika dahulu.Tiada kata-kata dapat diucapkan.

    "Cikgu,saya minta maaf.Dulu saya degil.Tapi kini saya sedar akibat tidak mendengar nasihat cikgu."Sayu sekali luahan hati si pencuci kereta.

    "Sebenarnya cikgulah yang amat bersalah sebab marah kamu dulu.Akibatnya kamu jadi begini.Kawan-kawan kamu semuanya dapat kerja bagus-bagus.Kasihannya kamu...cikgu minta maaf.Cikgu halalkan ilmu yang cikgu beri selama ini dengan perasaan bersalah yang amat sangat.

    1001 macam kisah dan cerita sering kita dengar berkaitan dengan doa guru.Kita menumpang gembira jika pelajar-pelajar kita berjaya,Mudah-mudahan ilmu yang ditinggalkan akan menjadi satu sedekah jariah yang bakal membantu kita di akhirat kelak.Tetapi jika murid gagal disebabkan kesilapan dan kesombongan kita alangkah ruginya kita kerana melakukan kerja yang sia-sia.Sedangkan tugas guru adalah profesyen yang mulia.

    Rugikah kita mendoakan anak-anak murid yang sememangnya amat memerlukan bimbingan dan didikan dari guru-guru yang berjiwa mulia?Jatuhkah martabat jika kita mengangkat tangan memohon kejayaan anak-anak murid kita?Percayalah,semakin kita dekat dengan Allah S.W.T semakin kuat semangat kita.Walau apa pun cabaran yang bakal mendatang kita sudah memiliki kekuatan dalaman dan mudah-mudahan tugas-tugas yang menjadi rutin harian kita dapat dilakukan dengan cemerlang.

    Sebenarnya kita adalah insan yang amat bertuah kerana bergelar pendidik.Kita umpama arkitek yang bebas menetukan hasil binaan kita.Kita juga umpama kilang yang memproses produk kemanusiaan yang bakal menetukan hala tuju negara.

    Justeru mari renung bersama demi anak-anak didik yang amat kita kasihi.Mulai saat ini sering-seringlah mendoakan agar pelajar-pelajar kita terbuka pintu hatinya dalam menerima ilmu pengetahuan yang kita curahkan.Sebutlah nama mereka di dalam doa kita.

    Pernahkah kita mendoakan pelajar kita sebelum ini?Di dalam keheningan malam yang syahdu,bangkitlah dari tidurmu yang lena.Dirikanlah solat tahajud dan inilah waktu yang amat mustajab untuk kita memohon perkenan Ilahi.Ingatlah jika kita ikhlas dan bersungguh-sungguh,doa guru untuk pelajarnya InsyaAllah dimakbulkan.Justeru,sewajarnya kita mendoakan yang baik-baik untuk anak-anak didik kita.

    DOA ITU SENJATA MUKMIN
    nukilan dari buku : Guru Jutawan Akhirat 
                                    terbitan Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pelajaran Pulau Pinang.


    Isnin, 9 April 2012

    SAPA

    ...Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad),engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati,tentulah mereka lari dari kelilingmu...(Surah Ali Imran :159)

    Tersebutlah kisah dalam al-Quran apabila Allah S.W.T memerintahkan Nabi Musa a.s dan saudara lelakinya Nabi Harun a.s untuk bertemu dengan Firaun.Allah S.W.T mengingatkan kedua-duanya supaya berbicara dengan kata-kata yang baik, walaupun Si Firaun itu seorang raja yang zalim dan angkuh sehingga mengaku sebagai Tuhan sedangkan iblis sendiri pun tidak berani mengaku sebagai Tuhan.

    Kisah ini membuktikan betapa pentingnya penyampaian dengan kata-kata yang baik dan berhikmah sekalipun orang yang dilawan bercakap itu seorang pemimpin yang zalim.Apatah lagi jika pemimpin itu tidak zalim maka lebih utamalah untuk berbicara dengan kata-kata manis dan berhikmah.Almaklumlah manusia memang suka mendengar yang manis dan benci mendengar kata-kata yang kesat dan pahit.

    Rasulullah s.a.w mengajar kita supaya bercakap dengan seseorang mengikut kadar akal mereka.Ini menggambarkan peribadi baginda yang sentiasa bercakap,berbincang dan berhujah mengikut kumpulan sasaran yang berada di hadapannya.

    Komunikasi di sekolah tentunya mempunyai fungsi-fungsi tertentu,antaranya untuk menjalinkan hubungan sesama guru,guru dan pentadbir bahkan guru dengan murid.Bayangkanlah sebuah komuniti yang penghuninya sunyi daripada sapaan,senda gurau,tegur menegur dan snyuman tentunya akan menjadi gersang,kontang dan tidak bermaya.

    Dengan sekadar senyuman,ucapan salam atau berjabat tangan sudahpun terjalin satu hubungan .Lebih-lebih lagi pada zaman moden ini,SMS,MMS dan emel dapat mempercepatkan lagi aktiviti komunikasi antara kita.Jom kita bina hubungan silatulrahim.Semoga hidup kita bertambah indah,ceria dan bersemangat.

    Berkomunikasi adalah mudah.Berkomunikasi dengan orang lain adalah mengambil berat tentang diri orang itu ,bertanya untuk mengetahui keperluannya ,mendahulukan kepentingannya dan mengenal pasti serta memenuhi keperluan psikologinya.

    Kehidupan kita adalah jalinan antara suka dan duka umpama siang da malam,hujan dan panas yang silih berganti.begitu jugalah kita.Ada masanya kita memberi ucapan tahniah kepada orang lain dan ada masanya kita menerimanya.Ada masanya kita memberi takziah dan ada masanya kita yang menerima takziah.

    Sebagai seorang manusia,disamping kita menjalinkan hubungan sesama kita,kita juga perlu membina rangsangan dalam perhubungan.Manusia memerlukan rangsangan fizikal seperti sentuhan,belaian dan rangsangan mental.Manusia juga memerlukan rangsangan emosi supaya dapat mengalami perasaan seronok,suka,gembira,bahagia dan puas.

    Rangsangan emosi boleh diberikan dengan menggunakan kemahiran berkata-kata secara positif .Kemahiran berbual-bual,memuji dan bergurau adalah sangat perlu dalam berkomunikasi .Terutamanya antara guru sesama guru dan pentadbir.

    Renungkanlah bingkisan daripada sasterawan negara ini

    Guru
    Atap ganti ketika podok bocor
    Kitab sejarah dalam bilik darjah
    Senyum penyembuh bagi wabak sengsara.
    Ia
    Sungai rangsang sentiasa tenang,
    Menghantar bahtera ke segara darma,
    Memesan angin menghikmatkannya.

    Obor Hemah oleh A.Samad Said, 2 April 1988

    Untuk membina keyakinan diri,manusia memerlukan kemuliaan dan penghargaan.Dengan cara berkomunikasi mereka berasa dii mereka diperlukan,dihargai dan penting kepada orang lain.Perasaan tersebut adalah asas kepada keyakinan diri yang sihat.

    Setiap perkara ada adab dan pantang larangnya.Bermain ada adab,makan ada adab,masuk ke tandas ada adab,menguap pun ada adabnya.Kalau sekecil-kecil perkara pun Islam menitikberatkan adab-adabnya,apatah lagi dalam perkara-perkara yang besar.Begitulah juga apabila kita berkomunikasi maka tentulah ada adab-adabnya.

    Amalkan beradab walau dengan siapa kita berkomunikasi,samaada kita berkomunikasi dengan rakan sejawat,pentadbir,pelajar dan sesiapa sahaja.Perkara terpenting dalam komunikasi adalah jujur.Jujur apa yang hendak kita perkatakan.Jangan cuba menipu atau menokok tambah.Katakan apa yang benar itu bebar dan yang salah itu salah walaupun yang benar itu pahit dan yang salah itu manis.

    Jangan hanya apa yang disampaikan mesti benar,tapi pastikan juga cara penyampaiannya juga benar.Oleh itu bila berbicara gunalah perkataan yang baik,intonasinya sesuai,tidak mengikut emosi agar apa yang disampaikan itu dapat diterima  dan difahami dengan baik.

    Ramai orang yang terluka hati kerana kata-kata.ramai juga yang gembira dengan sebab kata-kata.Ayuhlah kita jaga kata-kata kita menggembirakan hati sahabat kita dan seterusnya hubungan akan terus terjalin kukuh.

    SESIAPA YANG TIDAK SUKA MENYAPA,USAH DIHARAPKAN AKAN DISAPA


    nukilan dari buku : Guru Jutawan Akhirat 
                                    terbitan Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pelajaran Pulau Pinang.