Setelah Nabi Muhammad s.a.w dan Zaid bin Harithah r.a dilontar batu oleh Bani Thaqif,akhirnya baginda terpaksa meninggalkan mereka.Harapannya untuk berdakwah di bumi yang jaraknya kira-kira 70 batu dari Kota Makkah,berakhir dengan tragedi pilu.Baginda dihina dan dilontarkan batu sehingga berdarah,
Seterusnya Baginda s.a.w berjalan keluar meninggalkan Bani Thaqif sehingga berhenti rehat di kebun anggur milik seorang Musyrikin Makkah.di kala itulah baginda menadah tangan berdoa kepada Allah :
Ya Allah… Kepadamu aku mengadukan kelemahan kekuatanku,
Dan sedikitnya kemampuanku,
Serta kehinaanku dihadapan manusia.
Wahai Sebaik-baik pemberi kasih sayang,
Engkaulah Tuhan orang-orang yang lemah dan Engkau adalah Tuhanku.
Kepada siapakah Engkau serahkan diriku,
Kepada orang yang jauh yang menggangguku,
Atau kepada musuh yang akan menguasai urusanku,
Asalkan Engkau tidak marah padaku maka tiadalah keberatan bagiku,
Akan tetapi kemurahan-Mu jauh lebih luas bagiku.
Aku berlindung dengan Cahaya Wajahmu yang akan menerangi seluruh kegelapan,
Dan yang akan memberikan kebaikan segala urusan dunia dan akhirat,
Untuk melepaskan aku dari Marah-Mu,
Atau menghilangkan Murka-Mu dariku.
Hanya pada-Mu aku merintih berharap mendapatkan Keridloan-Mu,
Dan tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan-Mu
(Rujuk Raheeq al-Makhtum, Syeikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri)
Lihalah bagaimana seorang Nabi yang dianugerahi mukjizat namun mengakui kekerdilan dirinya berhadapan dengan masalah yang dihadapinya.
Ayuh kita muhasabah diri sejenak,kita ketuk suara hati kita.Pernahkah kita menadah tangan mengadu pada Yang Esa,mengakui kelemahan diri di saat menghadapi situasi yang sukar.
Seringkali kita hanya menyalahkan murid,memarahi mereka,mendenda dan sebagainya sehingga kadangkala pelbagai gelaran mereka berikan kepada kita di luar pengetahuan kita.Sebenarnya mereka sedikit pun tiada rasa hormat kepada kita tetapi mereka semata-mata takut kepada kita.Alangkah ruginya andai perkara sedemikian terjadi.
Hidup ini umpama roda.Jika hari ini kita berbuat baik kepada anak orang lain,tidak mustahil Allah S.W.T akan membalas balik apa yang kita lakukan.Cuba fikirkan anak-anak guru rata-rata tidak diajar sepenuhnya oleh ibu bapanya sendiri walaupun mereka bergelar guru.Tetapi mengapa ramai anak guru berjaya dalam hidup dan kerjaya mereka?Yakinlah dengan janji Allah S.W.T.Jika kita berbuat baik kepada orang lain,Allah S.W.T akan membalas segala kebaikan berkali-kali ganda.
Kata-kata guru itu masin.Kisah benar ini mungkin boleh menginsafkan kita betapa tutur kata kita hendaklah dijaga agar tidak menjadi doa yang akhirnya menganiaya hidup pelajar kita seumur hidupnya.
Suatu hari,seorang guru yang sudah tidak dapat lagi menahan sabarnya mengeluarkan kata-kata kesat "kurang ajar.Sia-sialah saja kamu belajar.Tengoklah nanti ,kamu tidak akan hidup senang!"Kata-kata ini diucapkan kepada seorang calon murid cemerlang SPM kerana melanggar disiplin asrama.
Hampir 10 tahun berlalu.Suatu hari guru yang telah bersara ini dalam perjalanan ke selatan tanah air.Dia singgah di sebuah stesen minyak untuk mengisi minyak keretanya.Pada mulanya tiada apa-apa yang menarik perhatian.Tetapi kelibat seorang pencuci kereta mencuri tumpuannya.Setelah lama diperhatikan dia mengerutkan dahi."macam pernah ku tengok budak ni.Tapi di mana ya?"fikir guru tersebut.
"Eh,muridku sewaktu aku mengajar di SM....dahulu."Si pencuci kereta perasan dirinya diperhatikan lantas diapun bertanya sama ada pemandu kereta tersebut ingin mencuci kereta.tetapi alangkah terkejutnya apabila terpandang wajah guru yang pernah menjadi warden asramanya suatu ketika dahulu.Tiada kata-kata dapat diucapkan.
"Cikgu,saya minta maaf.Dulu saya degil.Tapi kini saya sedar akibat tidak mendengar nasihat cikgu."Sayu sekali luahan hati si pencuci kereta.
"Sebenarnya cikgulah yang amat bersalah sebab marah kamu dulu.Akibatnya kamu jadi begini.Kawan-kawan kamu semuanya dapat kerja bagus-bagus.Kasihannya kamu...cikgu minta maaf.Cikgu halalkan ilmu yang cikgu beri selama ini dengan perasaan bersalah yang amat sangat.
1001 macam kisah dan cerita sering kita dengar berkaitan dengan doa guru.Kita menumpang gembira jika pelajar-pelajar kita berjaya,Mudah-mudahan ilmu yang ditinggalkan akan menjadi satu sedekah jariah yang bakal membantu kita di akhirat kelak.Tetapi jika murid gagal disebabkan kesilapan dan kesombongan kita alangkah ruginya kita kerana melakukan kerja yang sia-sia.Sedangkan tugas guru adalah profesyen yang mulia.
Rugikah kita mendoakan anak-anak murid yang sememangnya amat memerlukan bimbingan dan didikan dari guru-guru yang berjiwa mulia?Jatuhkah martabat jika kita mengangkat tangan memohon kejayaan anak-anak murid kita?Percayalah,semakin kita dekat dengan Allah S.W.T semakin kuat semangat kita.Walau apa pun cabaran yang bakal mendatang kita sudah memiliki kekuatan dalaman dan mudah-mudahan tugas-tugas yang menjadi rutin harian kita dapat dilakukan dengan cemerlang.
Sebenarnya kita adalah insan yang amat bertuah kerana bergelar pendidik.Kita umpama arkitek yang bebas menetukan hasil binaan kita.Kita juga umpama kilang yang memproses produk kemanusiaan yang bakal menetukan hala tuju negara.
Justeru mari renung bersama demi anak-anak didik yang amat kita kasihi.Mulai saat ini sering-seringlah mendoakan agar pelajar-pelajar kita terbuka pintu hatinya dalam menerima ilmu pengetahuan yang kita curahkan.Sebutlah nama mereka di dalam doa kita.
Pernahkah kita mendoakan pelajar kita sebelum ini?Di dalam keheningan malam yang syahdu,bangkitlah dari tidurmu yang lena.Dirikanlah solat tahajud dan inilah waktu yang amat mustajab untuk kita memohon perkenan Ilahi.Ingatlah jika kita ikhlas dan bersungguh-sungguh,doa guru untuk pelajarnya InsyaAllah dimakbulkan.Justeru,sewajarnya kita mendoakan yang baik-baik untuk anak-anak didik kita.
DOA ITU SENJATA MUKMIN
nukilan dari buku : Guru Jutawan Akhirat
terbitan Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pelajaran Pulau Pinang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan