SEJAK kebelakangan pasti ada berita mengenai kerenah ibu bapa yang
melenting apabila anak mereka didenda di sekolah. Inilah antara sifat
ibu bapa zaman sekarang. Amat berbeza dengan ibu bapa zaman saya masih
bersekolah dulu.
Ibu bapa dulu amat tegas dan menitikberatkan disiplin anak.
Anak akan berada di rumah sebelum Maghrib dan terus masuk tidur selepas
mengulang kaji pelajaran.
Maghrib dan Isyak adalah untuk beribadah bersama keluarga. Nilai
sebeginilah menentukan akhlak remaja. Sebab itulah saya kini menjadi
‘orang’, bukannya penagih, perogol atau penyamun.
Dulu, di sekolah kita takut untuk melakukan kesalahan.
Bimbang kena denda dengan guru dan apabila pulang, ibu atau bapa pula
menghukum atas kesalahan sama.
Namun kini, pelajar semakin berani melanggar disiplin, melawan
arahan guru serta melakukan kesalahan sesama pelajar kerana tahu tidak
akan didenda dan guru kini sudah tidak ambil pedulikan mereka.
Puncanya, apabila ibu bapa selalu menyalahkan sekolah apabila
anak didenda walaupun hukuman itu hanyalah untuk menyedarkan pelajar.
Banyak kes ibu bapa menyerang guru hanya disebabkan hukuman kecil
seperti memotong rambut.
Ibu bapa menyalahkan guru tanpa usul periksa. Mereka terlalu
memanjakan anak serta terlalu percaya kata anak mereka. Ada juga ibu
bapa menggunakan media untuk menghentam sekolah dan turut mengheret
kementerian berkaitan. Ibu bapa juga berani menggunakan ahli politik
semata-mata untuk mempertahankan kesalahan anak mereka.
Institusi pendidikan kini bagaikan tempat berpolitik bagi ibu
bapa, mencari publisiti di akhbar serta tempat melepaskan geram bagi
pihak anak. Tiada lagi rasa hormat kepada guru, yang ada hanya syak
wasangka.
Apabila anak ‘naik lemak’, ibu bapa tidak menghormati guru dan
guru takut mengambil tindakan maka pincanglah sistem pendidikan.
Hasilnya lahirlah generasi tidak takut undang-undang, pemberontak, melanggar tatasusila dan tidak mengenal halal dan haram.
BUKAN GURU,
Cheras.
Nota kaki:Antara tugas guru ialah mendidik pelajar supaya menjadi manusia yang berguna dan kaedah didikan bukanlah semata-mata nasihat dan teguran.Terkadang tindakan disiplin yang lebih tegas perlu diambil untuk melatih dan menyedarkan pelajar supaya mematuhi peraturan sekolah setelah berkali-kali nasihat dan surat amaran dikeluarkan.Kalau semua manusia mampu berubah hanya dengan kata-kata...nescaya negara kita tidak memerlukan polis dan tentera untuk menjaga keamanan negara.Fikir-fikirkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan