JOM BOOKCAFE

Isnin, 15 September 2014

4 KAEDAH PENTING AMAR MA’RUF & NAHI MUNKAR MENGIKUT AL-QURAN & SUNNAH

Oleh:Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

268810_10151939846633327_1785552112_nDi dalam sebuah buku yang menarik, karangan Dr. Ar-Ruhaili bertajuk Qawa’id al-Muhimmah fil Amri bil Ma’ruf wan Nahya ‘anil Munkar Fi Dhau’il Kitaabi was Sunnah (Kaedah-kaedah Penting Dalam Amar Ma’ruf Nahi Munkar Mengikut Al-Quran dan As-Sunnah), disusun empat peringkat cara menegur manusia. Hal ini penting kerana sebahagian kita apabila mendapat sesuatu berasaskan fakta kita merasa seronok untuk menyampaikannya kepada orang ramai, dan penyakit kita pula ialah kita ingin orang berubah dengan serta merta.
Jadi kitab ini menjelaskan peringkat-peringkat bagaimana kaedah Nabi menasihati manusia. Sebahagian orang hanya mengikut contoh Nabi yang tegas dan keras sahaja dalam dakwahnya, contoh ketika Nabi lembut dia tidak mengambilnya. Sebahagian yang lain pula mengambil contoh ketika Nabi lembut sahaja, diguna pakai untuk semua orang. Dalam kitab tersebut disusun empat peringkat mengikut keadaan;

Pertama: Lembutkan perkataan
Bagi orang yang jahil, nasihatinya dengan lemah lembut. Dalam hadis Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh Abu Dawud, Nabi sallallahu’alaihi wasallam di kala ingin menasihati di dalam beberapa isu, Baginda sallallahu’alaihi wasallam bersabda,
أنا منكم بمنزلة الوالد وعلمكم
“Aku dari kalangan kamu dengan kedudukanku seperti ayah, dan aku mengajari kalian.”
Maksudnya, Nabi menegur dan memperbetulkan sahabat dengan cara Baginda menggambarkan dirinya sebagai seorang ayah. Bagaimana seorang ayah menegur anak? Ayah menegur anaknya kerana menginginkan kebaikan untuk anaknya.
Lihat apa yang Nabi tampilkan. Berbeza dengan sikap sebahagian kita yang menjerkah dan memalukan orang yang dinasihati sehingga nasihat itu tidak memberikan sebarang kebaikan kepadanya, malah membuatkan dia semakin jauh daripada kita.
Sebab itu di dalam hadis yang masyhur, apabila datang kepada Nabi orang Yahudi yang mengucapkan “As-saam ‘alaikum” (celaka ke atas kamu), Aisyah berkata “Laknat Allah kembali ke atas kamu.” Kata Nabi sallallahu’alaihi wasallam, “Ya Aisyah, innallaha yuhibbu ar-rifqa fil amri kul” (sesungguhnya Allah menyukai kelembutan di dalam semua urusan).
Kemudian Nabi sallallahu’alaihi wasallam membalas kembali ucapan Yahudi tersebut, “wa’alaikum” (dan ke atasmu juga). Kan lembut sahaja perkataan itu walaupun maksudnya menikam. Nabi tidak menggunakan perkataan celaka dan laknat.
Seperti Imam Syafi’i dan muridnya Al-Muzani. Al-Muzani apabila ingin mengkhabarkan perawi hadis itu pendusta dia mengatakan “kazzab” (pendusta), Imam Syafi’i berkata kepadanya, “layyin qaulak” (lembutkanlah perkataanmu). Al-Muzani bertanya, apa yang perlu aku sebutkan? Sebutkanlah “laisa bi syai’” (dia tidak ada apa-apa). Maksud tidak ada apa-apa bererti dia pembohong dan jangan mengambil hadis daripadanya satu pun. Itu maksudnya tetapi perkataan yang digunakan itu cantik.


Kedua: Takutkan dengan ancaman dari Allah
Peringkat kedua yang diajar oleh Nabi sallallahu’alaihi wasallam, perkataan yang digunakan masih lembut tetapi takut-takutkanlah mereka dengan azab ALLAH Subhanahu wa Ta’ala, dan ingatkan mereka akan bahaya perbuatan tersebut seperti mana Luqman Al-Hakim menasihati anaknya,
إذ قال لقمان لإبنه وهو يعظه يا بني لا تشرك بالله إن الشرك لظلم عظيم
“Apabila Luqman berkata kepada anaknya dan dia menasihatinya, ‘Wahai anakku, janganlah engkau syirik kepada ALLAH, sesungguhnya syirik itu merupakan kezaliman yang sangat besar.” (Surah Luqman: 13)
Ketika mana menasihati, mulakan dengan perkataan yang boleh melembutkan hatinya seperti wahai anakku, kemudian ditutupi dengan perkataan yang menjelaskan bahayanya perbuatan tersebut.
Ini bagi orang-orang yang berpelajaran sedikit. Bagi orang yang tidak tahu apa-apa tentang agama, tidak tahu dalil, hadis, Al-Quran dan sebagainya, tidak hairan apabila mendengar azab dan ancaman, bersikap sombong yang mana sia-sia kita bercakap dengannya, teruskan dengan peringkat ketiga.

Ketiga: Bertegas
Apabila ada di kalangan para sahabat yang banyak sangat bertanya ataupun yang sudah dijelaskan padanya hukum haram tetapi dia bertanya lagi, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bertegas. Contohnya dalam isu arak, isu minuman yang disimpan dalam bekas, Nabi mengatakan jangan gunakan labu untuk menyimpan air, jangan gunakan bahan-bahan tertentu yang disebut oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam seperti labu, pelepah tamar kerana boleh menyebabkan air itu memabukkan. Ada di kalangan sahabat yang bertanya, apa yang boleh kami gunakan? Nabi berkata, gunakan kulit kambing dan jadikannya kantung untuk menyimpan air. Mereka berkata, nanti ia akan digigit oleh tikus. Nabi berkata, walaupun tikus gigit.
Di sini Nabi bersikap tegas, sebab Nabi telah mengatakan bahawa benda itu haram dan boleh memabukkan. Jadi walau apa pun alasannya, ia mesti dipatuhi. Jadi adakala Nabi bersikap tegas.

Keempat: Perangi atau pulaukan
Tahapan terakhir ialah perangi dan pulaukan. Ini dilakukan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bagi orang-orang yang tidak turut serta dalam peperangan.
Dua orang sahabat Nabi mengikat diri mereka di tiang di Masjid Nabawi kerana insaf dan bertaubat setelah Nabi memulaukan mereka dengan cara tidak peduli dan tidak menjawab salam mereka. Mengapa Nabi lakukan demikian adalah untuk mendidik dan mengajar. Ada hadis Nabi yang mengatakan,
لا يحل لمسلم أن يهجر أخاه فوق ثلاث ليال
“Tidak halal bagi seorang Muslim itu memulau saudaranya lebih daripada tiga hari.”
Di dalam peristiwa ini Nabi memulaukan mereka lebih 3 hari. Hal itu dibincangkan oleh ulama sama ada boleh atau tidak boleh memulaukan lebih tiga hari. Dari sudut penghujahan, hadis qauli (perkataan) lebih kuat berbanding hadis fi’li (perbuatan). Nabi pulaukan itu perbuatan Nabi, tetapi hadis perkataan harus didahulukan.
Ini bagi orang yang cerdik dan memiliki ilmu. Namun bagi orang yang tidak cerdik dan tidak ada ilmu pengetahuan, jika mereka dipulaukan ianya tidak akan memberi faedah, bahkan orang yang dipulaukan itu pula pelik melihat sikap kita dan berkata, “Dia itu pelik pergi surau tetapi tidak bercakap dengan orang, orang bagi salam pun tak jawab.”
Pulau ini hanya bagi orang yang belajar dan faham agama tetapi tidak mahu ikut. Orang begini harus dipulaukan bertujuan untuk mendidik, kerana sikap dan kesombongannya di mana dia berpaling daripada agama setelah mendapat kebenaran.
Inilah empat peringkat yang satu persatu Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam ajarkan dan didik.
Al-Imam Asy-Syafi’i rahimahullah dalam syairnya yang panjang berkata,
تَغَمَّدْنِي بِنُصْحِكَ فِي انْفِرَادِي وَجَنِّبْنِي النَّصِيْحَةَ فِي الْجَمَاعَةْ
فَإِنَّ النُّصْحَ بَيْنَ النَّاسِ نَـوْعٌ مِنَ التَّوبِيْخِ لاَ أَرْضَى اسْتِمَاعَهْ
وَإِنْ خَالَفْتَنِي وَعَصَيْتَ قَوْلِي فَلاَ تَجْزَعْ إِذَا لَمْ تُعْطَ طَـاعَةْ
“Tutupilah kesalahanku dengan nasihatmu ketika aku seorang diri. Dan jauhilah menasihatiku di khalayak ramai.
Sesungguhnya memberikan nasihat di hadapan orang, sama seperti memburuk-burukkan, aku tidak sudi mendengarnya.
Dan jika engkau menyelisihiku dan tidak mengikuti ucapanku, maka janganlah engkau terkejut apabila nasihatmu tidak ditaati.” (Diwan Imam Al-Syafi’i)
Faedah yang boleh diambil dari Syair Imam Al-Syafi’i ini adalah etika di dalam kita menasihati, hendaklah menasihati mengikut kaedah dan peringkat-peringkat yang betul. Begitu jugalah apabila kita hendak menyampaikan Islam, tidak lari daripada apa yang diajar oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, sebab Nabi telah mengajarkan semuanya.
Jangan kita ambil yang keras sahaja dan jangan pula ambil yang lembut sahaja. Gabungkan semua dan sesuaikan dengan realiti dan isu yang kita hadapi.
Wallahu a’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan