Hari Malaysia disambut pada 16 September
setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di
tarikh yang sama pada tahun 1963. Ia menandakan penyertaan bersama
Malaya, Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura bagi membentuk Malaysia.
Pembentukan persekutuan baru ini
dirancangkan berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya ditangguhkan ke
31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama-sama dengan sambutan
hari kemerdekaan ke-6. Beberapa isu berkaitan dengan bantahan Indonesia
dan Filipina untuk pembentukan Malaysia memperlambatkan pengisytiharan
ke 16 September pada tahun yang sama. Penangguhan itu juga dibuat bagi
membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat
pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak.
Hari Malaysia merupakan cuti am di
negeri Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. Ia bukan
merupakan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Mulai tahun
2010, Hari Malaysia juga merupakan cuti am di semua negeri di Malaysia.
Mencari Nilai Hari Malaysia
TANGGAL 16 September tahun ini, usia
Malaysia sebenarnya baharu mencecah 46 tahun. Tarikh ini pada tahun
1963, Persekutuan Malaysia dirasmikan penubuhannya serta diisytiharkan
oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia ketika
itu.
Perisytiharan dibuat di Stadium Merdeka
disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor
Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah serta 30 ribu rakyat
jelata.Penubuhan Persekutuan Malaysia ditentang hebat oleh Indonesia dan
Filipina. Indonesia tidak senang dengan penubuhan Persekutuan Malaysia
lantas, melancarkan konfrantasi ketenteraan di bawah slogan "Ganyang
Malaysia" yang berlanjutan sehingga tahun 1966.
Filipina pula menuntut haknya ke atas
Sabah atas hujahan perjanjian yang dimeterai antara Kesultanan Sulu
dengan pihak British. Brunei yang turut termasuk dalam rancangan
penubuhan Persekutuan Malaysia membatalkan penyertaannya setelah
berdepan dengan pemberontakan besar-besaran di Brunei oleh Sheikh Azhari
pada penghujung 1962.
Sekalipun begitu, akhirnya pada 9 Julai
1963, Perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia dimeterai di London
hanya setelah Laporan Suruhanjaya Cobbold yang dikeluarkan menyatakan,
lebih 80 peratus rakyat Sarawak dan Sabah bersetuju dengan cadangan
kemerdekaan melalui penggabungan bersama Persekutuan Tanah Melayu.
Tarikh perasmian pengisytiharan
Persekutuan Malaysia telah ditangguhkan daripada 1 Jun 1963 ke 31 Ogos
1963 kerana menunggu Laporan Suruhanjaya Cobbold. Namun tarikh tersebut
pula ditangguhkan setelah Indonesia dan Filipina emperhebatkan tentangan
mereka terhadap penubuhan Persekutuan Malaysia. Dan akhirnya 16
September 1963 menjadi hari secara rasminya Persekutuan Malaysia
ditubuhkan.
Namun, Hari Malaysia dan sejarahnya ini
akan hanyut ditelan zaman. Sekalipun tidak hilang, tetapi apalah nilai
Hari Malaysia jika sejarahnya hanya tersimpan di arkib, perpustakaan dan
memori generasi lama? Apakah generasi muda sedar akan kewujudan Hari
Malaysia?
Jawapan yang ada mungkin ya dan mungkin
tidak, kerana tiada kajian rasmi yang menunjukkan persepsi ini. Namun,
cubalah kita bertanya-tanya dengan anak-anak kita, cucu-cucu kita atau
tanya sahaja dengan belia remaja yang kita temui di pusat-pusat membeli
belah, yang sedang meladeni diri di kaki-kaki jalan dan yang terperuk di
rumah memaku matanya pada skrin TV atau komputer. Jawapan yang kita
terima, mungkin boleh dijadikan sebagai gambaran persepsi di atas.
Tulisan ini gambaran persepsi yang
diterima melalui jawapan-jawapan daripada belia remaja sekeliling
penulis. Hasilnya, penulis kecewa dan gusar akan nasib Hari Malaysia dan
sejarahnya di masa mendatang. Ya, ada yang sedar akan kewujudan Hari
Malaysia, tetapi apakah nilaiannya pada mereka? Apatah lagi yang tidak
sedar akan kewujudan Hari Malaysia. Ini merupakan satu fenomena tidak
sihat dalam perkembangan diri generasi muda. Buta sejarah akan
menjadikan mereka rapuh jati diri yang akan merendahkan semangat
patriotik pada diri mereka.
Permasalahan ini tidak dapat hanya kita
sandarkan penyelesaiannya melalui pengajaran dan pembelajaran subjek
Sejarah dan Pendidikan Sivik di sekolah. Kesedaran tentang kewujudan
Hari Malaysia tidak boleh hanya terkurung dalam kurikulum pendidikan
formal di sekolah. Penghayatannya perlu dalam bentuk interpretasi dalam
kehidupan realiti.
Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos saban
tahun merupakan contoh terbaik kesedaran melalui kurikulum pendidikan
sekolah dan penghayatan melalui interpretasi dalam kehidupan realiti.
Kita belajar akan Hari Kemerdekaan di sekolah dan kita lihat betapa
pentingnya tarikh tersebut melalui sambutan gilang-gemilang menyambut
tarikh tersebut.
Nah, tentu sahaja memberi kesan yang
membekas pada diri generasi muda untuk memahami bahawa Hari Kemerdekaan
merupakan satu peristiwa penting dan sejarahnya akan terus hidup dalam
diri mereka. Justeru, cadangan menaik taraf penghargaan terhadap Hari
Malaysia merupakan satu cadangan yang praktikal dan signifikan demi
memastikan Hari Malaysia dan sejarahnya akan terus wujud dan hidup dalam
diri generasi muda.
Penarafan semula penghargaan terhadap
Hari Malaysia boleh sahaja dilaksanakan melalui sambutan rasmi sama ada
di peringkat negeri dan kebangsaan. Selain itu, hebahan melalui media
cetak mahupun televisyen melalui pemaparan imbauan sejarah juga penting
untuk menyebarkan kesedaran dan menanam penghayatan akan peristiwa
penting pada tarikh tersebut. Bukan hanya setakat sebagai bahan bualan
oleh hos rancangan televisyen atau tajuk rencana akhbar, Hari Malaysia
perlu dijadikan sebagai tema rasmi dalam media cetak dan televisyen
untuk tarikh 16 September tersebut.
NGO atau organisasi masyarakat setempat
juga boleh memainkan peranan penting dalam menyebarkan kesedaran dan
penghayatan Hari Malaysia di peringkat akar umbi masyarakat. Melalui
penganjuran sambutan Hari Malaysia di peringkat kampung, kawasan
perumahan atau dengan acara forum, ceramah, tayangan filem dan lain-lain
akan membantu masyarakat khususnya generasi muda untuk memahami mesej
betapa taikh 16 September merupakan tarikh penting yang mengandungi
peristiwa yang cukup signifikan untuk Malaysia.
Mungkin juga pengisytiharan tarikh 16
September setiap tahun sebagai hari cuti umum untuk seluruh negeri akan
menunjukkan betapa kerajaan Malaysia benar-benar serius dalam menghargai
Hari Malaysia. Pengisytiharan cuti umum ini akan membuka ruang untuk
sambutan gilang-gemilang sempena Hari Malaysia dilaksanakan.
Tentu sahaja rakyat di Sarawak dan Sabah
akan lebih merasakan kebersamaan mereka sebagai sebahagian daripada
rakyat Malaysia secara keseluruhan. Maka Hari Malaysia akan dirai
bersama sebagai bukti kesedaran dan penghayatan seluruh rakyat daripada
seluruh negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia.
Seperti mana generasi muda sedar akan
Hari Kemerdekaan tanggal 31 Ogos setiap tahun, maka begitu jugalah
mereka akan sedar akan peri penting tarikh 16 September dalam lipatan
sejarah Malaysia melalui penghayatan yang selayaknya untuk Hari
Malaysia.
Jangan biarkan generasi muda terus
dilupakan tentang sejarah Malaysia yang dipenuhi dengan warna-warni
perjuangan generasi terdahulu. Penghargaan yang setimpal harus diraikan
untuk peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah Malaysia yang membentuk
Malaysia seperti yang kita lihat hari ini. Melalui kesedaran sejarah,
maka generasi muda akan mampu menghayati nilai sebenar Malaysia.
PENULIS ialah Yang Dipertua, Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (Perkepis)
sumber : Berita Harian
sumber : Berita Harian
Penubuhan Malaysia 16 September 1963 Membawa Perubahan Kepada Negara
TARIKH 16 September 1963 sememangnya memberi perubahan kepada negara khususnya dalam penyatuan 14 buah negeri sebagai Malaysia yang terdiri daripada 11 negeri Persekutuan Tanah Melayu dengan Singapura, Sabah dan Sarawak di samping jumlah penduduknya yang menjangkau 10 juta orang.
Menyusur semula pembentukan Malaysia
yang direalisasikan oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku
Abdul Rahman Putra Al-Haj sebenarnya telah disuarakan pada bulan Mei
1961 lagi melalui satu ucapannya dalam Persatuan Wartawan Asing
Asia-Tenggara di Singapura.
Dalam ucapan tersebut, beliau telah
mencadangkan agar Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak
dan Brunei digabungkan dalam satu kesatuan atau satu negara yang disebut
sebagai Malaysia.Kata Tunku dalam ucapannya, “Persekutuan Tanah Melayu
tidak mampu wujud secara bersendirian tanpa kerjasama politik dan
ekonomi dengan Singapura, Sabah dan Sarawak.”
Selepas cadangan tersebut disuarakan
oleh Tunku, pelbagai pihak mula menyuarakan pendapat mereka hinggakan
penubuhan Malaysia tersebut menjadi topik perbincangan hinggalah ke
peringkat antarabangsa. Ramai pihak yang menyokong cadangan tersebut
khususnya pemimpin-pemimpin rakyat dalam negeri-negeri Singapura,
Sarawak dan Sabah yang menganggap cadangan tersebut akan dapat membantu
mereka membebaskan diri dari kuasa penjajah Inggeris.
Lanjutan dari cadangan penubuhan gagasan
Malaysia ini, Tunku Abdul Rahman telah mengambil tindakan dengan
mengadakan rundingan bersama Perdana Menteri British di London.
Hasilnya, sebuah suruhanjaya telah ditubuhkan bagi memastikan rancangan
tersebut berjaya dan mendapat persetujuan semua pihak.Suruhanjaya
tersebut telah dipengerusikan oleh Lord Cobbold dengan diwakili oleh
wakil-wakil dari Tanah Melayu dan Kerajaan British.
Tujuan utama suruhanjaya tersebut
dibentuk adalah untuk menyiasat pendapat dan persetujuan rakyat Sabah
dan Sarawak mengenai penubuhan gagasan Malaysia ini. Usaha untuk
menyatukan negeri-negeri tersebut di bawah satu gagasan mendapat
sambutan yang menggalakkan terutamanya dari para penduduk di Sabah dan
Sarawak sendiri.
Menurut Penyata Tahunan Perhimpunan
Agung UMNO 1963/64, pada 23 Ogos 1961, persetujuan telah dicapai di
antara kerajaan Singapura dan Tanah Melayu yang meletakkan Kerajaan
Pusat mempunyai kuasa autonomi dalam lapangan pelajaran dan buruh sahaja
dengan persetujuan sebuah jawatankuasa antara Kerajaan Singapura dan
Tanah Melayu.
Namun begitu, usaha murni untuk menuju
kepada penubuhan sebuah negara baru Malaysia terhalang apabila berlaku
pemberontakan yang dilakukan oleh Sheikh Azhari di Brunei pada 8
Disember 1962. Ini diikuti dengan pengisytiharan konfrantasi Indonesia
yang dilancarkan oleh Presiden Sukarno sebagai tentangan terhadap
gagasan Malaysia.
Manakala di Manila pula, terdapat
tuntutan ke atas Sabah dikembalikan kepada Filipina atas alasan ia
adalah milik keturunan Sultan Solo yang telah membuat perjanjian dengan
Kerajaan British pada tahun 1878. Perselisihan pendapat dan pertikaian
ini telah berlarutan dan semakin meruncing hingga memecahbelahkan
keamanan yang ada di Asia Tenggara.
Konfrantasi yang dilancarkan oleh
Presiden Sukarno juga telah berterusan selama tiga tahun hingga
mengakibatkan berlaku pertumpahan darah dan memaksa kepada campur tangan
tentera. Penubuhan Malaysia menerima tentangan keras dari Indonesia di
bawah Presiden slogan “Ganyang Malaysia”. Misalnya dapat dilihat dalam
pertempuran di antara Tentera Darat dengan angkatan rejim Sukarno di
satu Pos Sementara tentera di Kalabakan, Tawau, Sabah.
Serangan yang berlaku pada waktu maghrib
ini telah mengorbankan seramai tujuh orang dan mencederakan 16 orang
yang lain. Begitu juga dengan serangan yang berlangsung di Pontian,
Labis, Kota Tinggi dan Batu Pahat di Johor. Tentangan ke atas penubuhan
Malaysia mengakibatkan pertempuran yang hebat antara tentera kedua-dua
negara. Bagi menyelesaikan masalah berikut dan memulihkan keamanan di
rantau Asia Tenggara, maka suatu persidangan kemuncak telah diadakan
antara ketua-ketua tiga negara yang terlibat dalam pertikaian iaitu
Tanah Melayu, Indonesia dan Filipina.
Walau bagaimanapun, penubuhan Malaysia
ini dapat dilaksanakan dengan jayanya walaupun mendapat tentangan dalam
bentuk ketenteraan dari negara lain. Dalam persidangan kemuncak di
Manila yang berlangsung pada akhir bulan Julai 1963, tolak ansur telah
berlaku antara negara-negara terbabit dan tarikh pengisytiharan negara
baru Malaysia akan diumumkan selepas Setiausaha Agong Bangsa-bangsa
Bersatu berpuas hati dengan kehendak rakyat dari wilayah Sabah dan
Sarawak. Dalam pada itu, Brunei tidak turut sama dalam pembentukan
Malaysia kerana gagal mencapai persetujuan mengenai negerinya.
Walaupun pembentukan Malaysia telah
mendapat persetujuan PBB, tetapi Indonesia seakan berusaha untuk
menggagalkan rancangan tersebut malah sengaja melewatkan ketibaan
wakilnya sebagai pemerhati kerja-kerja rombongan PBB ke Sabah dan
Sarawak. Akhirnya PBB telah bersetuju mengeluarkan laporannya mengakui
80 peratus dari rakyat Sabah dan Sarawak menyokong penubuhan Malaysia
yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Malaya, Tunku Abdul Rahman.
Tentangan dari Indonesia tidak habis di
situ sahaja sebaliknya melancarkan kembali konfrontasinya dengan menarik
kembali Duta Besarnya di Malaysia serta mengugut nyawa rakyat Malaysia
yang ada di Indonesia. Filipina turut bertindak keras apabila cuba
menurunkan taraf kedutaannya di Malaysia menjadi konsul sahaja. Akibat
tindakan tersebut, maka Kerajaan Malaysia terpaksa mengambil tindakan
tegas dengan memutuskan hubungan diplomatic dengan Indonesia dan
Filipina dua hari selepas kelahiran negara Malaysia dilancarkan.
Konfrantasi ini berlanjutan hingga perjanjian damai dimeterai pada Ogos 1966. Perjanjian penubuhan Malaysia telah ditandatangani di London pada 9 Julai 1963 dan diisytiharkan secara rasmi pada 16 September 1963 oleh Tunku Abdul Rahman.
Pengisytiharan Malaysia dilakukan di
Stadium Merdeka di hadapan DYMM Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong,
Raja-raja Melayu, gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sabah dan
Sarawak dengan disaksikan kira-kira 30,000 rakyat Malaysia. Kini,
setelah 46 tahun Malaysia ditubuhkan, pelbagai kemajuan dapat dilihat
dari pelbagai aspek bukan sahaja dalam bidang ekonomi, politik dan
sosial malah hubungan antarabangsa dengan negara-negara jiran terbabit
juga telah pulih.
Seharusnya, keharmonian dan
kesejahteraan yang di kecapi sejak sekian lama wajar dipelihara dan
dikekalkan agar dapat terus di kecapi oleh generasi akan datang.
sumber : http://umno-online.com
Penubuhan Malaysia 16 September 1963
Perdana Menteri Persekutuan Tanah
Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra dalam satu ucapan beliau di Persidangan
Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara yang diadakan di Hotel
Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961, telah menggagaskan tentang perlunya
diwujudkan satu rancangan untuk membawa Persekutuan Tanah Melayu,
Singapura, Borneo Utara, Brunei dan Sarawak ke dalam satu bentuk
kerjasama politik dan ekonomi.
Antara lain, kerjasama ini perlu
diadakan adalah bertujuan untuk menyekat pengaruh komunis yang semakin
ketara yang boleh menggugat kestabilan politik serantau. Pendirian
kerajaan ini adalah berdasarkan kepada perkembangan politik di Singapura
yang memperlihatkan peningkatan pengaruh golongan kiri. Di samping itu
juga gagasan ini bertujuan untuk mengimbangi jumlah penduduk,
meningkatkan kemajuan ekonomi dan mempercepatkan proses kemerdekaan bagi
Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak.
Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel
Cawangan Tanah Melayu dan Borneo di Singapura pada 23 Julai 1961 telah
bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia dengan
dipengerusikan oleh Donald Stephen. Tujuan penubuhan Jawatankuasa ini
adalah untuk menerangkan dengan lebih jelas tentang konsep Malaysia
kepada orang ramai khususnya penduduk Sabah, Sarawak dan Brunei. Dalam
Jawatankuasa ini, perwakilan dari Tanah Melayu terdiri daripada
ahli-ahli Parlimen.
Perwakilan Singapura terdiri daripada
ahli-ahli Majlis Mesyuarat Undangan termasuk seorang ahli parti
pembangkang. Anggota perwakilan dari Sarawak adalah ahli-ahli Majlis
Negeri Sarawak, begitu juga dengan Sabah. Jawatankuasa ini telah
bermesyuarat sebanyak empat kali untuk membincangkan perkara-perkara
berkaitan penubuhan Malaysia. Mesyuarat pertama diadakan di Sabah pada
Ogos 1961, seterusnya di Kuching, Sarawak pada Disember 1961 dan di
Kuala Lumpur pada Januari 1962. Mesyuarat terakhir telah diadakan di
Singapura pada Februari 1962. Dalam mesyuarat terakhir itu Jawatankuasa
bersetuju untuk mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Cobbold
supaya dibuat tinjauan mengenai pandangan penduduk di Sarawak dan Sabah
terhadap gagasan Malaysia.
Memorandum yang dipersetujui
Jawatankuasa tersebut mengandungi beberapa perkara penting untuk
dijadikan asas kepada perlembagaan yang akan dirancang. Jawatankuasa ini
bersetuju supaya perlembagaan Tanah Melayu dijadikan asas kepada
perlembagaan Malaysia. Antara perkara lain yang dipersetujui ialah
tentang perlunya ada sebuah kerajaan Persekutuan yang kuat dan berkuasa
dalam hubungan luar, pertahanan dan keselamatan juga mengenai agama
Islam diterima sebagai agama rasmi.
Pembentukan Suruhanjaya Cobbold pada 17
Januari 1962 adalah bagi memberi kebebasan dan keadilan kepada semua
pihak. Suruhanjaya ini dibentuk hasil perundingan di antara kerajaan
Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan British pada November 1961. Tujuan
penubuhan Suruhanjaya ini adalah untuk meninjau pandangan penduduk
negeri-negeri di Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak tentang gagasan
Malaysia.
Suruhanjaya ini dianggotai oleh lima
orang ahli dengan dipengerusikan oleh Lord Cobbold, bekas gabenor Bank
England, ahli-ahlinya terdiri daripada Dato’ Wong Pow Nee dan Encik Mohd
Ghazali bin Shafie, sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu,
manakala Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston, wakil kepada
kerajaan British. Mr. H. Harris bertindak selaku Setiausaha.
Sepanjang Februari-hingga April 1962,
Suruhanjaya ini telah menemui lebih 4000 orang dan menerima 2200
memorandum daripada pelbagai pihak yang terdiri dari parti-parti
politik, ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan dan Undangan, pembesar-pembesar,
anak-anak negeri dan pemimpin kaum, majlis bandaran, pemimpin-pemimpin
agama, kesatuan sekerja dan orang ramai yang memberikan pandangan.
Hasil dari laporan ini menunjukkan
sejumlah 80 peratus penduduk Sarawak dan Borneo Utara menyokong kepada
penubuhan Malaysia. Sokongan rakyat ini jelas dibuktikan melalui laporan
Suruhanjaya Cobbold yang telah disahkan oleh perwakilan Setiausaha
Bangsa-Bangas Bersatu. Selain itu, laporan itu juga memuatkan
cadangan-cadangan daripada ahli-ahli Suruhanjaya berhubung beberapa
perkara yang dinyatakan melalui memorandum-memorandum yang diterimanya.
Pada 21 Jun 1962 laporan ini telah
dikemukakan kepada Kerajaan British dan Kerajaan Persekutuan Tanah
Melayu. Setelah dikaji, kedua-dua kerajaan bersetuju menerima hampir
semua cadangan yang telah dibuat oleh Suruhanjaya tersebut. Tunku Abdul
Rahman Putra, Perdana Menteri Tanah Melayu juga menerima laporan
Suruhanjaya Cobbold.
Beliau telah membentuk sebuah
Jawatankuasa untuk mengkaji laporan itu yang telah dipengerusikan oleh
beliau sendiri dan anggota-anggota yang lain terdiri dari Tun Abdul
Razak (Timbalan Perdana Menteri), Tan Siew Sin (Menteri Kewangan), Datuk
(Dr) Ismail Dato’ Abdul Rahman (Menteri Keselamatan Dalam Negeri) dan
Datuk V.T. Sambanthan (Menteri Kerja Raya dan Telekom).
Kata sepakat telah dicapai oleh Perdana
Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dan Harold
Macmillan, Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan di London.
Rundingan tersebut telah berlangsung selama 2 minggu. Pada Julai 1963
satu perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan
Komanwel di Malborough House, London.
Perjanjian Penubuhan Persekutuan
Malaysia ini telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British,
Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Persetujuan
telah di peroleh untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963. Walau
bagaimanapun, penubuhan Malaysia yang dirancang pada tarikh tersebut
terpaksa ditangguhkan kerana laporan Setiausaha Bangsa-Bangsa Bersatu
hanya dapat disiapkan pada 14 September 1963. Malaysia akhirnya
diisytiharkan pada 16 September 1963. Upacara pengisytiharan Malaysia
telah diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 16 September 1963.
Upacara gilang gemilang ini telah dihadiri oleh SPB Yang di-Pertuan
Agong, Raja-raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura,
Sarawak dan Sabah. Upacara ini juga dihadiri oleh anggota kabinet,
diplomat asing di Kuala Lumpur serta jemputan khas.
Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah
dibacakan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra di hadapan
lebih kurang 30,000 rakyat Malaysia yang turut meraikan hari bersejarah
tersebut. Tunku kemudiannya melaungkan “Merdeka” sebanyak tujuh kali
diselang seli dengan laungan oleh rakyat yang hadir. Upacara diakhiri
dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Negeri Sembilan, Tuan Haji Ahmad
bin Mohammad Said.
Rentetan Peristiwa
27 Mei 1961
27 Mei 1961
Perdana Menteri,
Tunku Abdul Rahman semasa Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri
Asia Tenggara di Hotel Adelphi, Singapura telah menggagaskan tentang
perlunya diwujudkan satu rancangan untuk membawa Persekutuan Tanah
Melayu, Singapura, Borneo, Brunei dan Sarawak kedalam satu bentuk
kerjasama politik
23 Julai 1961
Mesyuarat Persatuan
Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu dan Borneo di Singapura telah
bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia
dipengerusikan oleh Donald Stephen.
Ogos 1961
Mesyuarat pertama Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia diadakan di Sabah
18-20 Disember 1961
Mesyuarat kedua Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia diadakan di Kuching Sarawak
6-7 Januari 1962
Mesyuarat ketiga Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia diadakan di Selangor Legislative Assembly Chamber, Kuala Lumpur
17 Januari 1962
Suruhanjaya Cobbold
telah ditubuhkan bagi meninjau pandangan penduduk negeri-negeri di
Borneo Utara(Sabah) dan Sarawak. Suruhanjaya dianggotai oleh lima orang
ahli iaitu Lord Cobbold, Dato’ Wong Pow Nee, En. Mohd Ghazali Shafie,
Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston. Mr H. Harris bertindak
sebagai Setiausaha
3-4 Februari 1962
Mesyuarat keempat Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia
21 Jun 1962
Laporan Suruhanjaya Cobbold telah disiapkan dan dikemukakan kepada kerajaan British dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu
Julai 1962
Kata sepakat dicapai
Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dengan
Tuan Harold MacMillan Perdana Menteri British untuk mengadakan
rundingan.
9 Julai 1963
Perjanjian penting
telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough
House, London. Perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia telah
ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British,Persekutuan Tanah
Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.
16 September 1963
Upacara
pengisytiharan Malaysia diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur.
Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh Perdana Menteri,
Tunku Abdul Rahman dihadapan lebih kurang 30 000 rakyat Malaysia
sumber : www.arkib.gov.my
Mengiktiraf Tanggal 16 September Sebagai Hari Malaysia
SETELAH 46 tahun Sabah dan Sarawak
mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Persekutuan Malaysia, semalam
adalah hari penuh sejarah bagi seluruh rakyat negara ini. Pengumuman
yang dinanti-nantikan muncul jua. Berkat sabar, akhirnya tanggal 16
September diiktiraf sepenuhnya sebagai Hari Malaysia. Sejajar dengan itu
ia diumumkan hari cuti umum yang bermula tahun 2010.
Rakyat Malaysia berbilang kaum harus mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Kita amat bersetuju tarikh itu dipilih sebagai cuti umum. Selepas ini tiada alasan lagi untuk kita lupa daripada mengingati sejarah dan tarikh pembentukan Malaysia apabila Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada 16 September 1963.
Tarikh terbentuknya Malaysia perlu lebih
dihayati, dikenang dan dihargai bukan sahaja oleh rakyat Sabah dan
Sarawak tetapi juga seluruh rakyat Malaysia. Perdana Menteri ketika
mengumumkannya di Dewan Rakyat semalam berkata, Malaysia akan merayakan
dua hari kebangsaan secara berkembar iaitu Hari Merdeka pada 31 Ogos
bagi mengingatkan rakyat akan perjuangan mencapai kemerdekaan dan Hari
Malaysia yang akan dirayakan dengan acara-acara bersifat mengeratkan
perpaduan dan persefahaman antara kaum sejajar dengan semangat
1Malaysia.
Kita percaya apabila Hari Malaysia
diraikan pada tahun hadapan, banyak acara mengeratkan perpaduan,
persefahaman antara kaum menerusi aktiviti sukan, sosio-budaya dan
kesenian diadakan bagi menyemarakkan lagi semangat 1Malaysia. Dengan
perisytiharan cuti umum Hari Malaysia maka diharapkan kecenderungan
untuk melihat Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagai entiti yang berada
dalam wilayah yang berasingan akan terhakis.
Jika tahun 1981 pemisahan itu dirapatkan
melalui penyeragaman waktu dan kini dimantapkan dengan sambutan Hari
Malaysia. Pengertian Hari Malaysia perlu disebar luaskan kepada rakyat
supaya pemahaman mengenainya lebih mendalam. Kita perlu fahami, emosi
menyambut Hari Malaysia adalah berlainan dengan perasaan menyambut Hari
Kemerdekaan.
Pengumuman Hari Malaysia sebagai cuti
umum adalah dialu-alukan, pun begitu sambutan hari tersebut perlu ada
pengisian yang bermakna dan berkesan. Tanggal 16 September diraikan
sebagai memperingati hari bersejarah
bagi rakyat Semenanjung Tanah Melayu,
Sabah dan Sarawak kerana pelbagai kaum dan etnik bersatu untuk mencapai
kemerdekaan melalui pembentukan Malaysia.
Pada hari tersebut seharusnya rakyat di
seluruh negara dapat merapatkan lagi hubungan antara kaum dalam suasana
muhibah. Gagasan 1Malaysia akan bertambah mudah jika semua kaum dapat
bersatu menjadi sebuah masyarakat yang kukuh jati dirinya. Di samping
itu kita ingin menasihatkan kepada majikan di sektor swasta supaya
menghormati hari cuti umum tersebut. Mereka mesti mematuhi keputusan
terbaru kerajaan menjadikan 16 September sebagai Hari Malaysia mulai
2010.
sumber : Utusan Malaysia
Sabah Bakal Jadi Tuan Rumah Hari Malaysia 16 September Ini
KOTA KINABALU: Sabah bakal menjadi tuan
rumah sambutan Hari Malaysia yang akan berlangsung di sini pada 16 Sept,
kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman. Beliau berkata demikian dalam
teks ucapannya pada pelancaran bulan kemerdekaan dan kempen mengibar
Jalur Gemilang di perkarangan ibu pejabat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu,
di sini, Isnin.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Yahya Hussin.Pada 19 Oktober tahun
lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan 16 Sept sebagai
cuti umum mulai tahun ini bagi menyambut Hari Malaysia. Sementara itu,
sempena bulan kemerdekaan ini Musa meminta rakyat negeri ini untuk
sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang.
Kempen mengibar jalur gemilang boleh
menjadi wadah untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan cintakan
negara serta memupuk perpaduan di kalangan pelbagai lapisan rakyat,
katanya.Beliau turut melahirkan rasa kesal kerana masih banyak premis
yang tidak mengibarkan jalur gemilang walaupun arahan secara bertulis
telah dikeluarkan. –
sumber : BERNAMA
Empat Tokoh Terima Anugerah Tokoh Malaysia
Seramai empat tokoh akan menerima
Anugerah Tokoh Malaysia pada sambutan Hari Malaysia 16 September ini,
kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais
Yatim. Rais berkata, dua tokoh akan dipilih dari Semenanjung dan
masing-masing satu dari Sabah dan Sarawak oleh jawatankuasa berkenaan.
Tambah beliau lagi, mereka sedang cari tokoh-tokoh dari Sabah, Sarawak
dan Semenanjung untuk menerima anugerah Tokoh Malaysia pada hari
tersebut.
Rais berkata, anugerah ini adalah
sesuatu yang boleh dianggap sebagai pengiktirafan kepada jasa dan
sumbangan dan rekod perjuangan seseorang berkaitan dengan negara ini.
Katanya, keempat-empat tokoh ini akan menerima anugerah daripada Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas beliau menyampaikan ucapan
pada sambutan yang akan berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah.
sumber : Bernama
Hari Malaysia
Hari Malaysia disambut pada 16 September
setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di
tarikh yang sama pada tahun 1963. Ia menandakan penyertaan bersama
Malaya, Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura bagi membentuk Malaysia.
Pembentukan persekutuan baru ini
dirancangkan berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya ditangguhkan ke
31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama-sama dengan sambutan
hari kemerdekaan ke-6. Beberapa isu berkaitan dengan bantahan Indonesia
dan Filipina untuk pembentukan Malaysia memperlambatkan pengisytiharan
ke 16 September pada tahun yang sama. Penangguhan itu juga dibuat bagi
membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat
pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak.
Hari Malaysia merupakan cuti am di
negeri Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. Ia bukan
merupakan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Mulai tahun
2010, Hari Malaysia juga merupakan cuti am di semua negeri di Malaysia.
sumber : Wikipedia
Blog 1Malaysia (www.1malaysia.com)
Pada hari ini (16 September) empat puluh
enam tahun yang lalu, Malaysia mengalu-alukan keanggotaan negeri Sabah
dan Sarawak dan mula mengatur langkah untuk menjadi salah sebuah negara
terpenting di dunia. Beliau ketika itu baru berusia 10 tahun ketika
ayahanda nya, Tun Abdul Razak Hussein, menjadi saksi kepada
perisytiharan bersejarah kemerdekaan Sabah pada 1963, tetapi saya ingat
bagaimana bangganya beliau saat peristiwa penting itu berlangsung. Sabah
dan Sarawak memenuhi satu sudut yang istimewa di hati saya kerana
peristiwa bersejarah itu.
Komitmen Dato' Sri terhadap 1Malaysia –
kepada gagasan bahawa perbezaan pada bangsa dan agama itulah yang
menjadikan negara kita lain daripada yang lain – telah diilhamkan
daripada apa yang saya lihat di Sabah dan Sarawak. Kelainan rakyat kita
ini telah menjadi asas kepada banyak dasar awam yang hebat-hebat yang
akan dilaksanakan oleh pentadbiran saya, kesemuanya dengan matlamat
memanfaatkan kekuatan rakyat kita daripada kumpulan etnik dan anutan
kepercayaan yang berbeza untuk membentuk satu asas daya saing global dan
identiti budaya.
Sumbangan Sabah dan Sarawak kepada
Malaysia melebihi tauladan dalam perpaduan dan permuafakatan. Malaysia
menjadi syurga dunia pelancongan disebabkan oleh kepelbagaian ini dan
keajaiban alam semula jadi yang dipersembahkan kepada dunia oleh dua
negeri ini. Banyak warisan budaya negara kita terikat kepada ikon
kehidupan di Sabah dan Sarawak. Rumah-rumah panjang kekal menjadi tulang
belakang kehidupan di dua negeri ini kerana ia ialah simbol kepada
keperluan kita sebagai rakyat Malaysia untuk mempelajari bagaimana untuk
hidup di bawah satu bumbung dan untuk membina tempat tinggal negara
kita secara bersama-sama.
Apabila matahari terbit di langit
Malaysia, ia menyinari Sabah dan Sarawak terlebih dahulu. Masa hadapan
kita sebagai sebuah negara bergantung kepada keupayaan kita untuk
bekerja dan hidup bersama-sama. Sabah dan Sarawak menunjukkan kepada
kita jalan yang perlu kita lalui untuk menuju pembangunan sivil dan saya
percaya kita harus membalas budi dengan melabur dengan lebih banyak
lagi dalam pembangunan ekonomi di dua buah negeri ini. Apabila tiba
masanya Sabah dan Sarawak mengumumkan ulang tahun ke-47 mereka pada
tahun hadapan, saya harap kita dapat mengotakan janji-janji kita untuk
memberikan pelaburan ekonomi, pendidikan dan prasarana yang lebih banyak
di kedua-dua buah negeri ini.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila lihat kenyataan peribadi saya tentang Hari Malaysia.
sumber : www.1malaysia.com
16 September Diisytihar Cuti Umum Hari Malaysia
Perdana menteri hari ini mengumumkan
sambutan Hari Malaysia yang diraikan pada 16 September setiap tahun
diisytiharkan sebagai cuti awam untuk seluruh negara mulai tahun depan.
Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan perkara itu pada persidangan
Dewan Rakyat berkata pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang
merdeka dan berdaulat merupakan satu titik sejarah yang amat penting.
Hari Malaysia diraikan pada 16 September
setiap tahun untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia apabila
Sabah dan Sarawak telah menyertai Malaysia pada 1963. Najib berkata
demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan)
yang bertanya sejauh mana penerimaan rakyat terhadap gagasan 1Malaysia
dan jenis-jenis program yang difikirkan berkesan untuk mencapai hasrat
tersebut.
Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat
Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen Kedua Belas bermula tepat pukul 10 pagi
ini dengan menyaksikan perdana menteri sebagai yang pertama memberikan
jawapan bagi sesi pertanyaan bagi jawapan lisan pagi ini.
Perdana menteri berkata, dengan
penyertaan Sabah dan Sarawak sejak 1963, maka adalah wajar rakyat di
kedua-dua negeri itu menikmati kemajuan pembangunan, pendidikan, ekonomi
dan sosial seperti di Semenanjung.
Beliau turut menegaskan, perpaduan
antara kaum itu juga merangkumi integrasi nasional antara rakyat
Malaysia dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang akan terus
ditingkatkan.
Untuk meningkatkan perhubungan antara
tiga wilayah itu, perdana menteri berkata, kekerapan dan kapasiti
penerbangan akan terus di pertingkatkan selain pembinaan prasarana asas
bagi dua buah negeri itu seperti jalan, bekalan air dan elektrik,
sekolah, klinik dan hospital akan terus diberi keutamaan dengan menambah
lebih banyak peruntukan.
Najib berkata sesungguhnya perpaduan
yang telah dicapai hingga ke saat ini telah membuahkan keamanan di dalam
negara lebih lima dekad lepas. Menjawab soalan tambahan Dr Marcus
mengenai identiti yang boleh dikaitkan dengan Malaysia seperti di
Indonesia, Filipina atau Thailand, Najib berkata identiti Malaysia boleh
dilihat berdasarkan kemampuannya menerima unsur lain yang dijadikan
sebahagian daripada budaya setempat dan seterusnya kekuatan negara.
Sementara itu, menjawab soalan Datuk
Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang), Najib berkata gagasan 1Malaysia
dianggap sebagai kesinambungan dasar-dasar yang diperkenalkan
sebelumnya. Abdul Hadi bertanya sama ada dengan penerapan gagasan
1Malaysia, bermakna kerajaan mengetepikan dasar-dasar terdahulu termasuk
Islam Hadhari, Bersih Cekap dan Amanah dan Wawasan 2020.
sumber : BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan