JOM BOOKCAFE

Selasa, 26 Disember 2017

KERENAH BIROKRASI..





Apakah itu kehidupan.Kehidupan ialah hidup yang bertujuan.Banyak orang bersedia untuk hidup tetapi terkadang kebodohan usahanya bukan untuk mencari hakikat kehidupan itu sendiri.Penulis amat terkesan dengan artikel yang ditulis oleh Pahrol Mohd Juoi yang bertajuk ‘Kerenah Birokrasi’.Tersenyum sendiri mengenangkan kebenaran yang terselit dalam alur ceritanya.Tidaklah menafikan kepentingan birokrasi dalam memastikan kelancaran sesebuah sistem namun terkadang ketergantungan yang keterlaluan pada birokrasi adalakalanya menampakkan kasarnya hati dalam memperhalusi  sifat perikemanuasiaan.Jom kita ikuti ceritanya.
                “Saya orang miskin.Terlalu lapar,bantulah saya,”rayu seorang pengemis yang begitu daif.Pegawai yang menjaga perbendaharaan merenung pengemis itu dari atas ke bawah.”Betulkah awak orang miskin?”Tanyanya.
                “Memang tuan,lihat sahaja tubuh kurus ini.Tuan lihat sahaja pakaian saya yang buruk ini,”balas pengemis itu lebih hiba.
                “Tapi sekarang ramai penipu,entah-entah awak salah seorang daripadanya.” “Tidak tuan,tolonglah ,saya lapar.”
                Pegawai mencatat sesuatu di atas kertas. “Baiklah pada dasarnya saya terima aduan awak.Tapi saya akan hantar juga pegawai khusus untuk menyiasat latar belakang awak.”
                “Latar belakang saya?” “Ya.Awak tahu menulis?” Pengemis bertambah hairan.Kemudian dia mengangguk-angguk “Bolehlah sedikit-sedikit.” “Kalau begitu,isi borang ini cepat,”perintah pegawai tersebut.
                “Saya lapar tuan...”
                “Sebab saya nak bantulah awak kena isi borang ni terlebih dulu,”balas pegawai itu lagi.
                Setelah borang diisi dengan keadaan terketar-ketar kelaparan pengemis merayu lagi, “Boleh berikan saya sedikit makanan.”
                “Oh,belum lagi.Kelulusan hanya diberikan apabila pegawai penyiasat selesai membuat laporan yang awak benar-benar miskin.Kemudian laporan itu perlu disahkan oleh Ketua Perbendaharaan.”
                “Berapa lama semuanya akan selesai?”
             “Terpulang pada keadaan.Jika penyiasat cepat menyerahkan laporan dan kalau ketua kami cepat membuat keputusan,bantuan akan segera diberikan.”
“Bantuan dalam bentuk apa?”
                “Itu pihak kewangan pula akan memutuskan.Sama ada diberi dalam bentuk wang atau barang-barang keperluan.Selalunya pihak kewangan akan merujuk pula kepada pihak operasi.”
“Pihak operasi?”
“Ya kami takut nanti bantuan kewangan disalahgunakan.Jadi hal itu memerlukan kepastian yang lebih terperinci.”
“Bila agaknya saya dapat makan?Saya sudah tiga hari tidak makan apa-apa.”
“Ya,saya faham tetapi kita perlu mematuhi kaedah pengurusan.”
“Berapa lama agaknya?”
“Paling cepat seminggu,tetapi terpulanglah pada keadaan...”
“Pengemis kecewa.Adakah ketika segala urusan selesai dia masih hidup untuk mendapatkannya?

Pengajaran:Kaedah pengurusan yang bertindih dan terlalu rumit akan menyebabkan tujuan asalnya tidak tercapai.Ramai yang merasakan “bekerja”padahal dia hanya menyulitkan keadaan.Kerenah birokrasi yang terlalu banyak sering menyebabkan kerja yang mudah,segera dan penting menjadi terbengkalai.

Nota tumit : Lafaz “saya faham” tidaklah melazimi tindakan saya mahu memudahkan urusan anda atau saya akan menolong anda.Terkadang ia hanyalah mainan kata yang diucapkan untuk menegaskan bahawa anda tidak punya pilihan melainkan “menerima nasib anda” dan“ lakukan sekarang juga”.