JOM BOOKCAFE

Rabu, 18 April 2012

TEKA-TEKI -SENYUM SENDIRI...

Resipi Kejayaan...

Bahan-bahannya:

250 gm Daya usaha

100 gm Kesabaran

100 gm Keimanan

190 gm Keinsafan

150 gm Pengorbanan

150 gm Campuran akhlak mulia 
 
( boleh didapati dari didikan yang baik dan sempurna)

8 sudu the rasa tanggungjawab

200 gm senyum secukup rasa
Cara-cara membuatnya:
Pukul semangat hingga menjadi kembang dan kental. Masukkan usaha dan kesabaran, gaul sehingga sebati. Masukkan keinsafan sedikit demi sedikit . Biarkan adunan menjadi lembut. Setelah itu campurkan keimanan , rasa tanggungjawab dan campuran akhlak mulia. Ia perlulah dibungkus dengan kertas ingin tahu dan ingin mencuba. Masukkan adunan tersebut ke dalam mangkuk bertimbang rasa dan tolak ansur. Hiaslah dengan senyum yang menawan kemudian bakar dengan tenaga yang ada.

U/p : Untuk mendapatkan kek yang cantik dan elok, jauhilah ia dari air mata putus asa walaupun setitik. Oleh kerana kek kejayaan ini amat sukar unutk dibuat, syabas kepada sesiapa jua yang berjaya melaksanakan dengan baik.

KARNIVAL PESTA PANTUN KELOMPOK M1 DI SMK AIR ITAM

Selasa, 17 April 2012

PROFESOR DENGAN PENGAYUH SAMPAN..

Setiap manusia dicipta oleh Allah untuk berjaya.Maha suci Allah daripada sifat zalim,yakni mencipta manusia untuk gagal.Untuk berjaya setiap individu dikurniakan oleh Allah dengan bakat,kelebihan dan kecenderungan yang unuk dan tersendiri.

 
"Tuhan tidak mencipta manusia bodoh.Tuhan hanya mencipta manusia dengan kebijaksanaan yang berbeza"

Anda pernah dengar cerita seorang profesor dengan pengayuh sampan?Suatu hari seorang profesor menyeberang sungai dengan sebuah sampan yang didayung oleh seorang pendayung sampan.Di tengah sungai,profesor bertanya."Kamu pandai menulis dan membaca?"

"Tidak.Saya buta huruf."jawab pendayung sampan.

"Kalau begitu, kamu sudah hilang separuh daripada kehidupan kamu.Orang yang tidak pandai menulis dan membaca seolah-olah hilang separuh keupayaan untuk hidup dan berjaya."

Sampan bergerak perlahan.Tak lama selepas itu,profesor bertanya lagi,"Kamu ada membuat simpanan di bank"?

"Tidak.Pendapatan saya hanya cukup-cukup makan."jawab pendayung sampan lagi.

"Kalau begitu,kamu hilang lagi separuh daripada kehidupan kamu.Mana mungkin orang yang tidak menyimpan wang boleh hidup dengan selesa pada masa tua nanti."

Sampan terus bergerak.Tiba-tiba sampan itu bocor.Air masuk dengan banyaknya dan sampan hampir tenggelam.Kali ini pendayung sampan bertanya kepada profesor,"Tuan,adakah tuan pandai berenang?"

"Eh..eh...saya tidak tahu,"jawab profesor dengan nada panik.

"Kalau begitu tuan akan kehilangan seluruh hidup tuan!"

Cerita di atas menunjukkan betapa setiap orang mempunyai kebijaksanaan masing-masing.Walaupun tak pandai membaca,pengayuh sampan pandai berenang.Sebaliknya profesor yang mampu menulis dan membaca tidak pandai berenang.Masing-masing punya kelebihan dan kekurangan tersendiri.

Jadi dengan kebijaksanaan masing-masing manusia boleh mencapai kejayaannya.Malangnya,ramai yangbelum mengetahui apakah kelebihan dan keunikan diri masing-masing.Atau ada pula yang tersalah kenal.Ramai yang ingin meniru orang lain.Mereka cuba jadi klon kepada orag yang dipujanya itu.Mereka tidak cuba menjadi orang lain.Mereka tidak sedar sebaik sahaja cuba menjadi klon orang lain,mereka telah menjadi orang no 2,3 atau no 4 bukan lagi menjadi sang juara!

Orang yang cuba jadi klon orang lain tidak akan dapat mengatasi orang yang hendak diklonnya itu.Bahkan mereka akan gagal meniru bulat-bulat kerana mereka dicipta bukan dengan baju itu.Ingat pepatah Melayu :"Ukur baju di badan sendiri."

Nukilan dari buku:MUKMIN PROFESIONAL-CELIK MATA HATI
Pahrol Mohd Juoi.

PERTANDINGAN BOLA SEPAK RUMAH SUKAN KUNING VS MERAH

Jumaat, 13 April 2012

KAWAN,TEMAN ATAU SAHABAT

Nabi Muhammad s.a.w adalah Rasul Allah dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir (yang memusuhi Islam) dan sebaliknya bersikap belas kasihan sesama sendiri (umat Islam)..Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud,dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) daripada Tuhan mereka serta mengharapkan keredaan-Nya (Surah al-Fath:29)

Kalau anda menjadi sahabat,adakah anda memilih menjadi Hang Tuah atau hang Jebat? Sekadar satu soalan,jawapannya terserah kepada anda.

Rakan sejawat atau rakan sekerja ialah orang yang satu profesyen dengan kita dan sama-sama melaksanakan tugas sebagai guru.Pada dasarnya,kawan,teman dan sahabat adalah sama sahaja maksudnya,iaitu mereka yang selalu berdamping dengan kita selain daripada kaum kerabat.

Kata orang berkawan biar seribu,berkasih biar satu.Jika berteman biar hilang kesunyian,jika bersahabat biar dari dunia hingga akhirat.Persoalannya teman yang hendak dicari itu adakah ia teman seperjalanan,teman biasa tapi mesra,teman sejati,teman sehidup semati,atau teman seorang hidup dan seorang lagi mati?Apa pula bezanya dengan sahabat?

Ada pendapat mengatakan perbezaan antara kawan,teman dan sahabat dapat dinilai melalui keakraban perhubungan.Hubungan dengan kawan biasanya biasa-biasa saja.Hubungan dengan teman lebih akrab daripada kawan manakala dengan sahabat hubungannya lebih erat lagi.

Dalam berkawan kita mencari teman,dalam berteman kita mencari sahabat.Dalam pengalaman hidup kita sebagai guru,tentu kita telah menemui pelbagai jenis kawan atau teman.Tentunya kita telah sedia maklum bahawa bukan semua orang dapat dijadkan teman baik atau sahabat.Apatah lagi Nabi s.a.w juga telah berpesan yang mafhumnya: seseorang itu menurut agama temannya,maka hendaklah kamu meneliti orang yang akan dijadikan teman baiknya.(HR Abu Daud & Tirmizi)

Jika kita berkesempatan merenung atau membayangkan wajah teman-teman yang kita kenali,kita akan dapati sebenarnya teman-teman kita itu adalah cerminan diri kita.Seseorang itu biasanya akan berkawan atau bersahabat dengan orang yang serasi dengan dirinya.Bagaimana kita menghadapi mereka,begitulah mereka melayani kita.What we give we get it back.Kalau kita boleh menjadi teman atau sahabat yang baik tetapi mereka tidak,maka itu adalah ujian buat kita yang memerlukan reda dan sabar.

Rasulullah s.a.w telah bersabda: Orang mukmin yang bergaul dengan orang lain dan sabar menghadapi gangguan mereka lebih baik daripada mukmin yang tidak bergaul dengan orang lain dan tidak sabar menghadapi gangguan mereka (Riwayat at-Tirmizi)

Malah kita sebenarnya memang wajib bergaul dalam usaha menegakkan amar makruf nahi mungkar.Kalau kita mendapat sahabat sejati dalam pergaula,itu merupakan bonus dan nikmat buat kita yang perlu disyukuri.Jika yang diperoleh sekadar teman seiring jalan alangkah baiknya jika kita jadikan dia sahabat yang sejati.

Antara ciri-ciri orang yang baik untuk kita jadikan sahabat menurut Imam al-Ghazali ialah:
  1. Baik akalnya-boleh berfikir dengan rasional,tidak kurang akal atau jahil.
  2. Baik budi pekertinya-berakhlak mulia dan bersopan santun
  3. Baik agamanya-bukan daripada golongan fasik atau maksiat.
  4. Zuhud-tidak tamakkan dunia
 Sahabat yang mempunyai ciri-ciri tersebut dapat membantu kita dalam menjalani hidup dan kerjaya yang penuh cabaran ini.Indahnya hidup ini jika guru dapat berteman dengan sahabat-sahabat sebegini,yang boleh diharapkan,dipercayai,sokong-menyokong,dan menyayangi antara satu sama lain.Sahabat yang baik adalah anugerah Allah S.W.T yang tidak ternilai.Sahabat yang baik menjadi penunjuk jalan,penguat langkah dan azam.Manusia yang lemah seperti kita tentunya memerlukan teman untuk berkongsi suka dan duka,untuk mengingatkan kita jika terleka.

Kisah Nabi Musa a.s Al-Quran (Surah Taha:29) yang memohon teman daripada Allah untuk membantu menguatkannya membuktikan betapa seorang manusia hatta seorang nabi sekalipun amat memerlukan teman untuk menemani dalam urusan seharian.

Saidina Umar al-Khattab r.a berkata,"Tiada satu kebaikan pun yang dianugerahkan kepada seorang hamba sesudah Islam,selain saudaranya yang soleh.Apabila seseorang di antara kamu merasakan sentuhan kasih sayang dari saudaranya,maka hendaklah ia berpegang kepadany,"yakni tidak melepaskannya dan menghargai teman tersebut kerana kita sebenarnya telah dianugerahi nikmat yang sangat besar.

Sahabat yang baik umpama penawar manakala sahabat yang jahat umpama racun.Jika kita ingin mendapat sahabat yang boleh penawar,kita hendaklah menjadikan diri kita sebagai penawar terlebih dahulu.Jika ingin dicintai kita terlebih dahulu mesti menanmkan rasa cinta kepada sahabat.

Hubungan persahabatan yang tulus dan ikhlas sebenarnya merupakan salah satu jalan menuju syurga Allah S.W.T.Hubungan persahabatan yang didasari cinta dan perpisahan kerana Allah akan mendapat naungan Arasy Allah  di Akhirat kelak.Abu Hurairah r.a meriwayatkan sabda Rasulullah s.a.w mafhumnya :Tujuh golongan manusia yang akan berada di bawah naungan Arasy-Nya pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya...dua orang yang berkasih sayang (bersahabat) bertemu dan berpisah kerana Allah (HR Muslim)

Saiyidina Ali k.w pernah mengatakan bahawa sahabat yang sebenar ialah orang yang sanggup membahayakan dirinya dan sanggup berkorban demi kemanfaatan sahabatnya.Mampukah kita menjadi sahabat sebegini?Cuba kita nilai diri kita dalam bersahabat berdasarkan tiga tingkat yang digariskan oleh Imam Al-Ghazali ini
  1. Tingkat pertama yang paling rendah menjadikan sahabat sebagai pembantu diri-mengutamakan keperluan diri sebelum sahabat.
  2. Tingkat kedua meletakkan sahabat setaraf dengan diri sendiri-sentiasa memenuhi keperluan sahabat sebagaimana keperluan diri.
  3. Tingkat ketiga mengutamakan sahabat lebih daripada diri sendiri-ini adalah tingkat kaum siddiqin yang benar-benar ikhlas dalam persahabatan.
Jika hubungan kita dengan sahabat tidak termasuk dalam salah satu kategori di atas,itu hanyalah persahabatan secara lahiriah yang tidak meresap jauh ke hati malah tidak berbekas pada akal dan agama.Persahabatan terbentuk dengan adanya jalinan perasaan,rasa keserasian,kebersamaan,saling memahami dan saling memerlukan.Persahabatan dalam Islam berteraskan keimanan dan persaudaraan Islam.

Fungsi atau peranan sahabat dalam profesyen perguruan amat penting kerana dengan adanya sahabat,ia dapat memotivasikan kita.Sahabat sentiasa bersama kita semasa senang mahupun susah,seiring dan sejalan,tidak berjalan dahulu meninggalkan kita atau ketinggalan di belakang kita.Tangannya sentiasa dihulur ketika kita memerlukan.Sahabat adalah penasihat,pemantau dan penyumbang bukannya pen "sumbang" kepada kerjaya kita.

Di sekolah teman sejawat amat penting bagi kita untuk membina pasukan (team building) dan bekerja secara berpasukan (team work).Kerja-kerja di sekolah kebanyakannya perlu dilaksanakan secara kolektif.Ini memerlukan kita mempunyai vision (wawasan) dan mission (cara merealisasikan wawasan) yang sama hala tuju dan saling mempercayai.tanpa kepercayaan dan hala tuju yang sama,ditambah pula dengan sikap mementingkan diri sendiri dan hasad dengki,kita tidak akan ke mana-mana.

kawan.teman atau sahabat mempunyai pengaruh  yang besar ke atas diri seseorang.Buruk baik seseorang dapat dinilai melalui sahabatnya.Justeru dalam kita berkawan,carilah teman dalam berteman carilah sahabat.andai telah bertemu sahabat,hargailah persahabatan itu,biarlah membawa hingga ke syurga.

Moga-moga Allah S.W.T mengurniakan sahabat yang boleh membimbing kita untuk menuju keredhaan-Nya.Moga-moga Allah S.W.T menjadikan kita sahabat yang setia mengajak teman ke arah kebaikan.Mudah-mudahan juga Allah S.W.T mengurniakan kepada kita nikmat persahabatan.

Kita mungkin hanya memerlukan masa hanya seminit untuk bertemu sahabat sejati tetapi memakan masa yang lama untuk mengenali,menghargai dan menyayanginya.Kita mungkin memerlukan seumur hidup pula untuk melupainya.Selamat menjalin persahabatan yang suci dan ikhlas.

MENCARI SAHABAT SEJATI UMPAMA MENCARI SEBUTIR PERMATA DI CELAH BUTIRAN PEPASIR DI PANTAI
nukilan dari buku : Guru Jutawan Akhirat 
                                terbitan Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pelajaran Pulau Pinang.

    PROGRAM EKSPLORASI HAJI 2012-SMK TANJONG BUNGA


    Khamis, 12 April 2012

    PROGRAM EKSPLORASI HAJI


    click to create your own
     

    PENGERUSI: NOORIAH BT MOHAMAD
    NAIB PENGERUSI: AZRINA BT MUKHTAR
    SASARAN:PELAJAR TINGKATAN 4 DAN 5 SERTA PENDUDUK KAMPUNG TANJUNG BUNGA
    PENYELARAS: WAN NUR HANANI WAN HANAPI
    SATIAUSAHA:NUR MUNIRAH MUHD FADZIR
    BENDAHARI:HANIF ABD RAHMAN

    LDP PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH BAHASA MELAYU & BAHASA INGGERIS

    Rabu, 11 April 2012

    11 April Cuti Umum Sempena Pertabalan Agong



    Hari pertabalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 11 April 2012 depan diisytiharkan sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara.
    Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan, berkata pengisytiharan hari kelepasan am itu dibuat berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369) bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
    "Bagi Sabah dan Sarawak, tindakan diambil oleh kerajaan-kerajaan negeri tersebut mengikut undang-undang negeri masing-masing," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
    Sidek berkata dua acara utama akan diadakan sempena pertabalan Seri Paduka iaitu Istiadat Pertabalan pada sebelah pagi dan Majlis Santapan Diraja pada sebelah malam, kedua-duanya di Istana Negara.
    Tuanku Abdul Halim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 13 Disember lalu, menggantikan Sultan Mizan Zainal Abidin yang tamat tempoh pemerintahan pada 12 November 2011. - BERNAMA

    TADAHLAH TANGANMU UNTUK ANAK MURIDMU..

    Dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka) :Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir kepada mereka ,Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka berada dalam kebenaran.(Surah al-Baqarah : 186 )

    Setelah Nabi Muhammad s.a.w dan Zaid bin Harithah r.a dilontar batu oleh Bani Thaqif,akhirnya baginda terpaksa meninggalkan mereka.Harapannya untuk berdakwah di bumi yang jaraknya kira-kira 70 batu dari Kota Makkah,berakhir dengan tragedi pilu.Baginda dihina dan dilontarkan batu sehingga berdarah,

    Seterusnya Baginda s.a.w berjalan keluar meninggalkan Bani Thaqif sehingga berhenti rehat di kebun anggur milik seorang Musyrikin Makkah.di kala itulah baginda menadah tangan berdoa kepada Allah :

    Ya Allah… Kepadamu aku mengadukan kelemahan kekuatanku,
    Dan sedikitnya kemampuanku,
    Serta kehinaanku dihadapan manusia.
    Wahai Sebaik-baik pemberi kasih sayang,
    Engkaulah Tuhan orang-orang yang lemah dan Engkau adalah Tuhanku.
    Kepada siapakah Engkau serahkan diriku,
    Kepada orang yang jauh yang menggangguku,
    Atau kepada musuh yang akan menguasai urusanku,
    Asalkan Engkau tidak marah padaku maka tiadalah keberatan bagiku,
    Akan tetapi kemurahan-Mu jauh lebih luas bagiku.
    Aku berlindung dengan Cahaya Wajahmu yang akan menerangi seluruh kegelapan,
    Dan yang akan memberikan kebaikan segala urusan dunia dan akhirat,
    Untuk melepaskan aku dari Marah-Mu,
    Atau menghilangkan Murka-Mu dariku.
    Hanya pada-Mu aku merintih berharap mendapatkan Keridloan-Mu,
    Dan tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan-Mu
    (Rujuk Raheeq al-Makhtum, Syeikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri)

    Lihalah bagaimana seorang Nabi yang dianugerahi mukjizat namun mengakui kekerdilan dirinya berhadapan dengan masalah yang dihadapinya.

    Ayuh kita muhasabah diri sejenak,kita ketuk suara hati kita.Pernahkah kita menadah tangan mengadu pada Yang Esa,mengakui kelemahan diri di saat menghadapi situasi yang sukar.

    Seringkali kita hanya menyalahkan murid,memarahi mereka,mendenda dan sebagainya sehingga  kadangkala pelbagai gelaran mereka berikan kepada kita di luar pengetahuan kita.Sebenarnya mereka sedikit pun tiada rasa hormat kepada kita tetapi mereka semata-mata takut kepada kita.Alangkah ruginya andai perkara sedemikian terjadi.

    Hidup ini umpama roda.Jika hari ini kita berbuat baik kepada anak orang lain,tidak mustahil Allah S.W.T akan membalas balik apa yang kita lakukan.Cuba fikirkan anak-anak guru rata-rata tidak diajar sepenuhnya oleh ibu bapanya sendiri walaupun mereka bergelar guru.Tetapi mengapa ramai anak guru berjaya dalam hidup dan kerjaya mereka?Yakinlah dengan janji Allah S.W.T.Jika kita berbuat baik kepada orang lain,Allah S.W.T akan membalas segala kebaikan berkali-kali ganda.

    Kata-kata guru itu masin.Kisah benar ini mungkin boleh menginsafkan kita betapa tutur kata kita hendaklah dijaga agar tidak menjadi doa yang akhirnya menganiaya hidup pelajar kita seumur hidupnya.

    Suatu hari,seorang guru yang sudah tidak dapat lagi menahan sabarnya mengeluarkan kata-kata kesat "kurang ajar.Sia-sialah saja kamu belajar.Tengoklah nanti ,kamu tidak akan hidup senang!"Kata-kata ini diucapkan kepada seorang calon murid cemerlang SPM kerana melanggar disiplin asrama.

    Hampir 10 tahun berlalu.Suatu hari guru yang telah bersara ini dalam perjalanan ke selatan tanah air.Dia singgah di sebuah stesen minyak untuk mengisi minyak keretanya.Pada mulanya tiada apa-apa yang menarik perhatian.Tetapi kelibat seorang pencuci kereta mencuri tumpuannya.Setelah lama diperhatikan dia mengerutkan dahi."macam pernah ku tengok budak ni.Tapi di mana ya?"fikir guru tersebut.

    "Eh,muridku sewaktu aku mengajar di SM....dahulu."Si pencuci kereta perasan dirinya diperhatikan lantas diapun bertanya sama ada pemandu kereta tersebut ingin mencuci kereta.tetapi alangkah terkejutnya apabila terpandang wajah guru yang pernah menjadi warden asramanya suatu ketika dahulu.Tiada kata-kata dapat diucapkan.

    "Cikgu,saya minta maaf.Dulu saya degil.Tapi kini saya sedar akibat tidak mendengar nasihat cikgu."Sayu sekali luahan hati si pencuci kereta.

    "Sebenarnya cikgulah yang amat bersalah sebab marah kamu dulu.Akibatnya kamu jadi begini.Kawan-kawan kamu semuanya dapat kerja bagus-bagus.Kasihannya kamu...cikgu minta maaf.Cikgu halalkan ilmu yang cikgu beri selama ini dengan perasaan bersalah yang amat sangat.

    1001 macam kisah dan cerita sering kita dengar berkaitan dengan doa guru.Kita menumpang gembira jika pelajar-pelajar kita berjaya,Mudah-mudahan ilmu yang ditinggalkan akan menjadi satu sedekah jariah yang bakal membantu kita di akhirat kelak.Tetapi jika murid gagal disebabkan kesilapan dan kesombongan kita alangkah ruginya kita kerana melakukan kerja yang sia-sia.Sedangkan tugas guru adalah profesyen yang mulia.

    Rugikah kita mendoakan anak-anak murid yang sememangnya amat memerlukan bimbingan dan didikan dari guru-guru yang berjiwa mulia?Jatuhkah martabat jika kita mengangkat tangan memohon kejayaan anak-anak murid kita?Percayalah,semakin kita dekat dengan Allah S.W.T semakin kuat semangat kita.Walau apa pun cabaran yang bakal mendatang kita sudah memiliki kekuatan dalaman dan mudah-mudahan tugas-tugas yang menjadi rutin harian kita dapat dilakukan dengan cemerlang.

    Sebenarnya kita adalah insan yang amat bertuah kerana bergelar pendidik.Kita umpama arkitek yang bebas menetukan hasil binaan kita.Kita juga umpama kilang yang memproses produk kemanusiaan yang bakal menetukan hala tuju negara.

    Justeru mari renung bersama demi anak-anak didik yang amat kita kasihi.Mulai saat ini sering-seringlah mendoakan agar pelajar-pelajar kita terbuka pintu hatinya dalam menerima ilmu pengetahuan yang kita curahkan.Sebutlah nama mereka di dalam doa kita.

    Pernahkah kita mendoakan pelajar kita sebelum ini?Di dalam keheningan malam yang syahdu,bangkitlah dari tidurmu yang lena.Dirikanlah solat tahajud dan inilah waktu yang amat mustajab untuk kita memohon perkenan Ilahi.Ingatlah jika kita ikhlas dan bersungguh-sungguh,doa guru untuk pelajarnya InsyaAllah dimakbulkan.Justeru,sewajarnya kita mendoakan yang baik-baik untuk anak-anak didik kita.

    DOA ITU SENJATA MUKMIN
    nukilan dari buku : Guru Jutawan Akhirat 
                                    terbitan Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pelajaran Pulau Pinang.


    Isnin, 9 April 2012

    SAPA

    ...Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad),engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati,tentulah mereka lari dari kelilingmu...(Surah Ali Imran :159)

    Tersebutlah kisah dalam al-Quran apabila Allah S.W.T memerintahkan Nabi Musa a.s dan saudara lelakinya Nabi Harun a.s untuk bertemu dengan Firaun.Allah S.W.T mengingatkan kedua-duanya supaya berbicara dengan kata-kata yang baik, walaupun Si Firaun itu seorang raja yang zalim dan angkuh sehingga mengaku sebagai Tuhan sedangkan iblis sendiri pun tidak berani mengaku sebagai Tuhan.

    Kisah ini membuktikan betapa pentingnya penyampaian dengan kata-kata yang baik dan berhikmah sekalipun orang yang dilawan bercakap itu seorang pemimpin yang zalim.Apatah lagi jika pemimpin itu tidak zalim maka lebih utamalah untuk berbicara dengan kata-kata manis dan berhikmah.Almaklumlah manusia memang suka mendengar yang manis dan benci mendengar kata-kata yang kesat dan pahit.

    Rasulullah s.a.w mengajar kita supaya bercakap dengan seseorang mengikut kadar akal mereka.Ini menggambarkan peribadi baginda yang sentiasa bercakap,berbincang dan berhujah mengikut kumpulan sasaran yang berada di hadapannya.

    Komunikasi di sekolah tentunya mempunyai fungsi-fungsi tertentu,antaranya untuk menjalinkan hubungan sesama guru,guru dan pentadbir bahkan guru dengan murid.Bayangkanlah sebuah komuniti yang penghuninya sunyi daripada sapaan,senda gurau,tegur menegur dan snyuman tentunya akan menjadi gersang,kontang dan tidak bermaya.

    Dengan sekadar senyuman,ucapan salam atau berjabat tangan sudahpun terjalin satu hubungan .Lebih-lebih lagi pada zaman moden ini,SMS,MMS dan emel dapat mempercepatkan lagi aktiviti komunikasi antara kita.Jom kita bina hubungan silatulrahim.Semoga hidup kita bertambah indah,ceria dan bersemangat.

    Berkomunikasi adalah mudah.Berkomunikasi dengan orang lain adalah mengambil berat tentang diri orang itu ,bertanya untuk mengetahui keperluannya ,mendahulukan kepentingannya dan mengenal pasti serta memenuhi keperluan psikologinya.

    Kehidupan kita adalah jalinan antara suka dan duka umpama siang da malam,hujan dan panas yang silih berganti.begitu jugalah kita.Ada masanya kita memberi ucapan tahniah kepada orang lain dan ada masanya kita menerimanya.Ada masanya kita memberi takziah dan ada masanya kita yang menerima takziah.

    Sebagai seorang manusia,disamping kita menjalinkan hubungan sesama kita,kita juga perlu membina rangsangan dalam perhubungan.Manusia memerlukan rangsangan fizikal seperti sentuhan,belaian dan rangsangan mental.Manusia juga memerlukan rangsangan emosi supaya dapat mengalami perasaan seronok,suka,gembira,bahagia dan puas.

    Rangsangan emosi boleh diberikan dengan menggunakan kemahiran berkata-kata secara positif .Kemahiran berbual-bual,memuji dan bergurau adalah sangat perlu dalam berkomunikasi .Terutamanya antara guru sesama guru dan pentadbir.

    Renungkanlah bingkisan daripada sasterawan negara ini

    Guru
    Atap ganti ketika podok bocor
    Kitab sejarah dalam bilik darjah
    Senyum penyembuh bagi wabak sengsara.
    Ia
    Sungai rangsang sentiasa tenang,
    Menghantar bahtera ke segara darma,
    Memesan angin menghikmatkannya.

    Obor Hemah oleh A.Samad Said, 2 April 1988

    Untuk membina keyakinan diri,manusia memerlukan kemuliaan dan penghargaan.Dengan cara berkomunikasi mereka berasa dii mereka diperlukan,dihargai dan penting kepada orang lain.Perasaan tersebut adalah asas kepada keyakinan diri yang sihat.

    Setiap perkara ada adab dan pantang larangnya.Bermain ada adab,makan ada adab,masuk ke tandas ada adab,menguap pun ada adabnya.Kalau sekecil-kecil perkara pun Islam menitikberatkan adab-adabnya,apatah lagi dalam perkara-perkara yang besar.Begitulah juga apabila kita berkomunikasi maka tentulah ada adab-adabnya.

    Amalkan beradab walau dengan siapa kita berkomunikasi,samaada kita berkomunikasi dengan rakan sejawat,pentadbir,pelajar dan sesiapa sahaja.Perkara terpenting dalam komunikasi adalah jujur.Jujur apa yang hendak kita perkatakan.Jangan cuba menipu atau menokok tambah.Katakan apa yang benar itu bebar dan yang salah itu salah walaupun yang benar itu pahit dan yang salah itu manis.

    Jangan hanya apa yang disampaikan mesti benar,tapi pastikan juga cara penyampaiannya juga benar.Oleh itu bila berbicara gunalah perkataan yang baik,intonasinya sesuai,tidak mengikut emosi agar apa yang disampaikan itu dapat diterima  dan difahami dengan baik.

    Ramai orang yang terluka hati kerana kata-kata.ramai juga yang gembira dengan sebab kata-kata.Ayuhlah kita jaga kata-kata kita menggembirakan hati sahabat kita dan seterusnya hubungan akan terus terjalin kukuh.

    SESIAPA YANG TIDAK SUKA MENYAPA,USAH DIHARAPKAN AKAN DISAPA


    nukilan dari buku : Guru Jutawan Akhirat 
                                    terbitan Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pelajaran Pulau Pinang.

    TAKUT TUAN ATAU TUHAN??

    Sesungguhnya orang yang paling takut kepada Allah adalah hamba-hambaNya yang berilmu...sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun (Surah Fatir: 28)

    Takut adalah satu perasaan dalaman seseorang yang menyebabkan dan mendorong timbul rasa tidak berani menghadapi sesuatu yang pada pandangannya akan mendatangkan ancaman dan bahaya.Takut juga membawa erti takwa iaitu segan,kasih,hormat dengan mematuhi perintah Allah S.W.T dan menjauhi larangan-Nya.

    "Bos pergi mana?"
    "GB pergi mesyuarat ke?"
    "Lama ke pengetua pergi kursus?"

    Inilah antara soalan yang sangat popular dalam kalangan warga pendidik apabila mendapati pengetua atau guru besar tidak kelihatan di sekolah.Kenapa kita sering berharap agar (bos) tidak ada? Adakah pengetua atau guru besar akan mengganggu kebebasan dan membatasi tindakan serta tugasan kita?

    Pelik juga difikirkan jika ada segelintir guru yang boleh membeza-bezakan cara dan gaya P&P atau tugasan hanya disebabkan tuan pengetua atau guru besar ada atau tiada di sekolah.

    Jika kita takut kepada tuan pengetua atau guru besar seolah-olah perbuatan yang dilakukan tidak ikhlas.Contohnya ketika pengetua membuat rondaan di depan kelas,kita akan rasa serba salah dan akan membuat yang terbaik.Kita akan berusaha supaya guru besar melihat kita mengajar dengan bersungguh-sungguh.

    Jika kita guru yang hebat sekalipun perbuatan ini tidak baik kerana menunjuk-nunjuk.Itu riak namanya.Jika sebaliknya kita hanya berpura-pura,kita akan tergolong dalam kumpulan orang yang memiliki ciri-ciri munafik.

    Tuan pengetua atau guru besar adalah manusia.Kita juga manusia.Sebenarnya kita semua sama sahaja.Tidak perlulah takut kepada sesama manusia.Apabila mati nanti yang menguasai hari perbicaraan bukanlah tuan pengetua atau guru besar tetapi Allah S.W.T.Memang sifat manusia hanya takut kepada sesuatu yang boleh mendatangkan bahaya secara zahirnya.

    Rugi sungguh jika perasaan takut kepada Allah S.W.T tidak wujud dalam sanubari.Nabi Muhammad s.a.w insan mulia penghulu segala nabi yang telah dijanjikan syurga pun mempunyai perasaan takut yang hebat kepada Allah S.W.T

    Jika kita tidak takut kepada Allah S.W.T ,maka eloklah kita tanya diri sendiri,siapalah diri kita ini jika dibandingkan dengan Rasulullah s.a.w ?Perasaan takut ini sebenarnya hanya dimiliki oleh orang yang berilmu.

    Pada suatu hari Ibnu Umar telah mendatangi seorang budak pengembala kambing.Baginda meminta budak menjualkan seekor kambing kepada baginda dengan tujuan menguji keimanan budak itu.Ibnu Umar bertanya?" Sudikah engkau menjualkan seekor kambing kepadaku?"Jawab si budak:"Maaf tuan kambing ini bukan kepunyaan saya,saya hanya menjaga amanah untuk mengembalanya sahaja." Jawab Ibnu Umar lagi "Sudahlah jual saja dan katakanlah kepada majikanmu bahawa seekor kambing telah dimakan oleh serigala."Jawab si budak lagi:"Boleh jika saya hendak berbuat begitu tetapi saya disaksikan oleh yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui iaitu Allah S.W.T.Boleh saja saya menipu majikan tetapi saya tidak boleh menipu Allah."

    Apabila perasaan takut kepada Allah S.W.T telah meresap dan sebati dalam diri maka segala perbuatan,pekerjaan dan ibadat dilakukan dengan ikhlas.Kita kan merasa bahawa Allah S.W.T sentiasa memerhati dan melihat serta mengetahui apa yang kita zahirkan dan apa yang cuba kita sembunyikan.Perasaan takut ini akan menghalang diri daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar.

    Marilah kita mengajar,mendidik dan membimbing anak didik dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah S.W.T.Laksanakanlah segala tugas dan P&P dengan dedikasi dan sempurna tanpa memilih waktu atau tempat.Mendidiklah dengan penuh semangat,rela dan bersungguh-sungguh.Yakinlah bahawa Allah S.W.T Maha Teliti perhitungan-Nya walaupun sebesar zarah sekalipun amalan kita tetap mendapat ganjaran.

    Usahlah memilih status atau membezakan layanan kepada pelajar.Berlaku adillah kepada mereka semua kerana sifat adil akan mendekatkan kita kepada takwa .Firman Allah S.W.T

    ...Dan barang sesiapa yang bertakwa kepda Allah nescaya Dia jadikan baginya satu jalan keluar.Dan dikurniai dia dari jalan yang ia tidak sangka-sangka.Surah al-Thalaq ayat 2-3

    Sekadar renungan untuk diri kita,berapa ramai orang yang membuat amalan dan kebajikan dengan penat lelah,disangka ikhlas tetapi terselit perasaan riak dan pura-pura.Apalah ertinya amalan yang banyak namun sia-sia.Semoga kita tidak termasuk dalam golongan itu.

    MANUSIA YANG TIDAK BERTUHAN AKAN JADI BERHANTU

    SIAPA SEORANG GURU ??

    ...nescaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu,dan orang-orang yang beriman di antara kamu,dan orang-orang yang diberi ilmu pengatahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat dan (ingatlah),Allah Maha Mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan.(Surah al-Mujadalah :11)

    Saiyidina Umar bin al-Khattab r.a. pernah berkata "sesiapa yang mengajar aku walaupun hanya satu huruf,aku sanggup menjadi hamba kepadanya"

    Ungkapan ini menunjukkan betapa agungnya seorang guru.Siapkah sebenarnya guru?
    Guru merupakan insan yang mengajar insan lain.Mereka merupakan golongan yang mahir dalam bidang masing-masing.Mereka juga merupakan penunjuk ajar dan kunci bagi ilmu.

    Tanpa kunci tentu sekali gedung ilmu pengetahuan tidak dapat dibuka.Tidak dapat dinafikan guru turut menyumbang ke arah pembentukan modal insan cemerlang.

    Sebenarnya,darjat seorang guru amatlah tinggi.Guru ibarat bintang di langit.Oh,tingginya! Mengapa darjat guru diangkat sebegitu tinggi? Mesti ada sebabnya.

    Rasulullah sendiri mengakui dirinya seorang guru,"Sesungguhnya aku diutuskan sebagai seorang guru."Guru mewarisi kerja nabi sehingga dianggap oleh Rasulullah sebagai pewarisnya,"Ulama adalah pewaris para nabi" Selama ini pun,belum terdengar lagi profesyen lain yang disebut sebgai pewaris Nabi.Pewaris nabi yang mengajak manusia mengenal Tuhan.

    Dunia terus berubah dan canggih.Segala kecanggihan ilmu dan teknologi pada hari ini tidak akan tercapai tanpa bantuan guru sebagai penunjuk ajar dan pembuka jalan.Tentu semua orang bersetuju,gurulah orang yang mengajar manusia buta huruf menjadi celik ilmu,celik hati dan cendekiawan terbilang.Gurulah juga orang yang mengajar manusia mengenal dirinya sebagai manusia dan mengenal Tuhannya sebagai Tuhan.

    Guru jangan rasa kecil hati atau rendah diri jika ada orang yang melihat kerjaya ini bukanlah satu kerjaya yang hebat.Mungkin kerana mereka tidak memahami kerjaya ini.Kerja kita bukan membina bangunan atau jentera,tetapi membina manusia dan memastikan manusia terus menjadi manusia.

    Kalai seorang jurutera mungkin mampu membina sebuah jentera yang besar,tetapi ingat seorang guru mampu melahirkan insan yang berjiwa besar.Seorang arkitek mampu membina bangunan yang indah.akan tetapi seorang gurulah yang melahirkan seorang arkitek yang membina bangunan yang indah tersebut,Itulah guru.

    Wahai guru,barangkali setiap huruf yang kita ajar itu akan menjadi nur di akhirat nanti.Mungkin di dunia ini kita tidak kaya,tetapi di akhirat nanti kita bakal dinobatkan sebagai seorang jutawan

    APA YANG KITA SEMAI,ITU YANG KITA TUAI.

    nukilan dari buku : Guru Jutawan Akhirat 
                                    terbitan Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pelajaran Pulau Pinang.

    Ahad, 8 April 2012

    Kontradiksi..

    Dengan merendah, ku terangkat tinggi
    Karena meninggi, ku jadi rendah diri

    — —
    Ketika merasa alim, aku dalam kejahilan
    Karena rasa jahilkulah, tanda kealiman

    — —
    Besar hatiku… ketika ku anggap kecil masalahku…
    Besarnya permasalahan… adalah tanda kecilnya pengharapan…

    — —
    saat ku rasa dalam kebebasan, ternyata ku dalam penghambaan
    Adakah selain menghamba pada Ar-Rohman, atau menghamba pada setan?!

    — —
    Perasaan kaya, adalah biang kefakiran
    Siapa merasa kaya terhadap amalan, pasti akan fakir pahala kebaikan

    — —
    Saat datang kesedihan, berarti ku nanti kebahagiaan
    Adakah kesedihan, tanpa percikan kebahagiaan?!

    — —
    Ketika ku ahli dalam sesuatu, aku bodoh dalam hal lainnya
    Tiada yang sempurna ilmunya, selain Allah yg Maha Esa

    — —
    saat ku kejar dunia, ia seakan lari
    saat ku harus meninggalkannya, ia malah datang menggoda hati

    — —
    Dan makin jauh perjalanan hidupku, adalah makin dekatnya ajalku
    Ya Allah… Jadikanlah akhir kematianku itu awal kehidupanku


    Sumber: http://faisalchoir.blogspot.com/2011/05/kata-kata-mutiara.html

    Khamis, 5 April 2012

    Realiti Kehidupan Seorang Guru.(Edisi Khas Buat Pelajar)


    
    Jika dulu guru terkenal dengan rehat yang panjang
    Tapi realitinya pekerjaan guru meliputi kerja pengkeranian
    Jika dahulu guru kaya dengan cuti yang banyak
    Hakikatnya cuti guru tidak seindah yang disangkakan
    Kesibukan guru di sekolah tiada tandingan
    Gaji guru di dunia bukanlah lumayan
    Tapi ganjaran disisi Tuhan itu yang diutamakan

    Guru tidak mungkin menjadi jutawan
    Sikap dermawan dan ilmuan pasti menjadi ikutan
    Kehidupan guru sebati dengan pengorbanan

    Jika dulu pelajar sangat menghormati guru
    Menjadikan guru sumber inspirasi
    Tapi kini pelajar selalu bermain dengan emosi sendiri
    Seperti manusia yang tidak punya hati
    Guru dipandang tidak ubah seperti orang lain
    Kadang-kadang entah sesiapa yang difikirkan.

    Jika dulu guru sangat disegani oleh masyarakat
    Tapi kini guru adalah manusia yang boleh disaman-samankan
    Tersalah gaya hancur di gelanggang muka pengadilan
    Jika dulu guru di agung – agungkan
    Tapi kini………
    Apa yang anda fikirkan ?

    Itulah gambaran yang diberikan.


    Kini Persepsi guru sangat berbeza
    Di desa, pekan dan Bandar metropolitan.
    Masing-masing mempunyai pelbagai tanggapan
    Pada insan yang memberi pendidikan
    Jika dulu guru menjadi idola dan rujukan
    Tapi kini menjadi bahan kutukan sesama rakan


    Masihkah ramai pelajar yang mempunyai perasaan kemanusiaan
    Menghormati seorang insan yang memulakan segala pengalaman
    Merakamkan detik awal sebuah kehidupan
    Dari seorang yang kosong sehingga sarat dengan pengetahuan.

    Adakah anda masih mempunyai penghormatan pada guru.
    Berhenti sejenak menghayati hadith di bawah:

    Daripada `Ubadah ibn Samit bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Bukanlah daripada umatku sesiapa yang tidak memuliakan orang yang lebih tua dan mengasihi kanak-kanak serta mengakui hak orang yang berilmu di kalangan kita." ( HR Ahmad, al-Tabarani dan al-Hakim )

    Daripada Abu Hurairah r.a., katanya, "Rasulullah s.a.w. bersabda :
    "Pelajarilah ilmu pengetahuan dan pelajari juga dengan ilmu tersebut ketenangan jiwa dan kerendahan diri. Rendahkanlah diri kamu kepada orang yang mengajar kamu." ( HR Al Tabarani )

    Fikir-fikirkan wahai pelajar kesayangan.

    Pada guru, Semoga tabah menghadapi rintangan
    Mudah-mudahan perjuangan seorang guru di medan pendidikan
    Memberikan pulangan yang lumayan dunia dan akhirat

    Selamat Hari guru pada teman-teman
    Teruskan berjuang di medan pendidikan

    "Kelebihan orang yang berilmu berbanding `abid samalah seperti kelebihan bulan purnama berbanding segala bintang."
    (HR Abu Daud & Al-Tirmizi)




    Rohayu Binti Abdullah

    MAJLIS PERPISAHAN PK PENTABIRAN-ENCIK MICHEAL CHOONG ENG HOCK