JOM BOOKCAFE

Isnin, 9 April 2012

TAKUT TUAN ATAU TUHAN??

Sesungguhnya orang yang paling takut kepada Allah adalah hamba-hambaNya yang berilmu...sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun (Surah Fatir: 28)

Takut adalah satu perasaan dalaman seseorang yang menyebabkan dan mendorong timbul rasa tidak berani menghadapi sesuatu yang pada pandangannya akan mendatangkan ancaman dan bahaya.Takut juga membawa erti takwa iaitu segan,kasih,hormat dengan mematuhi perintah Allah S.W.T dan menjauhi larangan-Nya.

"Bos pergi mana?"
"GB pergi mesyuarat ke?"
"Lama ke pengetua pergi kursus?"

Inilah antara soalan yang sangat popular dalam kalangan warga pendidik apabila mendapati pengetua atau guru besar tidak kelihatan di sekolah.Kenapa kita sering berharap agar (bos) tidak ada? Adakah pengetua atau guru besar akan mengganggu kebebasan dan membatasi tindakan serta tugasan kita?

Pelik juga difikirkan jika ada segelintir guru yang boleh membeza-bezakan cara dan gaya P&P atau tugasan hanya disebabkan tuan pengetua atau guru besar ada atau tiada di sekolah.

Jika kita takut kepada tuan pengetua atau guru besar seolah-olah perbuatan yang dilakukan tidak ikhlas.Contohnya ketika pengetua membuat rondaan di depan kelas,kita akan rasa serba salah dan akan membuat yang terbaik.Kita akan berusaha supaya guru besar melihat kita mengajar dengan bersungguh-sungguh.

Jika kita guru yang hebat sekalipun perbuatan ini tidak baik kerana menunjuk-nunjuk.Itu riak namanya.Jika sebaliknya kita hanya berpura-pura,kita akan tergolong dalam kumpulan orang yang memiliki ciri-ciri munafik.

Tuan pengetua atau guru besar adalah manusia.Kita juga manusia.Sebenarnya kita semua sama sahaja.Tidak perlulah takut kepada sesama manusia.Apabila mati nanti yang menguasai hari perbicaraan bukanlah tuan pengetua atau guru besar tetapi Allah S.W.T.Memang sifat manusia hanya takut kepada sesuatu yang boleh mendatangkan bahaya secara zahirnya.

Rugi sungguh jika perasaan takut kepada Allah S.W.T tidak wujud dalam sanubari.Nabi Muhammad s.a.w insan mulia penghulu segala nabi yang telah dijanjikan syurga pun mempunyai perasaan takut yang hebat kepada Allah S.W.T

Jika kita tidak takut kepada Allah S.W.T ,maka eloklah kita tanya diri sendiri,siapalah diri kita ini jika dibandingkan dengan Rasulullah s.a.w ?Perasaan takut ini sebenarnya hanya dimiliki oleh orang yang berilmu.

Pada suatu hari Ibnu Umar telah mendatangi seorang budak pengembala kambing.Baginda meminta budak menjualkan seekor kambing kepada baginda dengan tujuan menguji keimanan budak itu.Ibnu Umar bertanya?" Sudikah engkau menjualkan seekor kambing kepadaku?"Jawab si budak:"Maaf tuan kambing ini bukan kepunyaan saya,saya hanya menjaga amanah untuk mengembalanya sahaja." Jawab Ibnu Umar lagi "Sudahlah jual saja dan katakanlah kepada majikanmu bahawa seekor kambing telah dimakan oleh serigala."Jawab si budak lagi:"Boleh jika saya hendak berbuat begitu tetapi saya disaksikan oleh yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui iaitu Allah S.W.T.Boleh saja saya menipu majikan tetapi saya tidak boleh menipu Allah."

Apabila perasaan takut kepada Allah S.W.T telah meresap dan sebati dalam diri maka segala perbuatan,pekerjaan dan ibadat dilakukan dengan ikhlas.Kita kan merasa bahawa Allah S.W.T sentiasa memerhati dan melihat serta mengetahui apa yang kita zahirkan dan apa yang cuba kita sembunyikan.Perasaan takut ini akan menghalang diri daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar.

Marilah kita mengajar,mendidik dan membimbing anak didik dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah S.W.T.Laksanakanlah segala tugas dan P&P dengan dedikasi dan sempurna tanpa memilih waktu atau tempat.Mendidiklah dengan penuh semangat,rela dan bersungguh-sungguh.Yakinlah bahawa Allah S.W.T Maha Teliti perhitungan-Nya walaupun sebesar zarah sekalipun amalan kita tetap mendapat ganjaran.

Usahlah memilih status atau membezakan layanan kepada pelajar.Berlaku adillah kepada mereka semua kerana sifat adil akan mendekatkan kita kepada takwa .Firman Allah S.W.T

...Dan barang sesiapa yang bertakwa kepda Allah nescaya Dia jadikan baginya satu jalan keluar.Dan dikurniai dia dari jalan yang ia tidak sangka-sangka.Surah al-Thalaq ayat 2-3

Sekadar renungan untuk diri kita,berapa ramai orang yang membuat amalan dan kebajikan dengan penat lelah,disangka ikhlas tetapi terselit perasaan riak dan pura-pura.Apalah ertinya amalan yang banyak namun sia-sia.Semoga kita tidak termasuk dalam golongan itu.

MANUSIA YANG TIDAK BERTUHAN AKAN JADI BERHANTU

Tiada ulasan:

Catat Ulasan