JOM BOOKCAFE

Selasa, 8 Mei 2012

Apa Itu Pentaksiran Berasaskan Sekolah ?

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan salah satu komponen pentaksiran yang dikendalikan oleh pihak sekolah dan pentaksirannya dilaksanakan oleh guru-guru mata pelajaran secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

PBS dirancang, ditadbir, diskor dan dilaporkan secara terancang mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).
Demi menjamin kualiti pelaksanaan PBS, mekanisme penyelarasan dan pemantauan akan dilaksanakan untuk meningkatkan kebolehpercayaan dan kesahan skor pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah.

PBS di peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR) terdiri daripada 5 bentuk iaitu:

a) Projek
b) Kerja Kursus
c) Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS)
d) Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS)
e) Modul

Matlamat kurikulum bahasa sekolah menengah adalah untuk melengkapkan murid dengan keterampilan berbahasa dan berkomunikasi untuk memenuhi keperluan diri dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan urusan harian. Matlamat ini diukur di peringkat sekolah dalam bentuk Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS) dan Ujian Lisan Berasaskan Sekolah.

Pentaksiran Berasaskan Sekolah ini bertujuan memenuhi matlamat pendidikan mata pelajaran Bahasa Arab Komunikasi yang memberi penekanan yang serius terhadap kemahiran bahasa yang empat iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Melalui instrumen ini kemahiran-kemahiran tersebut khasnya kemahiran mendengar dan bertutur dapat dipertingkat. Ini dapat melahirkan generasi yang celik bahasa Al-Quran dan mampu menggunakannya dalam komunikasi.

Pendidikan Sejarah bermatlamat untuk memupuk dan memperkukuh semangat setia negara dan jati diri sebagai warganegara Malaysia dan warga dunia. Sebahagian dari matlamat ini diukur dalam bentuk PBS apabila murid terlibat secara langsung dalam menghasilkan projek-projek kerja kursus Sejarah di sekolah yang mana, melalui pengetahuan dan penghayatan sejarah tanah air dan sejarah negara luar yang berkaitan, murid dapat memahami keadaan masyarakat dan negara serta hubungannya dengan sejarah dunia.

Kurikulum Geografi membolehkan murid memahami fenomena geografi berfokus kepada negara Malaysia dan hubungannya dengan negara-negara lain supaya dapat melahirkan murid berilmu, bertanggungjawab, bersyukur dan mengenali serta mencintai negara Malaysia. Seperti pendidikan Sejarah, sebahagian matlamat ini, diukur semasa murid melaksanakan projek PBS.

Kurikulum Sains untuk sekolah menengah bertujuan untuk melahirkan murid yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang sains dan teknologi dan mampu mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran ini berlandaskan sikap saintifik dan nilai murni untukmembuat keputusan dan menyelesaikan masalah dalam kehidupan harian. Jesteru, murid mempunyai landasan sains dan teknologi untuk melanjutkan pelajaran di samping mengamalkan budaya sains dan teknologi ke arah pembentukan masyarakat bersifat ikram,dinamik, progresif, bertanggungjawab terhadap alam sekeliling dan mengagumi penciptaan alam.

Matlamat Pendidikan Islam adalah untuk menghasilkan Muslim yang berilmu, beriman, berketerampilan beramal soleh, beradab dan berakhlak mulia berdasarkan al-Quran dan al-Sunah sebagai hamba dan khalifah Allah yang bertakwa dan menyumbang kepada tamadun bangsa dan negara. Pentaksiran Berasaskan Sekolah yang melibatkan Tilawah & Hafazan serta Pemerhatian Adab & Akhlak Islamiah merupakan alat pengukuran bagi sebahagian matlamat Pendidikan Islam.

Mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB) bermatlamat untuk melahirkan insan yang berdikari, kenal faham teknologi dan ekonomi serta kreatif, berinisiatif dan yakin diri dalam keadaan teknologi yang sentiasa berubah untuk kehidupan harian. Modul-modul kerja kursus KHB yang perlu dilaksanakan oleh semua murid menjadi alat pengukuran dalam PBS.

Oleh itu boleh disimpulkan bahawa Pentaksiran Berasaskan Sekolah merupakan satu lagi cabangan yang membolehkan murid ditaksir menggunakan pengukur-pengukur yang disediakan sejajar dengan matlamat setiap mata pelajaran.
 
Sumber: http://pbssppjpnpp.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan