Bangau oh bangau, Mengapa engkau kurus?
Macamana aku tak kurus, Ikan tidak timbul.
Ikan
oh ikan, Mengapa kau tak timbul?
Macamana aku tak timbul, Rumput panjang
sangat.
Rumput
oh rumput,
Kenapa
engkau panjang sangat?
Macamana
aku tak panjang,
Kerbau
tak makan aku.
Katak
oh katak,
Kenapa
panggil hujan?
Macamana
aku tak panggil,
Ular
nak makan aku.
Ular
oh ular,
Mengapa
nak makan katak?
Macamana
aku tak makan.
Memang
makanan aku.
Ini
adalah sebuah cerita yang telah disampaikan secara tradisi dalam bentuk lagu
kanak-kanak. Ia berpindah dari satu generasi ke satu generasi hinggalah kini.
Apabila mendengar bait-bait lagu ini, terasa ada lucunya. Rentak lagu
‘monotonous’ itu memang menarik dan mudah menjadi hafalan kanak-kanak. Walaupun
ianya lucu dan menghiburkan, namun bait-bait lagu ini mengandungi unsur
sindiran yang sangat tajam, khusus buat sekumpulan masyarakat yang suka
salah-menyalahkan orang lain. Masing-masing menuding jari kerana hendak
berlepas diri daripada dipersalahkan.
Mengapakah
lagu ini mengambil binatang-binatang seperti bangau, ikan dan katak sebagai
pesalah? Begitu juga dengan alam semula jadi seperti rumput, hujan dan nasi?
Mengapakah ia tidak menggunakan manusia sebagai karektornya? Adakah pencipta
lagu ini juga termasuk ‘pesalah’ yang suka menyalahkan orang lain sehingga
meletakkan pesalahnya kepada tumbuhan dan haiwan? Mungkin agaknya beliau hendak
menjaga hati manusia, maklumlah justeru terdapat ramai manusia yang begitu
sensitif bila ditegur dan tidak mahu mengaku pula kesalahan yang dibuat.
Lagu
ini mengisahkan bangau, rumput, kayu, hujan dan lain-lainnya, yang
masing-masing menyalahkan satu sama lain apabila terdapat kelemahan pada diri
sendiri. Sikap salah-menyalahkan itu bermula daripada bangau sehinggalah
berhenti kepada ular. Ular sahaja yang mengaku kesalahannya. Jika tidak, ada
kemungkinan lagu atau kisah ini akan meleret-leret panjangnya. Pastinya, sikap
salah-menyalahkan ini akan berterusan dan masalah tidak akan selesai.
Iktibarnya,
kisah ini mengajar kita apabila berlaku satu masalah dalam masyarakat, setiap
individu dari sekecil-kecilnya sehinggalah ke sebesar-besarnya (sama ada
dari segi kedudukan atau pengaruh) sewajarnya melihat keupayaan, kelemahan,
peranan, kemampuan serta upaya bertindak masing-masing. Tegasnya, setiap kita
hendaklah melihat diri sendiri dahulu sebelum sewenang-wenangnya menuding jari.
Kita perlu mencari apa yang salah, bukannya siapa yang salah. Apakah yang salah
dan apakah sumbangan kita untuk menyelesaikan masalah tersebut? Walaupun
masalah itu kecil, kita perlu membuat penyelesaian yang terbaik mengikut
kemampuan dan pada lingkungan pengaruh kita. Ubahlah dan betulkanlah diri
dahulu maka barulah kita akan berjaya membetulkan orang lain.
Secara
sinisnya, ‘bangau’ hendaklah belajar menangkap ikan dalam keadaan rumput yang
panjang kerana itu memang kerjanya. Jangan salahkan rumput yang panjang!
Sepatutnya kalau ditanya, “Oh bangau, kenapa kau kurus? Bangau tak sepatutnya
menyalahkan ikan tak timbul. Bukannya ikan yang perlu datang sendiri kepadanya.
Bangau sendiri yang patut berusaha mendapatkan ikan itu. Begitu juga bagi lembu
yang sakit perut, jangan disalahkan nasi yang mentah, kerana itulah risiko yang
terpaksa ditanggungnya apabila makan tanpa usul periksa.
Dalam
masyarakat apabila berhadapan dengan masalah, terdapat dua golongan iaitu
golongan yang proaktif dan golongan yang reaktif. Golongan reaktif ialah
golongan yang apabila berhadapan dengan masalah sering menyalahkan orang lain.
Dan dia suka menumpukan masalah kepada lingkungan pengaruh orang lain. Jarang
dia mahu memfokus pada lingkungan pengaruhnya. Misalnya apabila seseorang anak
itu ditangkap kerana sesuatu masalah yang dilakukannya maka dengan pantas ia
menyalahkan ibu-bapanya.
Jika
ditanyakan kepada sianak, “Kenapa awak jadi begini?”Dia
pun menjawab, ”Ini bukan salah saya. Ayah dan ibu saya yang salah!”Manakala
apabila ditanya kepada ibu-bapanya pula, lantas mereka pula menjawab, “ Ini
bukan salah kami tetapi ini salah guru.”
Begitulah
seterusnya.
Masing-masing
melihat dan berlegar dalam lingkungan pengaruh orang lain yang tidak boleh
dikawal. Kalau begini, sampai bila-bilapun masalah tidak akan selesai. Inilah
bahana budaya menuding jari. Kenapa jadi bodoh, guru tidak pandai mengajar.
Kenapa malas, sebab orang lain pun malas juga. Inilah sifat orang yang reaktif.
Dan inilah yang sedang membudaya dalam masyarakat kita. Lihat sahaja masalah
sosial dikalangan remaja, masing-masing menuding jari kepada orang lain.
Lawan
kepada sikap reaktif ialah proaktif. Proaktif maksudnya apabila ia
berhadapan dengan sesuatu masalah, berdepan dengan suatu peluang, dia akan
menumpukan kepada apa yang dia boleh buat. Yakni dalam lingkungan pengaruh yang
mampu dikawalnya. Walaupun pengaruh itu kecil, lama kelamaan ia akan bertambah.
Jika kita mengubah diri kita, maka perubahan itu akan mampu mengubah orang
lain. Sikap lebih berkesan daripada cakap. Jangan harapkan perubahan orang lain
untuk mengubah diri kita. Orang yang proaktif ialah orang yang punya
keyakinan diri, disiplin diri dan self- esteem (harga diri) yang tinggi. Ia
bukan sahaja mampu mengawal diri bahkan akan mampu mengawal orang lain.
Manakala orang yang reaktif pula ialah orang yang dicorakkan oleh keadaan. Ke
mana dia pergi, dia akan dicorakkan kerana tiada kekuatan dalaman untuk
berhadapan dengan setiap masalah.
Dalam
kes masalah sosial remaja setiap pihak hendaklah bersikap proaktif.
Budaya ‘bangau oh bangau’ hendaklah dihentikan. Sebagai manusia yang telah akil
baligh, yakni berfikiran waras, remaja tidak seharusnya terus menyalahkan
ibu-bapa atas kesilapan dan kesalahannya. Firman Allah swt:
“Apabila
dikatakan kepada mereka: Ikutilah apa-apa yang diturunkan Allah! Maka jawab
mereka: Tetapi kami mengikt apa-apa yang kami perolehi dari bapa-bapa kami.
Meskipun bapa-bapa mereka itu tiada memikirkan suatu apapun dan tiada pula
mendapat petunjuk.”
(Surah Al-Baqarah: 170)
Sekalipun,
ibu-bapa tidak memainkan peranan yang betul, maka dengan fikiran dan ilmu yang
didapati dari sekolah dan masyarakat para remaja sudah sewajarnya mampu menilai
dirinya sendiri. Mereka adalah ‘pemandu’ pada kereta kehidupan mereka. Jika
berlanggar jangan salahkan ibu-bapa, tapi salahkan diri sendiri. Dan tindakan
selanjutnya ialah belajar lebih gigih agar tidak mengulangi kesalahan yang
sama.
Manakala
bagi pihak ibu-bapa pula, janganlah terus menyalahkan guru atau masyarakat.
Sebagai individu yang terapat dengan para remaja, tentulah pengaruh mereka
lebih besar daripada mana-mana pihak dalam membentuk keperibadian anak-anak.
Anak kita adalah hak kita dan Allah telah menetapkan bahawa kita adalah
pencorak utama kepada akhlak mereka. Lupakah ibu-bapa kepada firman Allah ini:
“Anak-anak
dilahirkan suci bersih, kedua ibu-bapanyalah yang akan menjadikannya yahudi,
nasrani atau majusi.”
Jadi
ibu-bapa yang baik tidak akan menyalahkan guru, masyarakat dan kerajaan atas
kerosakan anak mereka. Sebaliknya, mereka akan memperbaiki diri dan mula
mendidik anak mereka dengan terlebih dahulu mendidik diri sendiri!
Begitulah
juga masyarakat, pihak sekolah, para pemimpin – masing-masing hendaklah melihat
dan bercermin pada hati nurani masing-masing. Apa akan jadi jika pemimpin
menyalahkan rakyat dan rakyat pula menyalahkan pemimpin? Ingat-ingatlah, kita
bukan bangau, kerbau atau ikan yang tidak punya akal fikiran. Allah sendiri
mengiktiraf hak dan pilihan individu, maka atas dasar itu masing-masing akan
ditanya mengikut peranan, kemampuan dan tanggung-jawab masing-masing. Kita
tidak boleh menyalahkan sesiapa, hatta menyalahkan syaitan sekalipun! Jika kita
terpedaya akan tipu-dayanya itu bukan salahnya, tetapi itu adalah salah kita…
Kenapa kita boleh ditipu? Rasulullah saw bersabda:
“Setiap kamu adalah pengembala
(pemimpin), dan setiap pengembala akan ditanya akan gembalaannya.”
Terdapat
juga segolongan masyarakat yang tidak mengambil kisah tentang apa yang berlaku
di sekelilingnya. Golongan ini bersikap in-aktif yakni tidak ambil kisah atau
tidak mahu ambil tahu langsung tentang apa yang berlaku dalam masyarakat.
Katakanlah, jika dia melihat masalah remaja, dia mungkin kata, “Biarkanlah,
asalkan jangan terkena pada anak aku”. Dia lebih rela bersikap ‘tidak apa’
dengan apa yang telah berlaku. Hatinya buta, tidak prihatin dan tidak sensitif.
Dia hanya menjaga kepentingan dirinya sahaja. Dia akan tercabar hanya apabila
ada orang yang mengganggu ‘tepi kainnya’. Katakanlah, jika berlaku sesuatu
tragedi buruk, dia akan berkata, “Itu di negeri lain, bukan di negeri aku. Jika
berlaku di negerinya, dia akan kata, “Itu di negeri lain, bukan kampungku.”
Apabila terjadi di kampungnya, dia boleh kata, “itu di kampung sebelah utara,
saya kampung sebelah selatan.” Bila dia sedar? Apabila terkena batang
hidungnya, barulah dia tersentak dan meminta pertolongan orang lain. Individu
yang in-aktif ini tidak sedar bahawa hakikatnya manusia umpama penumpang sebuah
kapal yang besar, yang mana kebocoran di mana-mana tempat akan menenggelamkan
seluruh kapal jika kebocoran itu tidak ditampal bersama-sama. Sikap in-aktif
sebahagian masyarakat ini mengingatkan kita pada ungkapan “Siluncai terjun
dengan labu-labunya… biarkan, biarkan….”
Akhir
sekali, bagi mengatasi masalah budaya reaktif ‘Bangau oh bangau’ dan sikap
in-aktif ‘Si Luncai terjun dengan labu-labunya’ maka kita perlulah bersikap
berani. Berani mengakui kesalahan dan kelemahan diri. Berani menanggung risiko
akibat pilihan dan perlakuan kita sendiri. Dan kemudian berani pula untuk
memperbaiki kelemahan itu dengan meningkatkan ilmu, kemahiran dan sikap kita
terhadap sesuatu perkara.
Kedua,
kita perlu tahu akan kekuatan-kekuatan yang ada pada diri. Kita yakin pada
kekuatan itu dan menambah serta mempertingkatkannya dari semasa ke semasa.
Yakinlah setiap insan dilahirkan dengan keistimewaan masing-masing. Kita adalah
unik dan terbaik dalam bidang-bidang tertentu. Kenali bidang itu dan terokailah
dengan yakin. Bukankah bangau punya tengkuk yang panjang dan ikan mempunyai
ketangkasan berenang dan menyelam? Dan dengan tengkuk yang panjang bangau
boleh menyusup ke celah-celah rumput yang panjang dan dengan ketangkasan
berenang dan menyelam ikan boleh timbul ke permukaan. Lihat pada apa yang ada,
barulah kita bersyukur. Jangan dikenang apa yang tiada, nanti kita kufur.
sumber :http://genta-rasa.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan