Apabila Majlis Fatwa
Kebangsaan mengharamkan Pengkid, saya tertanya-tanya: “Apakah
Pengkid?” Agak ketinggalan dalam istilah-istilah seumpama ini, saya
membuat sedikit kajian dan bertanya kepada beberapa rakan yang lebih
terkini dengan istilah-istilah sedemikian. Memeranjatkan, ia
merupakan salah satu daripada beberapa istilah yang digunakan bagi
menerangkan keadaan seseorang dari aspek jantina dan kecenderungan
seksualnya.
Sedikit kajian yang
dilakukan itu menemukan saya dengan beberapa istilah lain yang duduk
dalam subjek yang sama, yang dapat saya ringkaskan sebagai berikut:
-
Transgender: Lelaki yang tingkah lakunya seperti wanita dan wanita yang tingkah lakunya seperti lelaki.
-
Tranvestit: Lelaki yang berpenampilan seperti wanita dan wanita yang berpenampilan seperti lelaki.
-
Transeksual: Lelaki yang merasakan dia seorang wanita dan wanita yang merasakan dia seorang lelaki. Ada yang membuktikan perasaan itu dengan melakukan pembedahan bagi menukar alat kelamin.
-
Homoseksual: Orang yang melakukan hubungan seksual dengan jantina sejenisnya. Lelaki yang membuat hubungan seks dengan lelaki disebut sebagai Gay manakala wanita yang membuat hubungan seks dengan wanita disebut Lesbian. Lawannya ialah Heteroseksual, iaitu lelaki yang membuat hubungan seks dengan wanita dan wanita yang membuat hubungan seks dengan lelaki. Ini adalah hubungan yang betul lagi normal dan dihalalkan oleh Islam melalui pernikahan yang menepati rukun-rukunnya.
-
Bi-Seksual: Lelaki yang membuat hubungan seks dengan wanita dan lelaki. Juga wanita yang membuat hubungan seks dengan lelaki dan wanita.
-
Tri-Seksual: Lelaki yang membuat hubungan seks dengan wanita, lelaki dan transeksual. Juga wanita yang membuat hubungan seks dengan lelaki, wanita dan transeksual.
-
Pengkid: Wanita yang mencintai wanita seumpama pasangan hidupnya. Di kalangan Pengkid ada yang berpenampilan sebagai lelaki.
Tujuh aspek jantina dan
kecenderungan seksual seseorang sepertimana di atas tentu saja
berbeza dari fitrah manusia dan norma kehidupan. Akan tetapi atas
lencana kemodenan dan kebebasan peribadi, ia dianggap biasa dan
boleh ditonjolkan kepada khalayak ramai. Namun apakah hukumnya
menurut Islam? Dalam penulisan yang sederhana ini, saya ingin
berkongsi dengan para pembaca sekalian hukumnya berdasarkan
al-Qur’an dan al-Sunnah, juga jalan penyelesaiannya, insya-Allah.
Jika dikaji
ketujuh-tujuh aspek jantina dan kecenderungan seksual di atas, ia
dapat dihimpun kepada tiga kategori hukum. Pertama:
Hukum menyerupai jantina yang berbeza, Kedua: Hukum mencintai
jantina sejenis umpama pasangan hidup dan Ketiga: Hukum
melakukan hubungan seks dengan jantina sejenis.
Hukum Menyerupai Jantina Yang Berbeza.
Dalam bab ini
Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Bukan dari golongan kami
siapa saja wanita yang menyerupai lelaki dan siapa saja lelaki yang
menyerupai wanita.” (Musnad Ahmad, no: 6875 dengan
sanad yang dinilai hasan oleh Ahmad Syakir). Bahkan ‘Abdullah ibn
‘Abbas r.a. menerangkan bahawa: “Rasulullah s.a.w. melaknat
lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.”
(Shahih al-Bukhari, no: 5546). Hadis-hadis larangan dalam bab
ini juga diriwayatkan oleh Abu Hurairah dan Aisyah r.a..
Berdasarkan hadis-hadis
ini, jumhur ilmuan mengatakan haram hukumnya untuk seseorang itu
berusaha menyerupai jantina yang berbeza dengannya, baik dalam
bentuk tingkah laku, penampilan, pakaian mahu pun perhiasan.
Larangan ini termasuk kanak-kanak lelaki dan perempuan yang belum
baligh, di mana haram hukumnya bagi ibubapa atau penjaga kanak-kanak
itu berusaha menyerupakan mereka dengan jantina yang berbeza. Dr.
Jamil bin Habib al-Luwaihiq menjelaskan:
“Apa-apa yang berlaku untuk orang lelaki dan wanita dalam bab ini,
berlaku pula untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan. Maka tidak
boleh mengenakan kepada kanak-kanak lelaki pakaian kanak-kanak
perempuan atau mengenakan kepada kanak-kanak perempuan pakaian untuk
kanak-kanak lelaki.”
[al-Tasyabbuh
al-Manhy ‘Anhu fi al-Fiqh al-Islami
(edisi terjemahan oleh Asmuni dengan judul Tasyabbuh Yang
Dilarang Dalam Fikih Islam; Darul Falah, Jakarta, 2007), ms.
138]
Pengecualian diberikan
jika penyerupaan itu memiliki dalil syar’e, di mana dalil itu
mengecualikan kemutlakan larangan penyerupaan di atas. Di antaranya
ialah hukum memakai cincin bagi lelaki, maka ia bukan satu
penyerupaan yang dilarang kerana Rasulullah s.a.w. turut memakai
cincin. Anas bin Malik r.a. menerangkan: “Bahawasanya Nabi
s.a.w., cincinnya diperbuat daripada perak dan mata cincinnya
daripada (perak) juga.”
(Shahih al-Bukhari, no: 5870)
Ada pun hikmah di
sebalik larangan penyerupaan jantina yang berbeza, maka ia adalah
satu tindakan yang melawan penciptaan Allah. Ini kerana Allah s.w.t.
telah mencipta manusia sebagai lelaki dan wanita di mana
masing-masing diberi ciri fizikal dan tanggungjawab yang berbeza.
Allah s.w.t. berfirman:
“Bukankah dia (manusia) berasal dari air
mani yang dipancarkan (ke dalam rahim)? Kemudian air mani itu
menjadi sebuku darah beku, sesudah itu Tuhan menciptakannya, dan
menyempurnakan kejadiannya (sebagai manusia)? Lalu Tuhan menjadikan
daripadanya dua jenis lelaki dan perempuan.”
[al-Qiyamah 75: 37-39]
Selain penentangan terhadap ciptaan Allah,
penyerupaan juga merupakan langkah awal ke arah pelbagai perbuatan
maksiat yang lain. Penjelasan Dr. Jamil al-Luwaihiq sekali lagi
menjadi rujukan:
“Di antara tujuan syari’at di sebalik larangan tersebut adalah untuk
menunjukkan perbezaan antara lelaki dan wanita, sebagaimana hikmah
dalam hal itu adalah untuk memutuskan jalan yang menuju kepada
sesuatu yang diakibatkan oleh hal tersebut berupa pelbagai kerosakan
besar yang bersangkutan dengan agama dan dunia.
……jika salah seorang dari keduanya melakukan sedikit dari hal-hal di
atas (penyerupaan kepada jantina yang berbeza), ia akan mendorong
kepada penyerupaan yang lebih besar sehingga hal itu menjadi sebab
terdorong melakukan pelbagai dosa besar.”
[al-Tasyabbuh, ms.
160-161]
Hukum Mencintai Jantina Sejenis Umpama Pasangan Hidup.
Menyebut tentang cinta,
asas pertama yang perlu diketahui oleh semua umat Islam ialah cinta
yang paling unggul hendaklah ditujukan kepada Allah s.w.t.. Allah
menegaskan hal ini dalam firman-Nya:
“Dan di antara manusia ada yang mengambil
selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka
mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah; sedangkan
orang-orang yang beriman itu lebih cinta kepada Allah (berbanding
selainnya).” [al-Baqarah 2:165]
Cinta kepada Allah
ialah mentaati segala perintah larangan-Nya, mencari keredhaan-Nya
dan melaksanakan kehidupan di dunia ini sebagaimana yang Dia
kehendaki. Cinta kepada Allah juga dibuktikan dengan mentaati segala
perintah larangan, nasihat dan teguran Rasulullah s.a.w.. Fakta
terakhir ini ditekankan sendiri oleh Allah s.w.t.:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar
kamu (umat Islam) mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah
mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah),
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
[Ali Imran 3:31]
Termasuk pembuktian
kecintaan kepada Allah ialah seseorang itu hanya mencintai jantina
yang berbeza sebagai pasangan hidupnya. Ini kerana Allah s.w.t.
sejak dini telah menciptakan manusia dalam jantina yang berpasangan,
lelaki dan wanita: “Dan bahawa
sesungguhnya, Dialah (Allah) yang menciptakan pasangan lelaki dan
perempuan.”
[al-Najm 53:45]
Justeru apabila ingin mencintai seseorang sebagai
pasangan hidupnya, hendaklah ia dalam bentuk pasangan lelaki dan
wanita, iaitu lelaki yang mencintai wanita dan wanita yang mencintai
lelaki. Pasangan ini seterusnya menghalalkan percintaan mereka
melalui ikatan nikah yang menepati rukun-rukun nikah dalam syari’at
Islam. Allah s.w.t. berfirman:
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan
kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu
(wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya
kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di
antara kamu (pasangan suami isteri) perasaan cinta (kasih sayang)
dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi
keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang
yang berfikir.” [al-Rum 30:21]
Individu yang mencintai
jantina sejenis untuk dijadikan pasangan hidup, dia sebenarnya
mencintai nafsunya melebihi cintanya kepada Allah. Atas dasar inilah
dia berani mengarahkan cintanya kepada sesuatu yang berbeza daripada
apa yang disusun, diperintah dan diredhai oleh Allah. Nah! Jika
mencintai sesuatu seumpama mencintai Allah sudah cukup untuk dikira
sebagai perbuatan syirik (rujuk ayat 165 surah al-Baqarah di atas),
maka bagaimana pula tindakan mencintai sesuatu melebihi cintanya
kepada Allah? Sudah tentu ia adalah syirik yang lebih besar, lebih
dahsyat.
Hukum Melakukan Hubungan Seks Dengan Jantina Sejenis.
Hubungan seks yang
dikehendaki oleh Allah s.w.t. ketika Dia mencipta manusia adalah
sebagaimana firman-Nya: “Dialah (Allah)
yang menciptakan kamu semua dari diri yang satu dan Dia mengadakan
daripada diri itu pasangannya (suami isteri), untuk bersenang-senang
satu diri kepada yang lain. Ketika suami mensetubuhi isterinya,
mengandunglah dia……”
[al-A’raaf 7:189]
Ada pun hubungan seks
yang berlawanan daripada kehendak Allah, maka ia bukan sahaja
dilarang tetapi langkah-langkah awal ke arahnya juga dilarang.
Rasulullah s.a.w. menegaskan:
“Tidak boleh seorang lelaki melihat aurat lelaki yang lain dan
tidak boleh seorang wanita melihat aurat wanita yang lain. Tidak
boleh seorang lelaki menyentuhkan badannya kepada badan lelaki yang
lain di dalam satu selimut dan tidak boleh seorang wanita
menyentuhkan badannya kepada badan wanita yang lain dalam satu
selimut.” [Shahih Muslim, no: 338]
Imam al-Nawawi
menjelaskan:
“Di antara kesimpulan hukum yang diperolehi dalam bab ini ialah
haram hukumnya bagi seorang lelaki melihat aurat lelaki yang lain
dan bagi seorang wanita melihat aurat wanita yang lain. Berkenaan
hukum ini tidak ada perselisihan di dalamnya (di kalangan para
ulama’).”
[al-Minhaj Syarh Shahih
Muslim bin al-Hajjaj (Dar Ihya’ al-Turats al-‘Arabi, Beirut,
2000), jld. 3, ms. 145]
Berkenaan penyentuhan
badan sejantina di dalam satu selimut, Imam al-Nawawi melanjutkan:
“Hadis ini menunjukkan larangan yang bersifat haram jika tidak ada
penghalang di antara kedua-duanya. Dalam hadis ini terkandung dalil
atas haramnya hukum bersentuhan aurat di bahagian mana pun badan
seseorang (yang sama jantina) dan ini sudah menjadi satu
kesepakatan, kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan pelbagai
kerosakan.”
[al-Minhaj, jld. 3, ms.
145]
Perhatikanlah! Jika
sekadar melihat dan menyentuh aurat sesama jantina sudah disepakati
keharamannya, apatah lagi jika saling melakukan hubungan seks di
antara sesama jantina. Sudah tentu ia haram juga.
Berdasarkan hadis di
atas juga, para ulama’ Islam sejak awal telah memberikan perhatian
kepada hukum seorang lelaki memandang wajah lelaki lain yang muda
lagi tampan. Sekali pun wajah bukan aurat, langkah berhati-hati dan
“cegah sebelum parah” menyebabkan para ulama’ kita melarang seorang
lelaki melihat wajah lelaki lain yang muda lagi tampan. Masih
bersama Imam al-Nawawi:
“Dan demikianlah juga, diharamkan ke atas seorang lelaki melihat
wajah seorang lelaki yang mudah lagi tampan, tanpa membezakan sama
ada ia dilihat dengan syahwat atau tidak, tanpa membezakan sama ada
ia bakal menimbulkan fitnah atau tidak. Ini merupakan pendapat yang
sahih di sisi para ulama’ yang teliti. Ia juga dikemukakan oleh
(Imam) al-Syafi’e dan murid-muridnya, semoga Allah merahmati mereka.
(Ini kerana) ketampanan
wajah seorang lelaki tidak jauh berbeza dengan kecantikan wajah
seorang wanita. Bahkan kebanyakan daripada mereka lebih menarik
berbanding kebanyakan wanita. Justeru, adalah lebih haram melihat
wajah lelaki yang muda lagi tampan berbanding melihat wajah wanita.
Ini kerana dari seorang lelaki yang muda lagi tampan, mungkin timbul
kejahatan yang tidak mungkin timbul dari seorang wanita.”
[al-Minhaj, jld.
3, ms. 145]
Saya menambah, hukum di
atas tidaklah terhadap kepada sesama lelaki sahaja. Seorang wanita
hendaklah juga menahan dirinya daripada memandang wanita lain yang
boleh menyebabkan dirinya tertarik kepadanya. Penahanan ini tetap
dilakukan tanpa membezakan sama ada wujud lintasan syahwat atau
tidak, sama ada bakal menimbulkan fitnah atau tidak.
Jantina Dan Seks Yang Berlawanan Fitrah: Ada Penyelesaian?
“Kudis masyarakat!”
demikian antara tohmahan yang dilontarkan kepada mereka yang
memiliki kecenderungan jantina dan seks yang berlawanan dengan
fitrah manusia. Selain itu ada juga yang melantik dirinya menjadi
jurucakap Allah dengan memberi ulasan: “Disebabkan oleh orang-orang
seperti mereka inilah, Allah menurunkan musibah ke atas negara
kita!” Padahal disebabkan oleh orang-orang yang hanya mengulas tanpa
bertindak sebeginilah yang menjadi antara faktor Allah menurunkan
siksaan-Nya. Rasulullah s.a.w. mengingatkan:
“Tidaklah satu kaum yang di kalangan mereka
terdapat orang-orang yang melakukan maksiat sementara kaum itu pula
lebih kuat dan lebih ramai daripada orang-orang yang melakukan
maksiat, tetapi mereka tidak pula menghalangnya, melainkan Allah
meliputi mereka semua dengan siksaan.”
[Musnad Ahmad, no: 19230 dengan sanad yang dinilai hasan oleh
Syu’aib al-Arna’uth]
Antara tindakan yang saya maksudkan ialah mencari
punca kenapa berlakunya kecenderungan jantina dan seksual yang
berbeza dari fitrah. Ini bukan sekadar tindakan tetapi juga jalan
penyelesaian, kerana sesuatu masalah itu lebih efektif ditangani
dari puncanya berbanding kesannya. Punca-punca tersebut dapat
disenaraikan seperti berikut:
Pertama: Pembesaran yang salah.
Maksud pembesaran yang salah ialah peranan serta
tindakan ibubapa yang membesarkan anak mereka sebagai jantina yang
berbeza. Di antara ibubapa ada yang sangat mengingini anak lelaki
padahal hanya dikurniakan dengan anak-anak perempuan. Lalu mereka
membesarkan salah seorang atau lebih daripada anak perempuan mereka
seumpama anak lelaki. Mereka memberikannya nama lelaki, pakaian
lelaki, permainan lelaki dan bersikap lelaki kepada anak itu.
Perkara seperti ini juga berlaku kepada ibubapa
yang sangat menginginkan anak perempuan tetapi dikurniakan semua
anak lelaki. Pembesaran yang salah seperti inilah yang menyebabkan
anak itu mengalami kecenderungan jantina dan seksual yang berbeza.
Kedua: Tiada Keseimbangan antara peranan ibu
dan ayah.
Jika seorang anak lelaki banyak meluangkan masa
pembesaran bersama ibunya tanpa kehadiran ayahnya, maka ada
kemungkinan dia terikut-ikut dengan sikap kewanitaan ibunya.
Demikian juga sebaliknya, jika seorang anak perempuan banyak
meluangkan masa pembesaran bersama ayahnya tanpa kehadiran ibunya,
maka ada kemungkinan dia terikut-ikut dengan sikap kelelakian
ayahnya. Maka penyelesaiannya di sini adalah, hendaklah ibu dan ayah
memainkan peranan yang seimbang dalam membesarkan anak-anak mereka.
Ketiga: Pendidikan seks yang salah.
Punca yang ketiga ini memerlukan susunan ayat
yang tepat kerana dibimbangi sebarang salah faham akan menjadi
sumber fitnah kepada diri saya sendiri. Ibubapa perlu memberikan
didikan seks yang betul kepada anak-anak mereka. Maksud betul di
sini ialah seorang anak lelaki dididik agar cenderung dan minat
kepada perempuan dan demikianlah sebaliknya terhadap anak perempuan.
Pada waktu yang sama, anak-anak dididik cara perhubungan yang betul
agar tidak terjadi sesuatu yang dilarang oleh agama.
Ingat! Islam menginginkan hubungan seksual antara
lelaki dan wanita (heteroseksual) dan hubungan ini ada
syarat-syaratnya. Kesongsangan berlaku apabila anak-anak dididik
seolah-olah semua hubungan antara lelaki dan wanita adalah haram.
Didikan yang melampaui batas inilah yang menyebabkan anak-anak
membesar dengan kecenderungan seks yang berlawanan dari fitrah
ciptaan mereka.
Penyelesaian kepada punca ketiga ini tidak sahaja
disandarkan kepada silibus pendidikan ibubapa, tetapi meluas kepada
para penjaga, guru, pensyarah dan penceramah.
Keempat: Pengalaman hidup.
Saya pernah dihubungi
oleh seorang lelaki dalam umur lewat dua puluhan, menceritakan
cabaran yang dihadapinya dalam kehidupan. Cabaran itu ialah minatnya
dari sudut seksual kepada sesama lelaki (gay). Dia menceritakan,
sepanjang hidupnya dia dididik bahawa wanita adalah haram bagi lelaki
(Punca Ketiga) dan semasa zaman awal di universiti, dia
diliwat secara paksa beberapa kali oleh pelajar lelaki atasan
(senior). Semua ini menyebabkan dirinya menghadapi konflik seksual
yang sukar diselesaikan.
Punca keempat ini tidak
boleh dipandang ringan. Tanpa memandang negatif secara keseluruhan
terhadap pendidikan berasrama, saya menasihatkan ibubapa agar
menyemak terlebih dahulu sejarah sesebuah sekolah berasrama sebelum
mendaftarkan anak mereka ke sana. Para remaja juga hendaklah diberi
kesedaran awal akan wujudnya gejala homoseksual di segelintir asrama
institusi pengajian tinggi (IPT), baik awam mahu pun swasta, agar
seandainya wujud isyarat awal gejala tersebut, mereka dapat
bertindak sebelum terlewat.
Pihak pentadbiran
sekolah dan universiti juga disaran agar jangan menyapu di bawah
tikar seandainya mereka mengetahui wujudnya aktiviti homoseksual di
kalangan para pelajar mereka. Sebaliknya hendaklah mereka bertindak
segera untuk menyelesaikannya. Dikhabarkan kebanyakan pihak
pentadbiran cuba menyembunyikannya demi menjaga nama baik sekolah
dan universiti serta kedudukan kewangan mereka. Ini adalah sikap
yang bertentangan dengan peranan sebenar mereka dalam bidang
pendidikan.
Menyentuh tentang
pengalaman, perlu juga diperhatikan dari sudut yang lain. Seorang
wanita mungkin pernah diperlakukan secara zalim oleh lelaki lain
sehingga dia amat membenci semua lelaki dan mencari ketenangan hidup
sesama wanita. Seorang lelaki mungkin pernah terkecewa amat sangat
dengan teman wanitanya sehingga dia putus asa terhadap semua wanita
dan mencari teman hidup dari kalangan sesama lelaki. Mereka yang
pernah mengalami seumpama di atas hendaklah diberi motivasi bahawa
bukan semua lelaki atau wanita adalah buruk. Calon heteroseksual
yang baik masih banyak di luar sana, hanya memerlukan sedikit usaha
dan kewaspadaan untuk mencarinya.
Kelima: Peranan masyarakat.
Merupakan kelaziman
masyarakat kita untuk menyisihkan sesiapa yang mereka anggap aneh.
Penyisihan ini menyebabkan mereka yang aneh tidak memiliki pilihan
lain kecuali berkomuniti dengan orang-orang yang memiliki keanehan
yang sama, agar apa yang aneh menjadi tidak aneh. Akhirnya apa yang
sedikit aneh menjadi bertambah aneh sehingga amat sukar bagi mereka
yang aneh untuk cuba kembali kepada yang tidak aneh.
Bezakan bahawa sebagai
umat Islam, kita dituntut untuk membetulkan orang yang berperilaku
aneh. Kita tidak akan dapat membetulkan mereka jika kita menyisihkan
mereka, malah penyisihan itu akan menyebabkan mereka lebih
terjerumus dalam keanehan itu.
Keenam: Salah faham terhadap takdir.
Apabila ditegur tentang
kecenderungan jantina dan seksual yang berlawanan dari fitrah
manusia, ada yang menjawab bahawa itu adalah takdir Allah ke atas
diri mereka dan mereka redha terhadapnya.
Ini adalah kefahaman
yang salah terhadap takdir. Ketahuilah bahawa keredhaan terhadap
takdir yang tidak disukai pada ukuran manusia terbahagi kepada dua
kategori:
-
Kategori pertama adalah takdir yang berupa musibah seperti penyakit dan kemiskinan. Maka kita dianjurkan untuk redha dan pada waktu yang sama berusaha untuk mencari takdir lain yang lebih baik, seperti kesembuhan dari penyakit dan kecukupan sesudah kemiskinan.
-
Kategori kedua ialah takdir yang berupa sesuatu yang dilarang oleh agama, seperti kecenderungan jantina dan seks yang berlawanan dari fitrah manusia. Maka tidak ada dalil yang menganjurkan kita untuk redha dengannya. Sebaliknya semua dalil-dalil agama mewajibkan kita untuk membencinya dan berusaha ke arah takdir lain yang selari dengan tuntutan agama.
Semoga penjelasan di
atas dapat membantu segelintir yang menghadapi cabaran kecenderungan
jantina dan seks yang berlawanan dari fitrah manusia. Yakinilah
bahawa setiap cabaran ada penyelesaiannya, bergantung sama ada kita
ingin mencarinya dan berusaha untuk menyelesaikannya. Tidak
ketinggalan, jangan berputus asa dari pertolongan Allah kerana Allah
bersedia membantu sesiapa yang sentiasa mengharapkan rahmat-Nya.