Ahad, 15 April 2012
Jumaat, 13 April 2012
KAWAN,TEMAN ATAU SAHABAT

Kalau anda menjadi sahabat,adakah anda memilih menjadi Hang Tuah atau hang Jebat? Sekadar satu soalan,jawapannya terserah kepada anda.
Rakan sejawat atau rakan sekerja ialah orang yang satu profesyen dengan kita dan sama-sama melaksanakan tugas sebagai guru.Pada dasarnya,kawan,teman dan sahabat adalah sama sahaja maksudnya,iaitu mereka yang selalu berdamping dengan kita selain daripada kaum kerabat.
Kata orang berkawan biar seribu,berkasih biar satu.Jika berteman biar hilang kesunyian,jika bersahabat biar dari dunia hingga akhirat.Persoalannya teman yang hendak dicari itu adakah ia teman seperjalanan,teman biasa tapi mesra,teman sejati,teman sehidup semati,atau teman seorang hidup dan seorang lagi mati?Apa pula bezanya dengan sahabat?
Ada pendapat mengatakan perbezaan antara kawan,teman dan sahabat dapat dinilai melalui keakraban perhubungan.Hubungan dengan kawan biasanya biasa-biasa saja.Hubungan dengan teman lebih akrab daripada kawan manakala dengan sahabat hubungannya lebih erat lagi.
Dalam berkawan kita mencari teman,dalam berteman kita mencari sahabat.Dalam pengalaman hidup kita sebagai guru,tentu kita telah menemui pelbagai jenis kawan atau teman.Tentunya kita telah sedia maklum bahawa bukan semua orang dapat dijadkan teman baik atau sahabat.Apatah lagi Nabi s.a.w juga telah berpesan yang mafhumnya: seseorang itu menurut agama temannya,maka hendaklah kamu meneliti orang yang akan dijadikan teman baiknya.(HR Abu Daud & Tirmizi)
Jika kita berkesempatan merenung atau membayangkan wajah teman-teman yang kita kenali,kita akan dapati sebenarnya teman-teman kita itu adalah cerminan diri kita.Seseorang itu biasanya akan berkawan atau bersahabat dengan orang yang serasi dengan dirinya.Bagaimana kita menghadapi mereka,begitulah mereka melayani kita.What we give we get it back.Kalau kita boleh menjadi teman atau sahabat yang baik tetapi mereka tidak,maka itu adalah ujian buat kita yang memerlukan reda dan sabar.
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Orang mukmin yang bergaul dengan orang lain dan sabar menghadapi gangguan mereka lebih baik daripada mukmin yang tidak bergaul dengan orang lain dan tidak sabar menghadapi gangguan mereka (Riwayat at-Tirmizi)
Malah kita sebenarnya memang wajib bergaul dalam usaha menegakkan amar makruf nahi mungkar.Kalau kita mendapat sahabat sejati dalam pergaula,itu merupakan bonus dan nikmat buat kita yang perlu disyukuri.Jika yang diperoleh sekadar teman seiring jalan alangkah baiknya jika kita jadikan dia sahabat yang sejati.
Antara ciri-ciri orang yang baik untuk kita jadikan sahabat menurut Imam al-Ghazali ialah:
- Baik akalnya-boleh berfikir dengan rasional,tidak kurang akal atau jahil.
- Baik budi pekertinya-berakhlak mulia dan bersopan santun
- Baik agamanya-bukan daripada golongan fasik atau maksiat.
- Zuhud-tidak tamakkan dunia
Kisah Nabi Musa a.s Al-Quran (Surah Taha:29) yang memohon teman daripada Allah untuk membantu menguatkannya membuktikan betapa seorang manusia hatta seorang nabi sekalipun amat memerlukan teman untuk menemani dalam urusan seharian.
Saidina Umar al-Khattab r.a berkata,"Tiada satu kebaikan pun yang dianugerahkan kepada seorang hamba sesudah Islam,selain saudaranya yang soleh.Apabila seseorang di antara kamu merasakan sentuhan kasih sayang dari saudaranya,maka hendaklah ia berpegang kepadany,"yakni tidak melepaskannya dan menghargai teman tersebut kerana kita sebenarnya telah dianugerahi nikmat yang sangat besar.
Sahabat yang baik umpama penawar manakala sahabat yang jahat umpama racun.Jika kita ingin mendapat sahabat yang boleh penawar,kita hendaklah menjadikan diri kita sebagai penawar terlebih dahulu.Jika ingin dicintai kita terlebih dahulu mesti menanmkan rasa cinta kepada sahabat.
Hubungan persahabatan yang tulus dan ikhlas sebenarnya merupakan salah satu jalan menuju syurga Allah S.W.T.Hubungan persahabatan yang didasari cinta dan perpisahan kerana Allah akan mendapat naungan Arasy Allah di Akhirat kelak.Abu Hurairah r.a meriwayatkan sabda Rasulullah s.a.w mafhumnya :Tujuh golongan manusia yang akan berada di bawah naungan Arasy-Nya pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya...dua orang yang berkasih sayang (bersahabat) bertemu dan berpisah kerana Allah (HR Muslim)
Saiyidina Ali k.w pernah mengatakan bahawa sahabat yang sebenar ialah orang yang sanggup membahayakan dirinya dan sanggup berkorban demi kemanfaatan sahabatnya.Mampukah kita menjadi sahabat sebegini?Cuba kita nilai diri kita dalam bersahabat berdasarkan tiga tingkat yang digariskan oleh Imam Al-Ghazali ini
- Tingkat pertama yang paling rendah menjadikan sahabat sebagai pembantu diri-mengutamakan keperluan diri sebelum sahabat.
- Tingkat kedua meletakkan sahabat setaraf dengan diri sendiri-sentiasa memenuhi keperluan sahabat sebagaimana keperluan diri.
- Tingkat ketiga mengutamakan sahabat lebih daripada diri sendiri-ini adalah tingkat kaum siddiqin yang benar-benar ikhlas dalam persahabatan.
Fungsi atau peranan sahabat dalam profesyen perguruan amat penting kerana dengan adanya sahabat,ia dapat memotivasikan kita.Sahabat sentiasa bersama kita semasa senang mahupun susah,seiring dan sejalan,tidak berjalan dahulu meninggalkan kita atau ketinggalan di belakang kita.Tangannya sentiasa dihulur ketika kita memerlukan.Sahabat adalah penasihat,pemantau dan penyumbang bukannya pen "sumbang" kepada kerjaya kita.
Di sekolah teman sejawat amat penting bagi kita untuk membina pasukan (team building) dan bekerja secara berpasukan (team work).Kerja-kerja di sekolah kebanyakannya perlu dilaksanakan secara kolektif.Ini memerlukan kita mempunyai vision (wawasan) dan mission (cara merealisasikan wawasan) yang sama hala tuju dan saling mempercayai.tanpa kepercayaan dan hala tuju yang sama,ditambah pula dengan sikap mementingkan diri sendiri dan hasad dengki,kita tidak akan ke mana-mana.
kawan.teman atau sahabat mempunyai pengaruh yang besar ke atas diri seseorang.Buruk baik seseorang dapat dinilai melalui sahabatnya.Justeru dalam kita berkawan,carilah teman dalam berteman carilah sahabat.andai telah bertemu sahabat,hargailah persahabatan itu,biarlah membawa hingga ke syurga.
Moga-moga Allah S.W.T mengurniakan sahabat yang boleh membimbing kita untuk menuju keredhaan-Nya.Moga-moga Allah S.W.T menjadikan kita sahabat yang setia mengajak teman ke arah kebaikan.Mudah-mudahan juga Allah S.W.T mengurniakan kepada kita nikmat persahabatan.
Kita mungkin hanya memerlukan masa hanya seminit untuk bertemu sahabat sejati tetapi memakan masa yang lama untuk mengenali,menghargai dan menyayanginya.Kita mungkin memerlukan seumur hidup pula untuk melupainya.Selamat menjalin persahabatan yang suci dan ikhlas.
MENCARI SAHABAT SEJATI UMPAMA MENCARI SEBUTIR PERMATA DI CELAH BUTIRAN PEPASIR DI PANTAI
nukilan dari buku : Guru Jutawan Akhirat
terbitan Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pelajaran Pulau Pinang.
Khamis, 12 April 2012
PROGRAM EKSPLORASI HAJI
PENGERUSI: NOORIAH BT MOHAMAD
NAIB PENGERUSI: AZRINA BT MUKHTAR
SASARAN:PELAJAR TINGKATAN 4 DAN 5 SERTA PENDUDUK KAMPUNG TANJUNG BUNGA
PENYELARAS: WAN NUR HANANI WAN HANAPI
SATIAUSAHA:NUR MUNIRAH MUHD FADZIR
BENDAHARI:HANIF ABD RAHMAN
Rabu, 11 April 2012
11 April Cuti Umum Sempena Pertabalan Agong
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan, berkata pengisytiharan hari kelepasan am itu dibuat berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369) bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
"Bagi Sabah dan Sarawak, tindakan diambil oleh kerajaan-kerajaan negeri tersebut mengikut undang-undang negeri masing-masing," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sidek berkata dua acara utama akan diadakan sempena pertabalan Seri Paduka iaitu Istiadat Pertabalan pada sebelah pagi dan Majlis Santapan Diraja pada sebelah malam, kedua-duanya di Istana Negara.
Tuanku Abdul Halim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 13 Disember lalu, menggantikan Sultan Mizan Zainal Abidin yang tamat tempoh pemerintahan pada 12 November 2011. - BERNAMA
TADAHLAH TANGANMU UNTUK ANAK MURIDMU..

Setelah Nabi Muhammad s.a.w dan Zaid bin Harithah r.a dilontar batu oleh Bani Thaqif,akhirnya baginda terpaksa meninggalkan mereka.Harapannya untuk berdakwah di bumi yang jaraknya kira-kira 70 batu dari Kota Makkah,berakhir dengan tragedi pilu.Baginda dihina dan dilontarkan batu sehingga berdarah,
Seterusnya Baginda s.a.w berjalan keluar meninggalkan Bani Thaqif sehingga berhenti rehat di kebun anggur milik seorang Musyrikin Makkah.di kala itulah baginda menadah tangan berdoa kepada Allah :
Ya Allah… Kepadamu aku mengadukan kelemahan kekuatanku,
Dan sedikitnya kemampuanku,
Serta kehinaanku dihadapan manusia.
Wahai Sebaik-baik pemberi kasih sayang,
Engkaulah Tuhan orang-orang yang lemah dan Engkau adalah Tuhanku.
Kepada siapakah Engkau serahkan diriku,
Kepada orang yang jauh yang menggangguku,
Atau kepada musuh yang akan menguasai urusanku,
Asalkan Engkau tidak marah padaku maka tiadalah keberatan bagiku,
Akan tetapi kemurahan-Mu jauh lebih luas bagiku.
Aku berlindung dengan Cahaya Wajahmu yang akan menerangi seluruh kegelapan,
Dan yang akan memberikan kebaikan segala urusan dunia dan akhirat,
Untuk melepaskan aku dari Marah-Mu,
Atau menghilangkan Murka-Mu dariku.
Hanya pada-Mu aku merintih berharap mendapatkan Keridloan-Mu,
Dan tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan-Mu
(Rujuk Raheeq al-Makhtum, Syeikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri)
Lihalah bagaimana seorang Nabi yang dianugerahi mukjizat namun mengakui kekerdilan dirinya berhadapan dengan masalah yang dihadapinya.
Ayuh kita muhasabah diri sejenak,kita ketuk suara hati kita.Pernahkah kita menadah tangan mengadu pada Yang Esa,mengakui kelemahan diri di saat menghadapi situasi yang sukar.
Seringkali kita hanya menyalahkan murid,memarahi mereka,mendenda dan sebagainya sehingga kadangkala pelbagai gelaran mereka berikan kepada kita di luar pengetahuan kita.Sebenarnya mereka sedikit pun tiada rasa hormat kepada kita tetapi mereka semata-mata takut kepada kita.Alangkah ruginya andai perkara sedemikian terjadi.
Hidup ini umpama roda.Jika hari ini kita berbuat baik kepada anak orang lain,tidak mustahil Allah S.W.T akan membalas balik apa yang kita lakukan.Cuba fikirkan anak-anak guru rata-rata tidak diajar sepenuhnya oleh ibu bapanya sendiri walaupun mereka bergelar guru.Tetapi mengapa ramai anak guru berjaya dalam hidup dan kerjaya mereka?Yakinlah dengan janji Allah S.W.T.Jika kita berbuat baik kepada orang lain,Allah S.W.T akan membalas segala kebaikan berkali-kali ganda.
Kata-kata guru itu masin.Kisah benar ini mungkin boleh menginsafkan kita betapa tutur kata kita hendaklah dijaga agar tidak menjadi doa yang akhirnya menganiaya hidup pelajar kita seumur hidupnya.
Suatu hari,seorang guru yang sudah tidak dapat lagi menahan sabarnya mengeluarkan kata-kata kesat "kurang ajar.Sia-sialah saja kamu belajar.Tengoklah nanti ,kamu tidak akan hidup senang!"Kata-kata ini diucapkan kepada seorang calon murid cemerlang SPM kerana melanggar disiplin asrama.
Hampir 10 tahun berlalu.Suatu hari guru yang telah bersara ini dalam perjalanan ke selatan tanah air.Dia singgah di sebuah stesen minyak untuk mengisi minyak keretanya.Pada mulanya tiada apa-apa yang menarik perhatian.Tetapi kelibat seorang pencuci kereta mencuri tumpuannya.Setelah lama diperhatikan dia mengerutkan dahi."macam pernah ku tengok budak ni.Tapi di mana ya?"fikir guru tersebut.
"Eh,muridku sewaktu aku mengajar di SM....dahulu."Si pencuci kereta perasan dirinya diperhatikan lantas diapun bertanya sama ada pemandu kereta tersebut ingin mencuci kereta.tetapi alangkah terkejutnya apabila terpandang wajah guru yang pernah menjadi warden asramanya suatu ketika dahulu.Tiada kata-kata dapat diucapkan.
"Cikgu,saya minta maaf.Dulu saya degil.Tapi kini saya sedar akibat tidak mendengar nasihat cikgu."Sayu sekali luahan hati si pencuci kereta.
"Sebenarnya cikgulah yang amat bersalah sebab marah kamu dulu.Akibatnya kamu jadi begini.Kawan-kawan kamu semuanya dapat kerja bagus-bagus.Kasihannya kamu...cikgu minta maaf.Cikgu halalkan ilmu yang cikgu beri selama ini dengan perasaan bersalah yang amat sangat.
1001 macam kisah dan cerita sering kita dengar berkaitan dengan doa guru.Kita menumpang gembira jika pelajar-pelajar kita berjaya,Mudah-mudahan ilmu yang ditinggalkan akan menjadi satu sedekah jariah yang bakal membantu kita di akhirat kelak.Tetapi jika murid gagal disebabkan kesilapan dan kesombongan kita alangkah ruginya kita kerana melakukan kerja yang sia-sia.Sedangkan tugas guru adalah profesyen yang mulia.
Rugikah kita mendoakan anak-anak murid yang sememangnya amat memerlukan bimbingan dan didikan dari guru-guru yang berjiwa mulia?Jatuhkah martabat jika kita mengangkat tangan memohon kejayaan anak-anak murid kita?Percayalah,semakin kita dekat dengan Allah S.W.T semakin kuat semangat kita.Walau apa pun cabaran yang bakal mendatang kita sudah memiliki kekuatan dalaman dan mudah-mudahan tugas-tugas yang menjadi rutin harian kita dapat dilakukan dengan cemerlang.
Sebenarnya kita adalah insan yang amat bertuah kerana bergelar pendidik.Kita umpama arkitek yang bebas menetukan hasil binaan kita.Kita juga umpama kilang yang memproses produk kemanusiaan yang bakal menetukan hala tuju negara.
Justeru mari renung bersama demi anak-anak didik yang amat kita kasihi.Mulai saat ini sering-seringlah mendoakan agar pelajar-pelajar kita terbuka pintu hatinya dalam menerima ilmu pengetahuan yang kita curahkan.Sebutlah nama mereka di dalam doa kita.
Pernahkah kita mendoakan pelajar kita sebelum ini?Di dalam keheningan malam yang syahdu,bangkitlah dari tidurmu yang lena.Dirikanlah solat tahajud dan inilah waktu yang amat mustajab untuk kita memohon perkenan Ilahi.Ingatlah jika kita ikhlas dan bersungguh-sungguh,doa guru untuk pelajarnya InsyaAllah dimakbulkan.Justeru,sewajarnya kita mendoakan yang baik-baik untuk anak-anak didik kita.
DOA ITU SENJATA MUKMIN
nukilan dari buku : Guru Jutawan Akhirat
terbitan Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pelajaran Pulau Pinang.
Langgan:
Catatan (Atom)