Oleh:Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
Di dalam sebuah buku yang menarik, karangan Dr. Ar-Ruhaili bertajuk Qawa’id al-Muhimmah fil Amri bil Ma’ruf wan Nahya ‘anil Munkar Fi Dhau’il Kitaabi was Sunnah (Kaedah-kaedah
Penting Dalam Amar Ma’ruf Nahi Munkar Mengikut Al-Quran dan As-Sunnah),
disusun empat peringkat cara menegur manusia. Hal ini penting kerana
sebahagian kita apabila mendapat sesuatu berasaskan fakta kita merasa
seronok untuk menyampaikannya kepada orang ramai, dan penyakit kita pula
ialah kita ingin orang berubah dengan serta merta.
Jadi kitab ini menjelaskan peringkat-peringkat bagaimana kaedah Nabi
menasihati manusia. Sebahagian orang hanya mengikut contoh Nabi yang
tegas dan keras sahaja dalam dakwahnya, contoh ketika Nabi lembut dia
tidak mengambilnya. Sebahagian yang lain pula mengambil contoh ketika
Nabi lembut sahaja, diguna pakai untuk semua orang. Dalam kitab tersebut
disusun empat peringkat mengikut keadaan;
Pertama: Lembutkan perkataan
Bagi orang yang jahil, nasihatinya dengan lemah lembut. Dalam hadis Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh Abu Dawud, Nabi sallallahu’alaihi wasallam di kala ingin menasihati di dalam beberapa isu, Baginda sallallahu’alaihi wasallam bersabda,
أنا منكم بمنزلة الوالد وعلمكم
“Aku dari kalangan kamu dengan kedudukanku seperti ayah, dan aku mengajari kalian.”
Maksudnya, Nabi menegur dan memperbetulkan sahabat dengan cara
Baginda menggambarkan dirinya sebagai seorang ayah. Bagaimana seorang
ayah menegur anak? Ayah menegur anaknya kerana menginginkan kebaikan
untuk anaknya.
Lihat apa yang Nabi tampilkan. Berbeza dengan sikap sebahagian kita
yang menjerkah dan memalukan orang yang dinasihati sehingga nasihat itu
tidak memberikan sebarang kebaikan kepadanya, malah membuatkan dia
semakin jauh daripada kita.
Sebab itu di dalam hadis yang masyhur, apabila datang kepada Nabi
orang Yahudi yang mengucapkan “As-saam ‘alaikum” (celaka ke atas kamu),
Aisyah berkata “Laknat Allah kembali ke atas kamu.” Kata Nabi sallallahu’alaihi wasallam, “Ya Aisyah, innallaha yuhibbu ar-rifqa fil amri kul” (sesungguhnya Allah menyukai kelembutan di dalam semua urusan).
Kemudian Nabi sallallahu’alaihi wasallam membalas kembali
ucapan Yahudi tersebut, “wa’alaikum” (dan ke atasmu juga). Kan lembut
sahaja perkataan itu walaupun maksudnya menikam. Nabi tidak menggunakan
perkataan celaka dan laknat.
Seperti Imam Syafi’i dan muridnya Al-Muzani. Al-Muzani apabila ingin mengkhabarkan perawi hadis itu pendusta dia mengatakan “kazzab” (pendusta), Imam Syafi’i berkata kepadanya, “layyin qaulak” (lembutkanlah perkataanmu). Al-Muzani bertanya, apa yang perlu aku sebutkan? Sebutkanlah “laisa bi syai’” (dia
tidak ada apa-apa). Maksud tidak ada apa-apa bererti dia pembohong dan
jangan mengambil hadis daripadanya satu pun. Itu maksudnya tetapi
perkataan yang digunakan itu cantik.