Oleh: Ustaz Abu Basyer
Terdapat tiga ciri sekiranya ada pada diri seseorang ia mempunyai penyakit hasad dengki.
1. Iaitu menginginkan nikmat yang diperolehi oleh orang lain hilang atau berpindah kepadanya.
2. Seseorang yang bersifat dengki tidak ingin melihat orang
lain mendapat nikmat atau tidak ingin melihat orang lain menyerupai atau
lebih daripadanya dalam sesuatu perkara yang baik. Orang yang bersifat
demikian seolah-olah membangkang kepada Allah subhanahu wata‘ala kerana
mengurniakan sesuatu nikmat kepada orang lain.
3. Orang yang berperangai seperti itu juga sentiasa dalam
keadaan berdukacita dan iri hati kepada orang lain yang akhirnya
menimbulkan fitnah dan hasutan yang membawa kepada bencana dan
kerosakan.
Di dalam kitab Ihya’ Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali ada
disimpulkan tujuh faktor yang menimbulkan perasaan hasad dengki
tersebut. Antara lain :-
1) Perasaan Permusuhan dan Kebencian
2) Merasa Diri Mulia
3) Takabbur
4) Ujub
5) Takut Terlepas Sesuatu Tujuan dan Habuan
6) Ghairah Menjadi Ketua dan Mencari Populariti
7) Busuk Hati.
Huraian faktor-faktor tersebut adalah seperti berikut.
Pertama : Perasaan Permusuhan dan Kebencian
Ini adalah sebab yang paling banyak menimbulkan kedengkian. Kerana
sesiapa yang disakiti oleh seseorang lain atas sebab-sebab tertentu atau
menyangkalnya dalam tujuan-tujuan tertentu lantaran alasan-alasan
tertentu, hatinya pasti marah lalu membenci orang yang menyakitinya itu,
maka tertanamlah bibit dengki dalam dirinya. Dengki mengundang
perlakuan yang agresif untuk memuaskan hatinya.
Pendek kata perasaan hasad dengki sentiasa bergandingan dengan
perasaan marah dan permusuhan. Semua manusia pada dasarnya memiliki
sifat marah, kerana marah adalah salah satu tabiat manusia. maka agama
tidak melarang marah, tetapi kita diperintahkan untuk dapat
mengendalikan marah dan senantiasa menjadi pemaaf.
Fiirman Allah s.w.t yang bermaksud : “Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta jangan pedulikan orang-orang yang bodoh”
(Surah Al-A’raaf ayat 199)
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : ”Orang yang terkuat di
kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di
ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka
memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan
(kejahatan orang yang menyakitinya)”
(Hadis Riwayat Baihaqi)
Kedua : Merasa Diri Mulia
Perasaan ini manifestasinya ialah seseorang itu merasa keberatan
kalau ada sesiapa yang dianggapnya mengatasi dirinya. Dia tidak rela
kalau ada orang lain melebihinya. Kalau ada orang –orang sepertinya yang
mendapat lebih pangkat, kuasa, ilmu dan harta, dia bimbang kalau-kalau
orang tersebut akan bersikap sombong terhadapnya. Dia tidak boleh tahan
dengan sikap mengatasi yang ditunjukkan oleh saingannya itu. Malah dia
tidak boleh menerima apa yang dirasakannya sebagai sikap mengatasinya.