BUANG SEKOLAH !!!
Oleh: Marni (Blog Marni)Cabaran terbesar dalam usaha membentuk sahsiah diri pelajar di sekolah bukannya datang daripada Falsafah Pendidikan Negara. Bukan daripada segala sistem yang mengawal proses pengajaran dan pembelajaran di tanah air tercinta. Bukan juga daripada pengaruh luar yang ada di sekeliling kita. Cabaran terbesar dalam usaha membentuk sahsiah diri pelajar di sekolah datangnya daripada ibubapa.
Beberapa hari lalu, kita mendengar kisah
20 orang pelajar pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi, Kubang
Pasu, Kedah dibuang sekolah. Ibu bapa kepada para pelajar ini bingkas
bangun dan bersuara melalui media. Kononnya nasib anak mereka tidak
terbela. Kononnya mereka tidak diberi peluang berbincang tentang apa
yang sudah dilakukan oleh anak mereka.
Jauh sekali pertimbangan dibuat tentang
nasib pelajar yang menjadi mangsa perlakuan anak-anak mereka. Emosi
siapa yang terjejas dalam kes-kes buli sebegini, mangsa atau pemangsa?
Hairan, mengapa pula media mendedahkan ‘nasib malang’ pelajar yang
dibuang tanpa mengambil kira nasib malang pelajar yang menjadi mangsa?
Isu ini menjadi besar kerana tindakan
ibu bapa kepada 20 orang pelajar yang terlibat. Mereka seharusnya
bersyukur kerana anak mereka hanya dibuang sekolah. Apakah mereka tidak
terfikir apa pula yang akan mereka lakukan sekiranya mangsa buli itu
adalah anak mereka? Apakah mereka tidak terfikir bahawa setiap tindakan
yang diambil pihak sekolah itu bukanlah tindakan yang ditetapkan ‘ikut
suka’?
Sekalipun tindakan menjentik dahi
(menurut laporan akhbar) dikatakan sebagai tindakan kecil, apakah
tindakan sebegitu tidak mengakibatkan kecederaan terhadap mangsa?
Bayangkan, 20 orang menjentik dahi kita hanya untuk suka-suka, apatah
lagi sekiranya ia dilakukan dalam keadaan marah atau melepaskan geram.
Apa agaknya perasaan kita? Pernahkah agaknya ibu bapa kepada 20 orang
pelajar itu mahu memikirkannya?
Apakah tindakan terhadap pelajar yang membuli di sekolah hanya boleh diambil selepas mangsa patah riuk atau kehilangan nyawa?
Hukuman buang sekolah memang hukuman
yang wajar diambil dalam kes-kes sebegini. Ia boleh menjadi pengajaran
kepada para pelajar yang lain, juga menjadi pengajaran kepada 20 orang
pelajar yang terlibat.
Kita tidak mahu dalam minda anak-anak
kita ini tersemat kata-kata, “Jadi apa-apa pun, emak abah mesti akan
jamin kita”. Kita juga tidak mahu dalam minda ibu bapa tersemat
kata-kata, “Anak kami baik dan tidak mungkin melakukan kesalahan itu.
Jikalau pun benar berlaku, kesalahan itu hanya kesalahan kecil sahaja!”
Kata-kata sebegitu hanya akan merosakkan
sahsiah diri anak-anak. Kata-kata itu adalah lesen besar kepada
anak-anak untuk terus dewasa sebagai penjenayah. Sesungguhnya berjaya
atau tidak usaha melahirkan generasi berpendidikan dan cemerlang dari
segenap aspek, ditentukan oleh sikap ibu bapa kerana pendidikan awal itu
bermula dari rumah.
—–
Tiada ulasan:
Catat Ulasan