Oleh: Ustaz Abu Basyer
Sahabat yang dirahmati Allah, Hasad dengki adalah satu sifat mazmumah yang dibenci oleh Allah
S.W.T. Sesiapa yang ada sifat ini sebenarnya ia tidak meredai ketentuan
Allah S.W.T yang telah dikurniakan sesuatu kelebihan atau nikmat kepada
seseorang dikalangan hamba-hamba-Nya.
Terdapat tiga ciri sekiranya ada pada diri seseorang ia mempunyai penyakit hasad dengki.
1. Iaitu menginginkan nikmat yang diperolehi oleh orang lain hilang atau berpindah kepadanya.
2. Seseorang yang bersifat dengki tidak ingin melihat orang
lain mendapat nikmat atau tidak ingin melihat orang lain menyerupai atau
lebih daripadanya dalam sesuatu perkara yang baik. Orang yang bersifat
demikian seolah-olah membangkang kepada Allah subhanahu wata‘ala kerana
mengurniakan sesuatu nikmat kepada orang lain.
3. Orang yang berperangai seperti itu juga sentiasa dalam
keadaan berdukacita dan iri hati kepada orang lain yang akhirnya
menimbulkan fitnah dan hasutan yang membawa kepada bencana dan
kerosakan.
Di dalam kitab Ihya’ Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali ada
disimpulkan tujuh faktor yang menimbulkan perasaan hasad dengki
tersebut. Antara lain :-
1) Perasaan Permusuhan dan Kebencian
2) Merasa Diri Mulia
3) Takabbur
4) Ujub
5) Takut Terlepas Sesuatu Tujuan dan Habuan
6) Ghairah Menjadi Ketua dan Mencari Populariti
7) Busuk Hati.
Huraian faktor-faktor tersebut adalah seperti berikut.
Pertama : Perasaan Permusuhan dan Kebencian
Ini adalah sebab yang paling banyak menimbulkan kedengkian. Kerana
sesiapa yang disakiti oleh seseorang lain atas sebab-sebab tertentu atau
menyangkalnya dalam tujuan-tujuan tertentu lantaran alasan-alasan
tertentu, hatinya pasti marah lalu membenci orang yang menyakitinya itu,
maka tertanamlah bibit dengki dalam dirinya. Dengki mengundang
perlakuan yang agresif untuk memuaskan hatinya.
Pendek kata perasaan hasad dengki sentiasa bergandingan dengan
perasaan marah dan permusuhan. Semua manusia pada dasarnya memiliki
sifat marah, kerana marah adalah salah satu tabiat manusia. maka agama
tidak melarang marah, tetapi kita diperintahkan untuk dapat
mengendalikan marah dan senantiasa menjadi pemaaf.
Fiirman Allah s.w.t yang bermaksud : “Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta jangan pedulikan orang-orang yang bodoh”
(Surah Al-A’raaf ayat 199)
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : ”Orang yang terkuat di
kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di
ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka
memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan
(kejahatan orang yang menyakitinya)”
(Hadis Riwayat Baihaqi)
Kedua : Merasa Diri Mulia
Perasaan ini manifestasinya ialah seseorang itu merasa keberatan
kalau ada sesiapa yang dianggapnya mengatasi dirinya. Dia tidak rela
kalau ada orang lain melebihinya. Kalau ada orang –orang sepertinya yang
mendapat lebih pangkat, kuasa, ilmu dan harta, dia bimbang kalau-kalau
orang tersebut akan bersikap sombong terhadapnya. Dia tidak boleh tahan
dengan sikap mengatasi yang ditunjukkan oleh saingannya itu. Malah dia
tidak boleh menerima apa yang dirasakannya sebagai sikap mengatasinya.
Ketiga : Takabbur
Jelasnya seorang itu mempunyai watak membesarkan diri terhadap orang
lain, selalu memperkecilkan dan mempergunakan seseorang untuk
kepentingan dirinya. Ia menganggarkan seseorang itu mematuhinya. Apabila
orang berkenaan menerima atau memperolehi sesuatu kurnia ia khuatir
kalau-kalau orang itu tidak lagi merelakan diri untuk mengikut
arahannya. Akhirnya orang yang telah mendapat kurnia tersebut akan
enggan mengikutinya, atau boleh jadi ia menganggap orang tersebut akan
cuba pula menyainginya.
Allah S.W.T. berfirman (di dalam Hadis Qudsi) : “Kesombongan
adalah selendangKu dan kebesaran adalah sarungKu. Maka barang siapa
menyamai-Ku salah satu dari keduanya, maka pasti Kulemparkan ia ke dalam
Jahannam dan tidak akan Kupedulikan lagi.”
Apabila kita meneliti maksud hadis ini, ia dengan jelas menyatakan
bahawa kesombongan dan kebesaran itu hanya milik Allah s.w.t.
semata-mata, tetapi bagaimanakah perasaan ini masih boleh timbul di
dalam hati manusia?
Sebenarnya, perasaan sombong atau takabbur boleh berlaku apabila
timbulnya suatu pandangan terhadap orang lain dengan pandangan yang
kecil dan hina.
Keempat : Ujub (bangga diri)
Terdapat tiga ciri-ciri ujub iaitu :
a. Iaitu merasai atau menyangkakan dirinya lebih sempurna.
b. Orang yang bersifat ‘ujub adalah orang yang timbul di dalam
hatinya sangkaan bahawa dia adalah seorang yang lebih sempurna dari segi
pelajarannya, amalannya, kekayaannya atau sebagainya dan ia menyangka
bahawa orang lain tidak berupaya melakukan sebagaimana yang dia lakukan.
c. Dengan itu, maka timbullah perasaan menghina dan
memperkecil-kecilkan orang lain dan lupa bahawa tiap-tiap sesuatu itu
ada kelebihannya.
Pernah Allah Subhanahu Wata’ala jelaskan kepada kita perihal
umat-umat di zaman silam. Mereka merasa takjub dengan diri mereka
sendiri. Hal ini menghalang mereka menurut kebenaran. Hujjah mereka
selalunya ialah seperti yang tertera di dalam Al-Quran :-
“Bukankah kamu tak lebih dari manusia(biasa) seperti kami juga?”
Dan ungkapan yang berbunyi: “Dan mereka berkata adakah wajar kami mempercayai manusia yang seperti kami juga?”
Golongan tersebut merasa aneh melihat orang yang berjaya mendapat
pangkat kerasulan, menerima wahyu dan martabat yang dekat di sisi Allah
Subhanuahu Wata’ala ialah manusia seperti mereka. Sebab itu mereka
menaruh rasa dengki kepada Rasul-Rasul tersebut.
Kelima : Takut Terlepas Sesuatu Tujuan dan Habuan
Biasanya perasaan ini wujud dalam kalangan orang yang saling
berlumba-lumba merebut sesuatu habuan. Tiap orang akan merasa dengki
kepada saingannya apabila saingannya mendapat suatu kelebihan yang boleh
membantu dirinya sahaja membolot habuan yang menjadi tujuan mereka
tadi.
Keenam : Ghairah Menjadi Ketua dan Mencari Populariti
Umpamanya seseorang yang bercita-cita untuk menjadi manusia pertama
yang tidak ada tolok bandingnya dalam salah satu cabang seni. Apabila
keghairahan terhadap pujian dan jolokan – bahawa dialah satu-satunya
pakar yang tidak ada taranya di zaman itu – telah menguasai dirinya,
tiba-tiba dia mendengar ada orang lain yang dapat menandinginya di
tempat lain. Hal ini nescaya akan menyusahkan hati perutnya. Ia
bercita-cita kalau tandinganya itu mati sahaja atau kemahirannya menurun
dan pupus.
Ketujuh : Busuk Hati
Keadaan ini kalau ada pada seseorang maka ia akan bersikap tidak suka
sesuatu kebaikan diperolehi oleh hamba Allah yang lain. Apabila
disebutkan dihadapannya tentang kesenangan mana-mana hamba Allah, sempit
hatinya mendengar perihal tersebut. Akan tetapi apabila dinyatakan pula
sebaliknya, umpama tentang kesusahan, kegagalan dan nasib malang
menimpa orang lain maka ia merasa gembira dan suka hati.
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita buangkan sifat hasad dengki ini samaada di
dalam hati atau di dalam tindakkan dan amalan kita. Sifat yang keji ini
bukan saja mendapat kebencian manusia tetapi yang paling penting sifat
ini di benci oleh Allah S.W.T. Hidup di dunia ini adalah sementara dan
kehidupan di hari akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi maka
tinggalkanlah sifat hasad dengki ini kerana sesiapa yang menuruti sifat
ini dia sedang mengikut hawa nafsunya dan mengikut bisikan syaitan dan
akan mendapat azab seksaan dihari akhirat nanti.
Diambil dari: http://abubasyer.blogspot.com/2011_01_02_archive.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan