Kemudian hendaklah
kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut semoga ia beringat
atau takut.(Surah Taha:44)
Singapura dilanggar todak,jatuh maruah raja disebabkan akal
budak.Sejarah Melayu telah menceritakan bahawa Hang Nadim ialah budak yang
menegur Raja Temasik (Singapura) yang memerintahkan rakyatnya berkubukan betis
bagi menahan serangan ikan todak.
Hang Nadim
mencadangkan supaya berkubukan batang pisang dan ternyata idea tersebut lebih
praktikal dan berkesan.Malangnya Hang Nadim telah dijatuhi hukuman buang ke
laut disebabkan hasutan menteri yang dengki.Kecerdikannya itu dikatakan bakal
menggugat takhta raja.
Tegur menegur
itu amalan yang baik,yang tak baiknya jika yang telah ditegur itu tegar dan
yang menegur itu pula kasar.Boleh menjadikan semuanya bergegar dan sukar
digambar.
Seringkali
kita mendengar rungutan daripada guru bahawa pendapat mereka tidak diambil
endah oleh pihak pentadbir.Pentadbir dikatakan kurang prihatin terhadap apa
yang disuarakan oleh orang bawahan mereka.Pihak pentadbir pula berkata guru
tidak mengikut arahan walaupun telah diberi teguran.Sejauh mana prinsip
tegur-menegur ini harus diamalkan antara pemimpin dan yang dipimpin?
Senario
alam perguruan kita dewasa ini menyaksikan hampir kebanyakan guru mendapat
pendidikan sehingga peringkat ijazah,sarjana malah PhD.Apabila guru-guru yang
telah mendapat ijazah ini masuk ke sekolah untuk memulakan tugas sebagai
seorang guru,pastinya dengan tahap pendidikan yang telah mereka lalui ketika
berada di universiti,ingin pula mereka terjemahkan ke alam pekerjaan mereka.
Jika di
universiti mahupun institusi perguruan,mereka telah dilatih untuk bebas
bersuara,melontarkan idea-idea yang difikirkan bernas,mengemukakan apa saja
permasalahan yang dihadapi tetapi mengapa apabila masuk ke alam pekerjaan
sebenar mereka perlu menjadi batu?Tidak boleh bersuara,tidak boleh mengemukakan
cadangan mahupun masalah yang dihadapi.Ini adalah satu kerugian yang besar.
Sebenarnya,untuk
cemerlang kita memerlukan orang di sekeliling kita turut cemerlang.Kita perlu
bersama-sama bekerja keras untuk membuahkan hasil.Suasana yang terbentuk di
sekeliling kita boleh menentukan apakah kita mampu berubah atau kekal pada
kedudukan lama.Alangkah ruginya sesuatu organisasi apabila tidak mahu menerima
perubahan yang jika diterima pastinya akan membawa keuntungan kepada banyak
pihak.
Sebagai
orang atasan,kita sebenarnya perlu membuang sikap mendabik dada mengatakan kita
adalah yang terbaik berdasarkan pengalaman.Kita semua perlu sedar dunia tidak
akan selama-lamanya sama.dunia telah maju,zaman telah berubah.
Sebagai
seorang guru yang berada di bawah,kita seharusnya membuat cadangan pada
perkara-perkara yang kita rasakan perlu kepada pihak pentadbir.Ikhlas dan yakin
ketika mengutarakan sesuatu yang dirasakan baik.Tidak kiralah sama ada kebaikan
itu nanti mendatangkan kesenangan dan keuntungan kepada pihak guru itu
sendiri,pelajar,pihak pentadbir mahupun sekolah.Sudah tentu sesuatu cadangan
yang baik itu akan memberi manfaat kepada semua pihak.
Pentadbir
perlu mengambil sifat nabi.Walaupun baginda seorang Rasul yang sentiasa dibimbing
oleh wahyu dan bersifat maksum iaitu diampuni kesilapan yang lalu dan akan datang,
Rasulullah s.a.w tetap suka mendengar cadangan dan pandangan daripada para
sahabat.Lihat sahaja dalam peperangan Uhud,Rasulullah menerima cadangan sahabat
untuk berperang di luar Kota Madinah walaupun Rasulullah lebih cenderung untuk
bertahan di Kota Madinah sahaja.
Alangkah
hebatnya pentadbir yang bersikap terbuka,iaitu mereka membuka ruang dan
mengalu-alukan agar guru-guru membuat teguran kepada mereka.Berlapang dada
menerima kritikan,bermanis muka walaupun menerima sindiran.Alangkah sabar,tabah
dan terpuji pemimpin seperti itu.
Sebagai
orang yang memimpin,pihak pentadbir memang perlu mengamalkan sikap terbuka dan
bersedia menerima segala teguran untuk kebaikan bersama.Kita soroti seketika
kisah Saiyidina Umar al-Khattab apabila beliau diangkat menjadi khalifah,beliau
sedia menerima teguran seorang sahabat yang ingin meluruskannya dengan pedang
jika dia melakukan kesilapan.
Ingatlah
bahawa golongan pemimpin adalah antara golongan yang mula-mula akan dihisab
pada hari akhirat nanti.Seandainya ada pemimpin yang tidak mahu mendengar
sebarang teguran daripada orang bawahannya,hebatkah dia daripada Saiyidina
Umar?
Pentadbir
perlu memahami isyarat apabila pentadbirannya tidak menerima apa-apa cadangan
daripada guru.Mereka lebih rela menerima apa saja keputusan walaupun hati
memberontak mengatakan tindakan pentadbir itu ternyata salah.
Bagi
golongan pemimpin dan yang dipimpin,ingatlah pesanan ini “Bergaullah sesama manusia
dengan satu pergaulan yang jika kamu tiada,mereka akan rindu kepada kamu dan
jika kamu mati mereka akan menangisinya.”Jika adalah orang yang semacam
itu,pastinya dia seorang yang sangat baik.
Pastinya
dia seorang yang sangat disenangi oleh semua orang.Sumbangannya tentu banyak
dan dia pastinya cukup dihargai.Dengan itu kita akan mengecapi kebaikan yang
berkesudahan dengan keredaan Allah S.W.T.
Menyuruh
benda yang betul itu betul dan menyuruh dengan cara yang betul itu barulah
betul.Menyuruh benda yang betul dengan cara yang tidak betul adalah tidak
betul.Marilah kita betul-betul menyuruh benda yang betul dengan cara yang betul
bukan secara kebetulan.Sama-sama menyuruh orang berbuat betul.Hang Nadim
dibunuh kerana kecerdikannya tetapi ramai manusia yang terbunuh kerana
kebodohannya.
ORANG BERJIWA BIASA
MENGANGGAP TEGURAN SEBAGAI BATU PENGHALANG SEDANGKAN ORANG YANG BERJIWA LUAR
BIASA MENGANGGAP TEGURAN SEBAGAI BATU LONCATAN.
SUMBER:GURU JUTAWAN AKHIRAT
SEKTOR PENDIDIKAN ISLAM
JPNPP.