Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku
Mohamad, Ph.D
Adakah masalah lupa merungsingkan
anda? Itu sudah pasti,
bukan? Sekiranya anda dapati anda sering kali lupa apa yang
telah dibaca, maka tahniah!! itu tandanya anda manusia normal.
Hasil kajian telah menunjukkan 80% dari apa yang kita baca hari
ini akan lupa hanya dalam masa 24 jam.
Jangan
cari alasan. Ramai
pelajar menjadikan lupa sebagai alasan untuk tidak belajar atau
membuat ulangkaji terlalu awal. "Buat apa baca sekarang esok
lupa juga". Inilah kata-kata yang sering diucapkan. Tahukah
anda, sebenarnya anda tidak lupa, cuma anda belum melakukan
cukup usaha supaya anda tidak lupa. Mudah bunyinya bukan??
Sebenarnya
wujud perbezaan antara belajar awal dengan belajar waktu musim
peperiksaan. Anda perlu belajar awal untuk menyediakan
nota-nota bermutu dan untuk memahami setiap mata pelajaran
dengan sebaik-baiknya. Jangan risau kalau masih banyak yang
anda belum ingat, yang penting telah banyak tajuk-tajuk yang
anda telah faham.
Fahami
apa yang dibaca. Memahami
matapelajaran adalah langkah pertama sebelum anda melakukan
usaha untuk menghafalnya. Menghafal bahan yang tidak difahami
adalah perbuatan yang sia-sia. Sekiranya anda belajar awal,
anda pasti punya banyak masa dan berpeluang untuk bertanya
kepada guru dan rakan-rakan agar setiap kekeliruan dapat diatasi
sebelum terlambat..
Setelah anda
benar-benar faham, sediakan nota ringkas yang bermutu untuk anda
gunakan setiap kali datangnya musim peperiksaan. Sediakan juga
nota-nota poket dan peta minda bagi memudahkan anda merujuk
semula kepada apa yang telah dipelajari tanpa perlu membelek
semula buku-buku asal.
Hafal
kata kunci. Ramai pelajar
yang mempunyai tabiat menghafal yang buruk. Mereka cuba
mengingati keseluruhan ayat yang mewakili fakta.
Contoh fakta:
Otak manusia terbahagi kepada dua hemisfera iaitu otak kanan dan otak kiri.
Pertama sekali
pastikan anda faham apa mesej yang mahu disampaikan kepada anda
dalam fakta tersebut. Keduanya barulah hafal fakta itu, tetapi
bukan menghafal keseluruhan ayat. Hafal hanya perkataan 'dua
hemisfera' yang merupakan kata kunci kepada fakta.
Sekiranya anda ingat kata kunci ini pasti sahaja anda mampu
menerangkan kepada orang lain apa maksud disebaliknya. Sebab
itulah anda perlu faham sebelum anda hafal!!
Pecahkan
kepada beberapa kumpulan kecil.
Sekiranya anda terpaksa menghafal
terlalu banyak fakta, jangan hafal kesemuanya serentak. Tidak
perlu terburu-buru. Pecah-pecahkan fakta-fakta tersebut kepada
beberapa kumpulan kecil dan hafal setiap fakta dalam kumpulan
ini.
Misalnya,
kalau anda ada 15 fakta yang perlu diingat, pecahkan fakta-fakta
ini kepada 3 kumpulan kecil. Setiap kumpulan mempunyai hanya 5
fakta. Baik, sekarang mana yang lebih mudah dihafal, kumpulan
yang 15 fakta atau kumpulan yang mengandungi 5 fakta? Lihat!
mudah-mudahkanlah pekerjaan anda. Sekali lagi jangan
terburu-buru. Mempelajari bahan-bahan akademik memerlukan
kesabaran dan ketekunan yang tinggi.
Sering
membuat imbasan. Satu
lagi faktor anda lupa ialah terlalu percaya bahawa anda telah
menguasai tajuk tersebut hanya dengan melakukan sekali
ulangkaji. Awal-awal lagi telah dibuktikan bahawa 80% daripada
apa yang telah dipelajari akan lupa dalam masa 24 jam.
Sekiranya anda tidak menyemak semula tajuk tersebut dalam masa
yang terdekat, maka jangan pelik kalau anda terpaksa mengulang
baca keseluruhan tajuk sekali lagi dimusim peperiksaan. Untuk
menjadi seorang pelajar yang efektif, anda perlu melihat seimbas
apa yang telah anda baca dari semasa ke semasa secara
sistematik. Petua dibawah boleh digunakan dan terbukti
berkesan:
- Imbas 5 minit apa yang dibaca selepas 24 jam.
- Imbas 5 minit lagi selepas 1 minggu.
- Imbas 5 minit setiap 2 minggu.
- Imbas 5 - 10 minit dimusim peperiksaan.
Gunakan
teknik-teknik ingatan.
Untuk memudahkan lagi proses mengingati fakta, anda perlu ada
kemahiran tertentu seperti teknik mnemonik, teknik menggambar
cara, teknik ceraian dan pelbagai lagi. Pastikan anda kembali
ke sini setiap minggu sebab pelbagai topik berkaitan dengan
ingatan akan dimasukkan dari semasa ke semasa.
Elakkan
dari tidur petang. Ini
lagi satu penyakit. Tidur selepas waktu Asar akan melembabkan
otak anda. Dalam Islam amalan tidur petang sebegini sangat
tidak digalakkan. Oleh itu hentikan tabiat buruk anda ini.
Kalau anda letih, tidur sahaja sebentar selepas solat zuhur, ini
sunnah Rasulullah s.a.w. Badan akan terasa lebih bertenaga
untuk belajar diwaktu malamnya nanti.
Ajarkannya kepada orang lain.
Cari peluang untuk
mengajarkan apa yang telah anda ketahui kepada orang lain.
Libatkan diri secara aktif dalam perbincangan kumpulan. Hanya
dengan mengajarkannya sahaja anda dapat menguji penguasaan anda
terhadap satu-satu tajuk. Raikan setiap soalan dan hujah
daripada rakan. Galakkan mereka bertanya kepada anda. Hanya
dengan cara inilah otak anda mula bekerja lebih keras untuk
mencari jawapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan