JOM BOOKCAFE

Khamis, 18 Oktober 2012

TEGUR VS TEGAR

Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut semoga ia beringat atau takut.(Surah Taha:44)

Singapura dilanggar todak,jatuh maruah raja disebabkan akal budak.Sejarah Melayu telah menceritakan bahawa Hang Nadim ialah budak yang menegur Raja Temasik (Singapura) yang memerintahkan rakyatnya berkubukan betis bagi menahan serangan ikan todak.
                Hang Nadim mencadangkan supaya berkubukan batang pisang dan ternyata idea tersebut lebih praktikal dan berkesan.Malangnya Hang Nadim telah dijatuhi hukuman buang ke laut disebabkan hasutan menteri yang dengki.Kecerdikannya itu dikatakan bakal menggugat takhta raja.
                Tegur menegur itu amalan yang baik,yang tak baiknya jika yang telah ditegur itu tegar dan yang menegur itu pula kasar.Boleh menjadikan semuanya bergegar dan sukar digambar.
                Seringkali kita mendengar rungutan daripada guru bahawa pendapat mereka tidak diambil endah oleh pihak pentadbir.Pentadbir dikatakan kurang prihatin terhadap apa yang disuarakan oleh orang bawahan mereka.Pihak pentadbir pula berkata guru tidak mengikut arahan walaupun telah diberi teguran.Sejauh mana prinsip tegur-menegur ini harus diamalkan antara pemimpin dan yang dipimpin?
                Senario alam perguruan kita dewasa ini menyaksikan hampir kebanyakan guru mendapat pendidikan sehingga peringkat ijazah,sarjana malah PhD.Apabila guru-guru yang telah mendapat ijazah ini masuk ke sekolah untuk memulakan tugas sebagai seorang guru,pastinya dengan tahap pendidikan yang telah mereka lalui ketika berada di universiti,ingin pula mereka terjemahkan ke alam pekerjaan mereka.
                Jika di universiti mahupun institusi perguruan,mereka telah dilatih untuk bebas bersuara,melontarkan idea-idea yang difikirkan bernas,mengemukakan apa saja permasalahan yang dihadapi tetapi mengapa apabila masuk ke alam pekerjaan sebenar mereka perlu menjadi batu?Tidak boleh bersuara,tidak boleh mengemukakan cadangan mahupun masalah yang dihadapi.Ini adalah satu kerugian yang besar.
                Sebenarnya,untuk cemerlang kita memerlukan orang di sekeliling kita turut cemerlang.Kita perlu bersama-sama bekerja keras untuk membuahkan hasil.Suasana yang terbentuk di sekeliling kita boleh menentukan apakah kita mampu berubah atau kekal pada kedudukan lama.Alangkah ruginya sesuatu organisasi apabila tidak mahu menerima perubahan yang jika diterima pastinya akan membawa keuntungan kepada banyak pihak.
                Sebagai orang atasan,kita sebenarnya perlu membuang sikap mendabik dada mengatakan kita adalah yang terbaik berdasarkan pengalaman.Kita semua perlu sedar dunia tidak akan selama-lamanya sama.dunia telah maju,zaman telah berubah.
                Sebagai seorang guru yang berada di bawah,kita seharusnya membuat cadangan pada perkara-perkara yang kita rasakan perlu kepada pihak pentadbir.Ikhlas dan yakin ketika mengutarakan sesuatu yang dirasakan baik.Tidak kiralah sama ada kebaikan itu nanti mendatangkan kesenangan dan keuntungan kepada pihak guru itu sendiri,pelajar,pihak pentadbir mahupun sekolah.Sudah tentu sesuatu cadangan yang baik itu akan memberi manfaat kepada semua pihak.
                Pentadbir perlu mengambil sifat nabi.Walaupun baginda seorang Rasul yang sentiasa dibimbing oleh wahyu dan bersifat maksum iaitu diampuni kesilapan yang lalu dan akan datang, Rasulullah s.a.w tetap suka mendengar cadangan dan pandangan daripada para sahabat.Lihat sahaja dalam peperangan Uhud,Rasulullah menerima cadangan sahabat untuk berperang di luar Kota Madinah walaupun Rasulullah lebih cenderung untuk bertahan di Kota Madinah sahaja.
                Alangkah hebatnya pentadbir yang bersikap terbuka,iaitu mereka membuka ruang dan mengalu-alukan agar guru-guru membuat teguran kepada mereka.Berlapang dada menerima kritikan,bermanis muka walaupun menerima sindiran.Alangkah sabar,tabah dan terpuji pemimpin seperti itu.
                Sebagai orang yang memimpin,pihak pentadbir memang perlu mengamalkan sikap terbuka dan bersedia menerima segala teguran untuk kebaikan bersama.Kita soroti seketika kisah Saiyidina Umar al-Khattab apabila beliau diangkat menjadi khalifah,beliau sedia menerima teguran seorang sahabat yang ingin meluruskannya dengan pedang jika dia melakukan kesilapan.
                Ingatlah bahawa golongan pemimpin adalah antara golongan yang mula-mula akan dihisab pada hari akhirat nanti.Seandainya ada pemimpin yang tidak mahu mendengar sebarang teguran daripada orang bawahannya,hebatkah dia daripada Saiyidina Umar?
                Pentadbir perlu memahami isyarat apabila pentadbirannya tidak menerima apa-apa cadangan daripada guru.Mereka lebih rela menerima apa saja keputusan walaupun hati memberontak mengatakan tindakan pentadbir itu ternyata salah.
                Bagi golongan pemimpin dan yang dipimpin,ingatlah pesanan ini “Bergaullah sesama manusia dengan satu pergaulan yang jika kamu tiada,mereka akan rindu kepada kamu dan jika kamu mati mereka akan menangisinya.”Jika adalah orang yang semacam itu,pastinya dia seorang yang sangat baik.
                Pastinya dia seorang yang sangat disenangi oleh semua orang.Sumbangannya tentu banyak dan dia pastinya cukup dihargai.Dengan itu kita akan mengecapi kebaikan yang berkesudahan dengan keredaan Allah S.W.T.
                Menyuruh benda yang betul itu betul dan menyuruh dengan cara yang betul itu barulah betul.Menyuruh benda yang betul dengan cara yang tidak betul adalah tidak betul.Marilah kita betul-betul menyuruh benda yang betul dengan cara yang betul bukan secara kebetulan.Sama-sama menyuruh orang berbuat betul.Hang Nadim dibunuh kerana kecerdikannya tetapi ramai manusia yang terbunuh kerana kebodohannya.

ORANG BERJIWA BIASA MENGANGGAP TEGURAN SEBAGAI BATU PENGHALANG SEDANGKAN ORANG YANG BERJIWA LUAR BIASA MENGANGGAP TEGURAN SEBAGAI BATU LONCATAN.


SUMBER:GURU JUTAWAN AKHIRAT 
SEKTOR PENDIDIKAN ISLAM
JPNPP. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan